Euforia Bola 2026
Kerjaya

Wanita Datang Interview Bawa Anak, 9 Tahun Pengalaman Kerja Kilang Rupanya Tak Cukup Tanpa SPM…

temuduga kerja

Kadang-kadang pengalaman hidup mengajar seseorang jauh lebih banyak daripada apa yang tertulis di atas sekeping kertas, seperti kisah seorang wanita yang hadir ke temuduga kerja bersama anaknya berusia tujuh tahun, tetapi terkandas kerana tidak mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Baca juga: Pointer Tinggi Saja Tak Cukup! Ini 7 Soft Skills Yang Akan Buat Majikan Berebut Nak Ambil Anda Kerja

WANITA TERKANDAS TEMUDUGA KERJA KERANA TIADA SPM

temuduga kerja

Gambar hiasan: Gemini AI

Lebih menyentuh hati, wanita berkenaan sebenarnya mempunyai pengalaman bekerja di kilang selama sembilan tahun dan mengetahui selok-belok pelbagai jenis mesin.

Kisah itu dikongsikan seorang penemuduga menerusi Threads selepas dia tersentuh melihat anak calon terbabit menunggu ibunya di luar pintu pejabat sepanjang sesi berkenaan.

Anak tunggu di luar bilik temuduga

Menurut Marlisa Ahmad, calon wanita itu hadir bersama anak lelakinya yang berusia tujuh tahun kerana tiada individu lain yang boleh menjaga kanak-kanak berkenaan.

Anaknya hanya menunggu di luar pejabat dengan memakai pakaian seragam sekolah dan bermain pensel sementara ibunya menjalani sesi temuduga.

“Calon ini beritahu dia bawa anak sebab tiada siapa nak jaga anaknya, mak dia sedang sakit,” kongsinya.

Lebih mengejutkan, resume calon tersebut tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik kerana dia tidak menduduki atau tidak melepasi peperiksaan SPM.

Namun, kekurangan itu tidak bermakna wanita berkenaan tidak mempunyai kemahiran untuk bekerja. Penemuduga tersebut mendapati calon terbabit sudah mempunyai pengalaman selama sembilan tahun di kilang dan mengetahui pelbagai jenis mesin.

“Jawatan yang dibuka itu memang syaratnya SPM sahaja cuma calon ini tidak lepas. Tapi dia tahu semua jenis mesin sebab pernah kerja kilang selama sembillan tahun.

“Aku ada tanya dia kenapa tak sambung belajar dan dia jawab, ‘Cik, masa itu saya 17, saya kena kerja. Sekarang mak saya sakit, saya kena jaga’.” ujarnya.

Sudah bekerja sejak usia 17 tahun

temuduga kerja

Gambar hiasan: Gemini AI

Jawapan wanita itu membuatkan penemuduga memahami bahawa ketiadaan sijil akademik tersebut bukan semata-mata kerana dia tidak mahu belajar.

Sebaliknya, ketika berusia 17 tahun, dia memilih untuk bekerja bagi mencari rezeki dan pada masa sama perlu membantu menjaga ibunya yang kini sedang sakit.

Meskipun bersimpati dengan keadaan calon berkenaan, penemuduga tetap perlu mengikut syarat kelayakan yang ditetapkan untuk jawatan terbabit.

Dia bagaimanapun cuba membantu dengan menghantar nama wanita itu kepada pihak atasan bersama nota mengenai pengalaman dan kemahirannya. Namun, permohonan tersebut tetap tidak dapat dipertimbangkan kerana syarat akademik perlu dipatuhi.

Bagi penemuduga berkenaan, situasi itu menjadi sesuatu yang sukar dilupakan kerana dia dapat melihat sendiri bagaimana pengalaman bertahun-tahun bekerja masih belum mencukupi apabila seseorang tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Tolak RM10 kerana bukan datang meminta

Lebih membuatkan penemuduga tersentuh, dia cuba memberikan RM10 kepada calon tersebut untuk membeli makanan. Namun, wanita itu menolak pemberian berkenaan kerana niatnya datang ke pejabat adalah untuk mencari pekerjaan, bukannya meminta simpati.

“Aku bagi RM10 untuk makan, tapi calon ini tak mahu sebab dia cakap bukan datang untuk meminta-minta,” ceritanya.

Kisah berkenaan kemudiannya mendapat perhatian pengguna media sosial yang turut bersimpati dengan keadaan wanita terbabit.

Perkongsian tersebut juga membuka perbualan mengenai individu yang mungkin mempunyai kemahiran dan pengalaman bekerja, tetapi peluang mereka terbatas apabila tidak memenuhi kelayakan akademik tertentu.

Dalam hantaran asalnya, penemuduga itu turut mengakui masih mengingati anak kecil yang menunggu ibunya di luar bilik sepanjang sesi temuduga.

“Sampai sekarang aku ingat muka budak tu. Syarat itu betul. Cuma ada orang tersangkut dekat syarat tu. Korang pernah tersangkut sebab sekeping kertas tak?” tanyanya di akhir perkongsian.

Persoalan tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya yang berkongsi pengalaman masing-masing berdepan syarat kelayakan ketika mencari pekerjaan.

Sumber: Threads @m4rlisaahmad

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×