Selama tujuh dekad, rumah tangga Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bersama suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad, melalui perjalanan panjang yang bermula sejak mereka menjadi penuntut perubatan di Singapura.
Pertemuan kedua-duanya di Kolej Perubatan King Edward VII pada 1947 menjadi titik awal kepada sebuah hubungan yang kemudiannya berkembang menjadi kehidupan bersama selama 70 tahun.
Baca juga: Cemas! Ibu Bersalin Dalam Bas MADANI, Bayi Perempuan Selamat Lahir Dengan Bantuan Petugas Klinik
KISAH CINTA 7 DEKAD TUN DR SITI HASMAH & TUN MAHATHIR

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956, selepas Dr Mahathir menyatakan perasaannya kepada Dr Siti Hasmah pada 1949.
Sepanjang kehidupan bersama, kedua-duanya pernah berkongsi bahawa perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam rumah tangga. Namun, kasih sayang, kepercayaan dan sikap bertolak ansur menjadi antara perkara yang membantu mereka mengekalkan hubungan dalam tempoh yang begitu panjang.
Dalam satu video yang dimuat naik di saluran YouTube rasmi Dr Mahathir pada 2021 sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-65, Dr Siti Hasmah menceritakan bahawa mereka bukan pasangan yang sentiasa mempunyai pandangan sama ketika masih muda.
Bagi Dr Siti Hasmah, saat Dr Mahathir menyatakan perasaan kepadanya pada 1949 merupakan antara memori yang paling dekat di hati sepanjang perjalanan hubungan mereka.
Dr Mahathir pula pernah menjelaskan bahawa kasih sayang antara mereka lebih banyak ditunjukkan melalui perbuatan berbanding ungkapan secara lisan.
“Kami tidak pernah mengucapkannya dengan kata-kata. Ia lebih kepada cara kami melayan dan bertindak antara satu sama lain,” katanya.
Menurutnya, kesabaran dan toleransi banyak membantu mereka menyesuaikan diri dengan perbezaan karakter masing-masing, termasuk perkara kecil seperti soal ketepatan masa.
Hubungan mereka turut mencuri perhatian apabila pasangan berkenaan diiktiraf Asia Records sebagai bekas ketua kerajaan dan pasangan pertama yang masih hidup dan mencapai usia 100 tahun.
Pengiktirafan tersebut dibuat ketika usia gabungan mereka mencecah 201 tahun dan hadir bersempena ulang tahun perkahwinan ke-70 pasangan itu.
Walaupun sudah memasuki usia emas, kemesraan antara mereka dikatakan tidak pernah hilang. Dr Siti Hasmah juga pernah berkongsi bahawa mereka masih menunjukkan kasih sayang secara fizikal antara satu sama lain.
Jadi penjaga kesihatan suami hingga ke akhir hayat

Apabila usia semakin meningkat, peranan Dr Siti Hasmah terhadap suaminya turut berubah daripada sekadar teman hidup kepada individu yang banyak memantau keadaan kesihatan Dr Mahathir.
Dalam temu bual bersama program Mak Untuk Malaysia (MUM) terbitan Sinar Harian pada 2022, Dr Siti Hasmah pernah menjelaskan bahawa menjaga kesihatan suaminya menjadi satu tanggungjawab yang dipikulnya.
“Sebagai seorang isteri, menjadi tanggungjawab saya untuk memantau kesihatan suami saya sebaik yang mungkin,” katanya.
Allahyarham juga berkongsi bahawa beliau seboleh-bolehnya akan menemani Dr Mahathir ketika mereka berada di luar dan berasa risau apabila suaminya dikelilingi orang ramai.
“Bantulah saya untuk menjaga suami saya. Apa yang lebih penting sekarang, saya mahu menemaninya dan akan terus menjaga kesihatannya supaya beliau kekal sihat,” katanya.
Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 100 tahun. Selain dikenang sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, legasi Allahyarham turut merangkumi sumbangan panjang dalam bidang perubatan, kesihatan awam serta kebajikan masyarakat.
Baca juga: Guna Kertas Kajang Buat Resume Mohon Kerja, Lelaki Ini Dipuji “Sekurang-Kurangnya Dia Ada Usaha”
Sumber: Berita Harian
