Famili

Ayah Ini Kongsi Pengalaman Hantar Anak Ke Taska Di Jepun Yang Memang ‘Strict’ Tentang Kesihatan

2.2K
SHARES

Umum mengetahui bahawa negara Jepun bukan sahaja mempunyai sistem teknologi yang tinggi, malah rakyat di sana juga dikatakan mempunyai tahap disiplin yang tinggi. Ini juga termasuk dengan mementingkan tahap kesihatan terutama sekali apabila melibatkan sistem pendidikan.

Seorang ayah yang merupakan rakyat Malaysia yang menetap di Nagoya, Jepun ini berkongsikan pengalaman beliau apabila anak yang dihantar ke taska secara tiba-tiba demam. Ternyata tindakan yang diambil oleh pihak taska juga memang sangat pantas dan turut mementingkan kesihatan kanak-kanak yang lain.

BAGAIMANA JEPUN DIDIK RAKYAT ADA SIFAT TANGGUNGJAWAB?

Rutin saya pagi ini seperti biasa, hantar Akira ke sekolah (orang lain panggil taska/nursery, tapi kami panggil sekolah) sekitar jam 9.15 pagi. Kebiasaannya saya akan terus ke lab, tapi pagi ini ada urusan sikit di balai polis. Saya sampai lab sekitar jam 10.15 pagi. Belum sempat masuk lab lagi, telefon saya berbunyi. Terpapar nama sekolah Akira di skrin telefon.

Tak lain tak bukan ni, mesti suruh jemput Akira. Saya pun jawab panggilan tersebut.

“Hello. Minta maaf ya Encik Bapa (direct translation of Otõsan) sebab mengganggu. Saya Cikgu Fatimah di talian. Saya minta maaf, saya nak beritahu suhu Akira tinggi lah, 38.2°C. Tadi saya cuba hubungi Puan Ibu (direct translation of Okāsan) tapi tak berjaya. Jadi saya hubungi Encik Bapa, minta maaf ya. Boleh ke Encik Bapa jemput Akira di sekolah?”

8.50 pagi. Akira sebelum ke sekolah. Sihat je

Saya pun terus jawab, “Boleh, beri saya masa 20 minit. Terima kasih kerana beritahu.”

Cikgu Akira balas lagi, “Minta maaf sangat-sangat mengganggu masa Encik Bapa.”

Saya masuk lab kejap, buka PC, check jadual dan apa yang patut. Kebetulan hari ni tak buat experiment, cuma datang lab untuk analisis data. Kemudian, saya pun cabut dan merempit ke sekolah Akira. Sampai di sekolah, saya terus ke kelas Akira. Tengok dia takda dalam tu. Cikgu Fatimah macam biasalah, 3-4 kali mohon maaf sebab mengganggu masa Encik Bapa. Cikgu Fatimah tunjukkan Akira, di bilik kuarantin berhampiran kelas. Akira tidur, jamah badan dia, memang panas sikit.

9.15 pagi. Sewaktu hantar di sekolah, suhu normal 37.3°C

Cikgu Fatimah dah siapkan semua kelengkapan Akira yang dibawa pagi tadi untuk dibawa pulang. Pampers kotor, towel, sapu tangan, bekal dan buku rekod. Biasanya ibu bapa kena kemas sendiri barang anak-anak. Maksudnya, Akira kena beredar cepat dari sekolah. Sekarang musim influenza, mungkin takut Akira mengjangkiti atau dijangkiti rakan-rakan yang lain.

Kami berdua pun pulang ke rumah, 5 minit je jalan kaki. Sampai di rumah, Akira aktif macam biasa. Tak nampak macam orang demam pun. Ke Akira saja buat-buat demam hari ni sebab malas sekolah? Haha

DI JEPUN, KESIHATAN ANAK SEBELUM MASUK SEKOLAH DIPANTAU

10.30 pagi. Dalam bilik kuarantin di sekolah. Suhu 38.2°C.

DAH TU KAU NAK CERITA APA NI? MACAM TAK KENA JE DENGAN TAJUK. BUANG MASA JE BACA CERITA KAU DENGAN ANAK KAU.

