Selain masalah demam, sakit telinga juga sering dialami oleh kanak-kanak. Meskipun sakit telinga dianggap perkara biasa tetapi ia boleh mendatangkan bahaya kerana itu merupakan tanda jangkitan telinga.
Hal ini akan membuatkan anak-anak mengalami demam teruk dan tidak boleh tidur malam akibat menahan kesakitan. Jangkitan telinga ini berlaku di bahagian tengah telinga seperti penjelasan Pakar Bedah Telinga, Hidung & Tekak di laman Facebook.
Baca juga: Doktor Kongsi 5 Cara Hilangkan Sakit Tekak Sebelum Lebih Teruk
TANDA JANGKITAN TELINGA, BAHAYA KALAU BIARKAN
Menurut penjelasan Dr Ezairy M.Sallih, gejala ini sering dialami oleh pesakit yang mempunyai masalah Acute Otitis Media. Sesiapa sahaja boleh mengalami masalah ini tetapi kanak-kanak kalau kena, memang kasihan. Sakit. Tak boleh tidur jadinya.
Apa rawatannya? Biasanya doktor akan melakukan pemeriksaan telinga pesakit. Ubat titis anti biotik akan diberi. Jika ada masalah pada hidung yang menjadi punca, ubat makan juga mungkin perlu diberikan.
Jika si anak sampai jadi tak aktif dan demam panas, berkemungkinan ada komplikasi. Sesetengah kes perlu dimasukkan ke dalam wad. Perkara ini jarang berlaku tetapi perlu juga dilakukan jika ada tanda komplikasi ke bahagian mastoid atau ke dalam otak.
Ingat ya, jangkitan telinga tidak boleh diambil mudah. Kalau anak mengadu apa-apa, dengarlah rintihan mereka. Langkah awal sebagai ibu bapa perlulah membantu mereka untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Sumber: Facebook Dr Ezairy M.Sallih