Dilahirkan dalam keadaan normal, namun perubahan pada tubuh mula berlaku selepas tamat persekolahan apabila kulit berbiji tumbuh di wajah sebelum merebak ke beberapa bahagian badan.
Biarpun keadaan itu menyebabkan dirinya kelihatan berbeza pada pandangan sesetengah orang, Wan Noor Azaziah Wan Aziz, 40, memilih untuk menerimanya dengan hati terbuka.
Baca juga: Pernah Jalan Kaki 20KM & Basikal Dicuri, Ibu Tunggal OKU Autisme Gigih Hantar Makanan Demi Anak
WANITA TUMBUH LEBIHAN KULIT BERBIJI SELEPAS TAMAT SEKOLAH JALANI HIDUP SEPERTI BIASA

Dilahirkan dalam keadaan normal, namun selepas tamat persekolahan, wajah dan badannya mula ditumbuhi lebihan kulit berbiji sehingga kelihatan aneh bagi sesetengah orang.
Kulit berbiji mula tumbuh selepas tamat SPM
Wanita yang mesra dipanggil Kak Noor itu menganggap kelainan pada tubuhnya sebagai satu ujian yang mengingatkannya kepada ALLAH, malah tidak pernah menjadikannya alasan untuk berkurung di rumah.
Menurut Kak Noor, dia dilahirkan seperti biasa dan tidak mengalami sebarang masalah pada tubuh ketika kecil. Namun, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2003, lebihan kulit berbiji mula muncul pada bahagian wajahnya.
“Saya dilahirkan dalam keadaan normal, tetapi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2003, di bahagian muka saya mula tumbuh lebihan kulit berbiji.
“Ia tidak sakit, tetapi lama-kelamaan semakin banyak. Apabila pergi ke hospital, doktor memberitahu saya sudah terlambat untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Lebihan kulit itu kemudiannya semakin banyak sehingga merebak ke seluruh wajah dan badannya.
Selepas mendapat maklum balas daripada doktor, Kak Noor tidak lagi mendapatkan rawatan lanjut di tempat lain. Sebaliknya, dia mula belajar menerima keadaan tersebut sebagai sebahagian daripada kehidupannya.
Anak kedua daripada 10 beradik itu berkata, hanya dirinya dalam keluarga yang mengalami keadaan berkenaan.
Malah, dia turut pernah mendengar pelbagai andaian mengenai punca kulitnya, termasuk dakwaan ia berkaitan sejarah keluarga dan pantang tertentu.
“Ada juga doktor yang kata saya hidap penyakit ini disebabkan nenek moyang saya alami penyakit sama.
“Tapi bila saya tanya emak dan ayah, tiada sesiapa pun dalam keluarga kami mengalaminya. Yang kelakarnya ada yang kata mungkin saya terlanggar pantang,” katanya.
Tak mahu berkurung, anggap ujian sebagai hadiah

Kak Noor (kiri) bersama adik beradik dan Ibu bapanya.
Kak Noor yang bekerja sebagai pembantu rumah di Putrajaya mengakui ada ketika dia turut berasa sedih dengan keadaan yang dilalui. Namun, perasaan itu tidak dibiarkan berpanjangan kerana dia memilih untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa.
“Tiada sebab saya nak berkurung di rumah dan saya suka pergi ke majlis ilmu kerana pada masa sama dapat bergaul dengan ramai orang.
“Ada yang tanya, saya tak malu ke? Saya jawab, apa yang saya nak malukan kerana ujian ini hadiah daripada ALLAH supaya saya tidak lupa diri,” katanya.
Menurutnya, ada orang yang memandang pelik apabila melihat keadaannya, tetapi kebanyakannya sekadar bertanya mengenai punca perubahan pada kulitnya.
“Ada je yang memandang saya pelik, tetapi tidaklah sampai mengejek. Mereka bertanya apa puncanya (ketumbuhan) itu.
“Kadang-kadang susah juga nak terangkan dan biasanya saya akan beritahu, ini hadiah daripada ALLAH dan saya pun dah bahagia dengan ujian ini,” katanya.
Dalam kehidupan seharian, kulitnya juga sangat sensitif dan boleh berasa sakit jika disentuh dengan kuat. Dia turut tidak boleh berada terlalu lama di dalam bilik yang mempunyai suhu terlalu sejuk.
Keadaan itu pernah menyebabkan sesetengah majikan berasa bimbang untuk mengambilnya bekerja kerana menyangka masalah kulit berkenaan mungkin boleh berjangkit.
“Tak perlulah risau. Penyakit saya ini tak berjangkit pun,” katanya.
Tetap simpan hasrat bina keluarga
Dalam soal peribadi pula, Kak Noor tidak menafikan dirinya turut menyimpan impian untuk berkahwin dan membina keluarga sendiri. Namun, pada masa sama, dia bersyukur dengan kehidupan yang dilaluinya sekarang.
“Semua orang nak rasa bahagia dan ada keluarga sendiri. Tapi saya fikir, saya dah bahagia dengan kehidupan saya begini.
“Ikutkan, ada seorang lelaki yang mengajak berkahwin dan bermadu dengan isterinya. Tapi saya tidak terima pun walaupun saya memang mahu berkahwin,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian
