Asuh

Bayi ‘Reject’ Puree & Bubur, Lagi Suka Pegang Makanan Sendiri. Ini 6 Perkara Tentang ‘Baby Led Weaning’

85
SHARES

“Adha ni kita bagi dia bubur, habis diludahnya semua. Kalau bagi dia pegang sendiri makanan, nak pula dia gigit-gigit. Tapi bahaya tak kalau bagi dia pegang finger food awal sangat? Takutlah kalau tercekik. Lagipun, kenyang ke kalau tak makan bubur?”

Tak semua bayi mahu buka mulut apabila disuap. Ada yang lebih suka ‘bermain’ dahulu dan makan sendiri makanan yang dipegangnya.

Teknik pemakanan seperti ini dinamakan ‘baby led weaning’. Berbeza dengan cara memulakan makanan dengan puree atau bubur, bayi memegang makanannya sendiri tanpa bantuan ibu.

Ada yang masih ragu untuk mulakan teknik ini kerana menganggap ia tak selamat untuk bayi, terutamanya bayi 6 bulan yang baru mula makan.

Di bawah merupakan beberapa perkara klinikal dan tips memulakan ‘baby led weaning’ yang penting untuk ibu tahu.

6 Perkara Tentang ‘Baby Led Weaning’ Yang Ibu Perlu Tahu

1. Waktu Yang Sesuai Memulakannya

Menurut sumber WebMD, pakar berpendapat bahawa bayi lebih bersedia untuk makan sendiri apabila usianya mencapai 7-8 bulan. Namun, sesetengah pakar berpendapat bahawa bayi dengan perkembangan yang sihat dapat memulakan teknik ini seawal usianya 6 bulan, namun dengan syarat tertentu.

Untuk memulakan ‘baby led weaning’, ibu harus pastikan dulu yang bayi sudah boleh duduk tanpa bantuan, serta mempunyai sokongan leher yang baik.

Tak mengapa kalau bayi tidak ada gigi dan tidak dapat mengunyah dengan baik lagi. Tapi, bayi perlu ada kebolehan untuk mengambil makanan yang diletakkan berhampiran dan memasukkan dalam mulut lalu mengunyahnya.

gula dan garam pada makanan bayi 1

Foto Kredit: healthyharlem.org

2. Tak Tercekik Ke?

Ada ibu bapa yang risau untuk mulakan teknik ini kerana takut membahayakan anak. Ibu bapa yang menyuap sendiri kepada anak memang jauh lebih selamat berbanding anak menyuap dirinya sendiri.

Bagi bayi, refleks ‘gagging’ atau rasa loya jika bayi terjolok tekak dengan makanan adalah perkara normal terutamanya pada peringkat awal pengenalan makanan pejal. ‘Baby led weaning’ merupakan satu latihan kemahiran kepada anak untuk mengawal refleks tersebut dengan sendiri.

Menurut kajian, bayi secara semulajadinya akan menolak keluar makanan sekiranya ia tidak dapat ditelan atau dikunyah. Namun elok sekiranya anda melengkapkan diri dengan mengetahui apa yang perlu dibuat sekiranya bayi tercekik.

Foto Kredit: BabyCentre

3. Cara Memulakan ‘Baby Led Weaning’ Dengan Selamat

Persiapannya sebenarnya jauh lebih ringkas berbanding menyediakan puree dan bubur bayi. Ibu bapa perlu pastikan banyak stok makanan segar yang boleh diolah kepada ‘finger food’ seperti sayur dan buah-buahan ranum. Kukus atau rebuskan dahulu makanan yang agak keras teksturnya seperti lobak merah, brokoli atau epal.

Perlu diingat bahawa cara ini selalunya akan membuat kawasan rumah anda bersepah dengan makanan. Maka, mungkin ibu boleh sediakan ‘high chair’ untuk bayi duduk setempat ketika makan. Cuba perkenalkan cara makan ini sekali sehari dan lihat reaksi bayi terlebih dahulu.

Walaupun ‘baby led weaning’ ini memberi kebebasan kepada bayi untuk makan sendiri, tetapi tidak bermakna, ibu bapa boleh tinggalkan anak tanpa pantauan ya. Ibu bapa tetap perlu pastikan keselamatan anak ketika makan dan berikan dorongan supaya lebih bersemangat untuk makan.

http://www.essentialbaby.com.au/

4. Manfaat ‘Baby Led Weaning’

Pakar nutrisi dan pakar perkembangan kanak-kanak menggalakkan kaedah ini disebabkan beberapa penemuan:

i) Meningkatkan Perkembangan Bayi

Pakar mempercayai bahawa ia dapat melatih kemahiran motor halus anak supaya dapat mencapai makanan dengan baik. Anak juga dapat pendedahan yang lebih luas pada deria dengan tekstur, rasa dan aroma berbeza dalam setiap makanan yang diberikan. Sesetengah pakar berpendapat ia juga dapat melatih ‘dexterity’ iaitu mengenalpasti tangan dominan.

