Euforia Bola 2026
Inspirasi

3 Beradik Pernah Dihalau & Dihina Mak Saudara Selepas Ibu Meninggal, Kini Abang Sulung Bergelar Leftenan Muda!

leftenan muda

Kisah tiga beradik yang pernah dihina dan dihalau keluar rumah selepas kematian ibu kembali mendapat perhatian apabila abang sulung mereka, Muhammad Zulhaziq Ikmal Zulkefli, kini mencipta pelbagai kejayaan termasuk ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.

Baca juga: Usia Dah 102 Tahun, Tok Saimah Masih Solat Berdiri! Gemar Menu Rebus & Bebas Penyakit Kronik

KINI RAIH PELBAGAI PENCAPAIAN TERMASUK LEFTENAN MUDA, PEMUDA BANGKIT SELEPAS DIHINA & DIHALAU MAK CIK

leftenan muda

Lebih dua tahun selepas kisah mereka tular, Haziq memilih untuk berkongsi semula pengalaman pahit yang pernah dilalui bersama dua adiknya, namun kali ini dengan cerita tentang perjalanan hidupnya yang jauh berbeza.

Bukan sahaja menerima Anugerah Dekan, pemuda itu turut dinobatkan sebagai Mahasiswa Terbaik sebelum menerima tauliah daripada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).

Pernah dihina selepas kehilangan ibu

Kisah tiga beradik berkenaan pernah menjadi perhatian ramai pada April 2024 selepas mereka didakwa dihalau keluar dari rumah ibu saudara pada 1 Syawal.

Ketika itu, mereka dikatakan dituduh mencalarkan kereta wanita berkenaan sehingga berlaku pertengkaran yang turut membabitkan kata-kata hinaan terhadap arwah ibu mereka.

leftenan muda

Terbaharu, Haziq menerusi akaun TikToknya, @zulhaziyqqqq, berkongsi semula rakaman suara yang mengandungi cacian yang pernah dilemparkan kepadanya sekitar dua tahun lalu.

Walaupun pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam, Haziq berkata segala kata-kata yang pernah diterimanya akhirnya mengajarnya untuk lebih berdikari dan terus melangkah.

“Iya, hinaan ini pernah bergema tiga tahun yang lalu. Terima kasih untuk setiap kata-kata yang pernah dilontarkan.

“Walaupun pedih menghiris segala rasa di hati, walaupun sakitnya seakan-akan meruntuhkan seluruh harapan, namun ketahuilah bahawa setiap hinaan itulah mengajarkan diri ini untuk berdiri, bertahan dan terus melangkah, biarpun jalan yang ditempuh itu tidak sentiasa menjanjikan kemudahan,” kongsinya.

Selepas pemergian ibu, perjalanan Haziq ketika menyambung pengajian di universiti juga bukan sesuatu yang mudah.

Namun, pemuda itu terus berusaha sehingga berjaya mencipta beberapa pencapaian sepanjang mengikuti pengajian dalam bidang Sarjana Muda Linguistik Melayu di Universiti Malaya (UM).

Dari kehilangan ibu, raih pelbagai pencapaian

leftenan muda Zulhaziq

Antara pencapaian yang diraih Haziq ialah Anugerah Dekan atas kecemerlangan akademik. Untuk tahun ketiga pengajian pula, dia menerima anugerah Mahasiswa Terbaik.

Haziq turut menyertai PALAPES sebelum mencipta satu lagi detik membanggakan apabila ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) Ke-44 Tahun 2026 pada 12 September lalu.

Dalam perkongsiannya, Haziq melihat pencapaian tersebut sebagai satu hikmah selepas permulaan perjalanan di universiti yang dilaluinya dalam keadaan sukar.

“Siapa sangka permulaan perjalanan di universiti yang tidak begitu baik dek kerana pemergian ibu, akhirnya berubah kepada pengakhiran yang begitu indah.

“Begitu banyak pencapaian, kejayaan dan kenangan yang dapat diraih dan dirasai sepanjang tiga tahun di sini. Mungkin inilah hikmah yang Tuhan janjikan.

“Setiap satu perkara ini sememangnya tidak mampu diraih tanpa doa dan semangat yang hadir daripada semua. Terima kasih kerana pernah menitipkan doa dan sentiasa memberi semangat tatkala diri ini rapuh, tatkala segalanya mulai goyah dan perjalanan rasa berat untuk diteruskan.

