Ramai wanita yang masih keliru dengan sebarang jenis getaran seperti kontraksi palsu yang dikenali sebagai Braxton Hicks. Disebabkan ‘false alarm’ ini, ada wanita yang panik dan terus bergegas ke hospital kerana tidak pasti sama ada saat melahirkan bayi sudah semakin hampir.
Maka, ini mungkin satu perkara yang mengujakan buat semua ibu hamil di luar sana! Baru-baru ini, sebuah gajet telah dilancarkan untuk membantu ibu-ibu hamil mengira dan mengesan tanda kontraksi di rumah.

Foto Kredit: bloomlife.com
Bloomlife, Gajet Mengesan Tanda Kontraksi Dengan Tepat
Apabila masuk trimester ketiga, biasanya wanita hamil akan diajar cara untuk mengira kontraksi sendiri dan mencatatkannya. Selain tanda-tanda mengandung, kiraan kontraksi ini penting untuk memastikan bayi berada dalam keadaan sihat dan aktif.
Kelly Densmore, founder kepada Bloomlife ini berhasrat agar alatan ini mampu membantu mengurangkan kerisauan ibu hamil dan membantu mereka memahami dan membezakan corak kontraksi palsu dengan kontraksi aktif yang berlaku semasa hampir bersalin.
Cara menggunakan alat ini adalah dengan melekatkannya pada perut ibu hamil. Seterusnya, ia akan berfungsi mengesan gelombang dari rahim dan kemudian merekodkannya ke dalam sebuah aplikasi yang boleh dipantau melalui telefon pintar. Durasi dan kekerapan kontraksi ini akan membantu ibu hamil membezakan sama ada mereka benar-benar mengalami kontraksi sebenar atau hanya ‘cramp’ perut dan kontraksi palsu.

Foto Kredit: bloomlife.com
Elak Teragak-agak, Bantu Kehamilan Berisiko
Jelas Dr. Rydfors, seorang Pakar Sakit Puan dan penyelidik yang terlibat dalam Bloomlife, “Teknologi ini berpotensi untuk memantau kehamilan yang berisiko di mana ianya amat sensitif dan boleh mengesan kontraksi sekalipun seseorang wanita tidak dapat merasakannya.”
“Sekiranya pihak doktor dapat mengesan komplikasi dan kelahiran pramatang dengan lebih cepat, maka lebih besar peluang untuk ia diselamatkan.” katanya melalui laporan CNBC.
“Kehamilan kali ini lebih mudah kerana saya tidak lagi teragak-agak seperti kehamilan yang lalu,” kata salah seorang pengguna yang menggunakannya pada trimester ketiga kehamilan. Tambahnya lagi, “Dengan alat ini, ia membantu saya untuk membuat keputusan yang lebih jelas bila sepatutnya saya pergi ke hospital untuk bersalin.”

Foto Kredit: mashable.com
Selamat Digunakan
Bloomlife berkomunikasi dengan telefon pintar anda melalui Bluetooth Low Energy dan aplikasi yang serasi dengan pengguna iOS dan Android. Menurut kajian mereka, gelombang ini adalah 100 kali lebih rendah berbanding telefon anda dan tidak akan menembusi kulit.
Bloomlife menepati piawaian FSA dan HSA, dan kini sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan daripada badan FDA (US Food & Drug Administration).

Foto Kredit: bloomlife.com
Harga Mengikut Sewaan Bulanan
Buat masa ini, Bloomlife telah mengambil pre-order dan harganya dikira berdasarkan sewaan bulanan. Sewaan untuk 1 bulan memakan kos $149 (RM 660), 2 bulan $249 (RM 1105) dan 3 bulan $299 (RM1327).
Anda akan hanya membayarnya apabila anda menggunakannya dan ia akan dipulangkan semula untuk dibaikpulih. Namun pada masa akan datang, mereka akan cuba untuk menjadikannya peralatan mampu milik dan berharap ianya menembusi pasaran yang lebih luas.
*Untuk maklumat lanjut, layari bloomlife.com.