Dua Tahap Berbeza Iaitu 0-6 Bulan & 6-12 Bulan
Sebaik sahaja anak anda dilahirkan, bayi akan melalui proses perkembangan yang berbeza – kebiasaannya daripada meniarap, berguling, merangkak sehinggalah belajar untuk berjalan. Pada masa awal perkembangan ini, si manja memerlukan perkembangan otot dan tulang, kemahiran motor, perkembangan otak dan perangkaian neuron otak yang baik.
Tidak lupa juga, kasih sayang daripada ibubapa, persekitaran yang bersih dan sihat yang dapat membantu proses pertumbuhan ini. Pemakanan yang seimbang mengikut peringkat perkembangan turut dapat membantu anak anda mencapai tahap pencapaian yang memberangsangkan.
Oleh itu, anda perlu tahu yang bayi pada usia ini boleh dikategorikan kepada dua kategori iaitu 0-6 bulan dan 6-12 bulan. Ayuh kita tengok apakah nutrien yang terbaik yang diperlukan si manja anda, dan bagaimana anda boleh menyesuaikan diri dengan perkembangan pesat anak anda pada usia ini.
Peringkat 0-6 Bulan
Pada peringkat umur 0-6 bulan, bayi anda sedang berkembang dengan sangat cepat daripada segi fizikal dan mental. Pada bulan ke-3 dan ke-4, berat bayi akan berganda, dan seterusnya pada bulan ke-5 dan ke-6, bayi anda sudah mencuba untuk berguling sebagai satu cara untuk pergi dari suatu tempat ke tempat yang lain.
Berguling adalah pencapaian pertama yang dinanti-nantikan ibubapa. Tetapi sebelum itu dapat berlaku, otot leher dan belakang si manja perlu menjadi kuat agar dapat membantunya mengangkat kepala dengan stabil. Kemudian otak juga perlu mampu untuk menyelaraskan di antara perbuatan berguling tersebut dengan mengangkat kepala dan memusingkan badan.
Di sinilah nutrien-nutrien seperti protein, kalsium dan Vitamin D sangat penting untuk membantu menyokong pertumbuhan fizikal; serta DHA untuk perkembangan otak dan koordinasi.
Jangan lihat saja bayi anda, apa kata anda sertainya sekali sebagai seorang jurulatih. Baringlah di sebelah si manja dan tarik perhatiannya supaya bayi anda akan memalingkan pandangannya kepada anda, dan akan cuba untuk menggulingkan badannya untuk menghampiri anda. Atau anda juga boleh menggulingkan bayi anda dengan perlahan-lahan bagi membantu si manja memahami apa yang boleh dilakukannya.
Dan apabila bayi anda berjaya menggulingkan badannya dan kemudian meniarap, tarik perhatian si manja. Ini akan membuatkannya ingin mengangkat kepala sekaligus memandang anda, dan ia akan membantunya menguatkan leher dan otot belakangnya.
Bagi peringkat 6-12 bulan, sila ke pautan ini untuk membacanya.