“Setiap doa, kata-kata dan sokongan yang diberikan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kisah ini.

“Semoga lebih banyak kejayaan yang akan diraih dan impian yang selama ini diidamkan mampu untuk dicapai,” titipnya, ketika dihubungi SinarPlus.

@zulhaziyqqqq leftenan muda + mahasiswa terbaik 👊🏻 #palapes #tauliahpalapes ♬ foto kita blur hipdut skijii – 𝟏𝐍𝐄 Sqezee Noso

Tiga beradik berdikari selepas ibu tiada

Selepas kehilangan ibu, Haziq mendedahkan dia bersama dua adiknya kini tinggal di sebuah rumah sewa di Negeri Sembilan.

Dalam melalui kehidupan tanpa ibu, mereka turut menerima bantuan daripada bekas pengasuh adik bongsunya yang dianggap seperti ibu angkat.

“Sekarang kami tinggal di rumah sewa, mak angkat tidak tinggal bersama kami. Dia tengok-tengokkan adik-adik saya dan bantu serba sedikit dari segi makan minum dan sebagainya.

“Emak angkat kami itu ialah pengasuh adik bongsu sejak umurnya tiga bulan. Kami memang rapat, malah semasa ibu saya sakit pun dia banyak membantu kami sekeluarga,” ujarnya.

Pada masa sama, Haziq dan adiknya turut berusaha mencari pendapatan bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Adik bongsunya kini berada di Tingkatan Tiga, manakala seorang lagi adiknya yang berusia 21 tahun sudah bekerja.

Haziq pula melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan di sekitar universiti.

“Alhamdulillah ada elaun Palapes untuk bayar perbelanjaan seperti sewa rumah, elektrik dan air,” kongsinya.

Pesanan buat anak muda yang pernah diuji

leftenan muda Zulhaziq

Berkongsi pengalaman yang dilalui, Haziq berharap kisahnya dapat memberi semangat kepada anak muda yang pernah berdepan kehilangan, penghinaan atau ujian hidup.

Katanya, kata-kata orang tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang berhenti mengejar impian.

“Pesanan saya untuk anak muda yang mungkin senasib dengan saya, anak-anak yatim atau yatim piatu, ingat! Walau sebesar mana pun ujian mahupun dugaan, percayalah akan ada perkara baik menanti kita di hadapan.

“Walaupun kita merasakan diri kita runtuh hari ini, kita tetap kena tanamkan semangat dalam diri kita untuk bangkit berdiri dan terus melangkah hingga kita capai apa yang kita impikan sebelum ni,

“Setiap satu perkara yang kita lalui itu pasti ada hikmah yang telah ALLAH aturkan, hadapi saja dengan kesabaran nescaya kejayaan akan berpihak kepada kita insya-ALLAH!” kongsinya.

@zulhaziyqqqqiya, hinaan ini pernah bergema 3 tahun yang lalu.. Terima kasih untuk setiap kata-kata yang pernah dilontarkan. Walaupun pedihnya menghiris segala rasa di hati, walaupun sakitnya seakan-akan meruntuhkan seluruh harapan, namun pada hakikatnya ketahuilah bahawa setiap hinaan itulah mengajarkan diri ini untuk berdiri, bertahan dan terus melangkah, biarpun jalan yang ditempuh itu tidak sentiasa menjanjikan kemudahan. Siapa sangka? permulaan perjalanan di universiti yang tidak begitu baik dek kerana pemergian ibu, akhirnya berubah kepada pengakhiran yang begitu indah. Begitu banyak pencapaian, kejayaan dan kenangan yang dapat diraih dan dirasai sepanjang 3 tahun di sini. Mungkin inilah hikmah yang tuhan janjikan.. Setiap satu perkara ini sememangnya tidak mampu diraih tanpa doa dan semangat yang hadir daripada semua. Terima kasih kerana pernah menitipkan doa dan sentiasa memberi semangat tatkala diri ini rapuh, tatkala segalanya mulai goyah dan tatkala perjalanan serasa berat untuk diteruskan. Setiap doa, kata-kata dan sokongan yang diberikan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kisah ini. Semoga lebih banyak kejayaan yang akan diraih dan impian yang selama ini diidamkan mampu untuk dicapai… amin 💫♬ Duka x serana – أسرا


Sumber: TikTok @zulhaziyqqqq / SinarPlus

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×