Okay, relaks. Pengajarannya di sini. Hehe. Sebagai ibu bapa, lagi-lagi ibu bapa muda macam kami, anak kecil kita amat mudah dijangkiti virus dan bakteria pada umur begini.

Di Jepun, mereka akan pantau kesihatan anak kita sebelum masuk sekolah dan semasa di sekolah. Sewaktu hantar pagi-pagi, kita kena check suhu anak. Jika suhu melebihi 37.5°C, cikgu tak benarkan hantar anak ke sekolah. Di sekolah pula, cikgu akan pantau suhu secara berkala. Sekiranya melebihi 37.5°C, cikgu akan call ibu bapa untuk jemput anak mereka secepat mungkin.

Jadi sistem ini mengajar ibu bapa bersifat dan bersikap tanggungjawab terhadap anak masing-masing. Kalau anak kita sakit dan masih dibiarkan di sekolah, mungkin penyakit tersebut akan berjangkit pada rakan-rakan yang lain. Tanggungjawab itu bukan sahaja terhad kepada anak sendiri, malah kepada anak-anak yang orang lain dan juga kelompok masyarakat itu sendiri.

IBU BAPA TAK BOLEH PENTINGKAN DIRI SENDIRI

Di sini, ibu bapa tidak boleh pentingkan diri sendiri. Tidak boleh ada sikap acuh tak acuh. Tidak boleh ada dialog seperti ini “Biar lah anak tu, suhu tinggi sikit je tu, sihat je kan.” “Aku dah bayar yuran bulanan, kau jaga je lah anak aku tu.” “Aku tak boleh jemput lah. Aku busy ni nak kempen PRK Kimanis.” STRICTLY NO. Anak kita tanggungjawab kita dan kita juga bertanggungjawab pada masyarakat.

Dan pelaksanaan sistem ini juga melibatkan kerjasama banyak pihak. Isteri saya bekerja, tapi majikannya sangat memahami perihal ibu beranak kecil. Sekiranya Akira kurang sihat dan memerlukan isteri untuk cuti, majikan akan memberikan cuti tanpa banyak soal. Tapi di Jepun ni, kalau cuti kena potong gaji ya. Sebab cuti tahunan bergaji pun dah habis untuk medical check-up Akira. Hehe

Saya selalu share perkembangan Akira di IgStory. Sudah beberapa kali saya berkongsi cerita disuruh jemput Akira di sekolah kerana suhu tinggi. Kawan-kawan di Malaysia ramai memberi respon positif tentang sistem ini.

Kata mereka kalau di Malaysia, anak demam, batuk kuat ataupun penuh hingus di hidung, masih lagi dihantar ke sekolah/nursery. Ibu bapa yang anak mereka sihat berasa risau dijangkiti. (*antivax bangang suka ayat ni, anak vaksin pun kena penyakit juga) Kerana apa terjadi? Kerana ibu bapa tiada rasa tanggungjawab terhadap anak juga terhadap masyarakat.

Saya memahami, sistem ini melibatkan banyak pihak dan pelaksanaannya tidak menyeluruh. Mungkin ada sekolah/nursery yang amalkan sistem ini, tapi ibu bapa pula tidak dapat sokongan daripada majikan. Jadi terpaksa juga tinggalkan anak di sana walaupun timbul rasa tanggungjawab di hati. Tetapi sekiranya ibu bapa tidak punyai halangan daripada mana-mana pihak, amalkan lah rasa tanggungjawab ini. Sayangi anak kita dan bertanggungjawablah kepada masyarakat di sekeliling kita.

Nanti undilah saya jadi Ahli Parlimen dan jadi menteri, akan saya usulkan di dewan parlimen Rang Undang-undang dan kita gubal sistem ini sebagai Akta. Ibu bapa atau majikan yang tak ikut, kita denda dia. Untuk antivax pula, kita bagi hukuman penjara mandatori. Haha Maaflah termembebel pula di sini. Terima kasih kepada mereka yang sudi membaca sampai habis. Semoga Allah merahmati kehidupan kita semua di dunia dan akhirat, Inshaallah.

Sumber : Khairul Amzar Tansri

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×