Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan rayuan haji 2027 lebih awal, iaitu mulai 2 Oktober 2026. Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi dan laman sesawang THiJARI. Pembukaan lebih awal ini memberi peluang kepada bakal jemaah untuk membuat persediaan dengan lebih teratur, khususnya dari aspek kewangan, kesihatan dan ilmu berkaitan ibadah haji.
Baca juga: 70 Tahun Bersama, Dari Muda Hingga Usia Senja… Ini Kisah Cinta Tun Dr Siti Hasmah & Tun Dr Mahathir
RAYUAN HAJI 2027 DIBUKA LEBIH AWAL, BERMULA 2 OKTOBER

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, langkah tersebut selari dengan usaha TH menerapkan konsep istito’ah atau kemampuan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.
Bagi musim haji 1448H/2027M, jemaah yang berjaya melalui proses rayuan perlu membayar kos haji penuh sebanyak RM33,300.
TH menjelaskan kadar tersebut ditetapkan selaras dengan konsep istito’ah dalam kewajipan menunaikan ibadah haji, iaitu seseorang perlu mempunyai kemampuan yang mencukupi untuk melaksanakan ibadah berkenaan.
Permohonan rayuan pula terbuka kepada pendeposit yang mempunyai sekurang-kurangnya RM15,000 dalam akaun TH.
Jumlah RM15,000 itu ditetapkan berdasarkan kadar bayaran haji terendah bagi kumpulan B40 dan menjadi antara rujukan TH bagi menilai kemampuan kewangan minimum pemohon.
Antara perkara yang akan diambil kira ialah:
- Tempoh pendaftaran haji
- Umur pemohon
- Purata baki simpanan dalam akaun TH
- Simpanan berulang yang konsisten
- Kekerapan membuat permohonan rayuan
- Kekerapan menghadiri Kursus Asas Haji anjuran TH

Oleh itu, pemohon digalakkan untuk memastikan simpanan dibuat secara konsisten serta mengambil peluang mengikuti kursus dan persediaan haji yang disediakan.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, TH turut memberi keutamaan kepada beberapa kategori permohonan rayuan.
Ia termasuk rayuan mahram, pengiring jemaah lanjut usia serta pengiring kepada jemaah kelainan upaya (OKU) yang terpilih menunaikan haji bagi musim 1448H/2027M.
Cara buat rayuan haji 1448H/2027M
Pendeposit TH yang ingin membuat permohonan rayuan boleh melakukannya mulai 2 Oktober 2026 melalui aplikasi atau laman sesawang THiJARI.
Melalui platform tersebut, pendeposit juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan proses permohonan, menyemak kategori rayuan serta melihat status permohonan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Tabung Haji atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.
Pembukaan rayuan lebih awal ini memberi peluang kepada bakal jemaah untuk merancang persediaan dengan lebih baik, terutama dari segi kewangan, kesihatan dan ilmu sebelum tiba musim haji 1448H/2027M.
Baca juga: Guna Kertas Kajang Buat Resume Mohon Kerja, Lelaki Ini Dipuji “Sekurang-Kurangnya Dia Ada Usaha”
Sumber: Tabung Haji