Kajian oleh Professor Charlotte M Wright, contohnya, telah mendapati bahawa bayi lebih cepat berjalan dan bercakap apabila dipraktikkan cara ‘baby led weaning’ ini.

ii) Pencernaan Bayi Lebih Efisyen

Sesetengah pakar bersetuju bahawa kaedah ini memerlukan bayi untuk mengunyah dan mengeluarkan air liur yang lebih banyak. Secara tak langsung, respon ini menjadikan sistem pencernaan lebih efisyen.

Namun ada juga pakar yang menegaskan bahawa kaedah ini kurang sesuai kerana ada tidak semua bayi memiliki kebolehan serta organ pencernaan yang matang ketika mula diperkenalkan dengan makanan.

iii) Membiasakan Tabiat Makan Yang Baik

Ia juga dilihat dapat melatih bayi dengan tabiat makan yang baik kerana dengan menyuap sendiri makan, bayi dapat belajar ‘self-regulation’ iaitu berhenti makan apabila sudah kenyang.

Berbanding dengan ibu bapa menyuap, kadang-kadang ada yang terlebih suap walaupun bayi sudah kenyang. Cara ini jika berlarutan akan membuatkan bayi terlebih makan dan sukar untuk berhenti walaupun sudah kenyang.

Foto Kredit: today.com

5. Pemilihan Makanan Yang Sesuai

Dalam memulakan kaedah ‘baby led weaning’, ibu bapa perlu pastikan makanan yang diberikan bukan sahaja kaya dengan nutrisi, malah selamat untuk bayi pegang dan suap sendiri.

Ibu boleh berikan anak potongan buah dan sayur-sayuran segar, atau hirisan protein atau karbohidrat sihat.

Antara cadangan makanan yang boleh diberikan ialah

  • buah-buahan bertekstur lembut seperti mangga, pisang
  • lobak merah atau keledek yang dikukus / direbus
  • mee atau spaghetti
  • roti wholemeal yang dipotong panjang-panjang
  • hirisan ayam yang telah direbus / dikukus

Elakkan makanan diproses atau yang diperasakan kerana usia bayi ketika itu tidak dapat menghadam garam dengan baik. Pastikan makanan yang diberikan lembut dan mudah dipegang. Jangan potong terlalu kecil sehingga anak tidak dapat pegang atau terlalu besar sehingga anak sukar untuk menyuap.

Jangan sesekali berikan makanan yang boleh buatkan anak tercekik seperti makanan yang terlalu melekit seperti coklat, makanan keras seperti kekacang, atau yang sukar dikunyah seperti keratan makanan yang terlalu besar.

Foto Kredit: forummamamici.ro

6. Kenyangkah Kalau Makan Begini?

Berbanding dengan ‘baby led weaning’ selalunya anak mungkin tak makan banyak sebab makanan boleh tertumpah. Bahkan, ibu bapa mungkin khuatir anak akan terus tolak bulat-bulat jika dihidangkan dengan makanan yang tidak digemari seperti sayur dan hanya akan makan yang disukai sahaja.

Jika anda dapati cara ‘baby led weaning’ tidak dapat memujuk anak makan sayur atau buah, atau anda dapati berat bayi makin berkurangan, pakar menyarankan agar pemberian bubur, puri atau atau smoothie berkhasiat tetap diteruskan untuk anak.

Yang penting, susu ibu atau susu formula masih menjadi sumber nutrisi utama buat bayi berusia 6 bulan ke 12 bulan.

Foto Kredit: masterfile.com

Pelbagaikan Hidangan Bubur Walaupun Ditolak

Sebagai peringatan, ‘baby led weaning’ ini kurang sesuai menjadi makanan pemula bagi bayi yang lewat perkembangan atau lahir tak cukup bulan.

Meskipun ‘baby led weaning’ sesuai untuk kebanyakan bayi, kebanyakan pakar bersetuju bahawa pemberian bubur juga perlu diteruskan bagi memastikan bayi mendapat cukup nutrisi. Cuba pelbagaikan teksturnya menjadi sedikit kasar atau ubahsuai rasanya mengikut makanan kegemaran bayi.

Selagi berat badan anak tetap normal, ibu tak perlu terlalu risau ya!

 

*Rujukan: BabyCentre, Doktor Budak, The Bump

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×