Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, minggu lalu, menjalani pembedahan plastik bagi merawat kecederaan pada bahagian kepala dan wajahnya.
Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, selepas menjadi mangsa serangan lima ekor anjing liar pada 5 September lalu.
JALANI PEMBEDAHAN PLASTIK SELEPAS DISERANG ANJING

Menurut ibu saudaranya, Nur, 23, perkembangan terkini Nur Haira dimaklumkan oleh ibu bapa kanak-kanak itu yang kini berada di hospital untuk menjaganya.
“Itulah cara (melalui pembedahan plastik) yang ada untuk memulihkan kecederaannya memandangkan rawatan atau pembedahan biasa tidak sesuai.
“Apa yang kami diberitahu, Nur Haira kini sudah mampu bernafas sendiri tanpa bantuan alat pernafasan. Dia juga sudah boleh membuka mata, cuma belum memberikan sebarang maklum balas,” jelasnya.
Nur berkata, keadaan Nur Haira masih dipantau rapi oleh pasukan perubatan, selain diberikan ubat tahan sakit bagi memastikan kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan selesa.
Dalam perkembangan berkaitan, usaha mengesan tiga ekor anjing yang dipercayai masih terlibat dalam kumpulan yang menyerang Nur Haira masih diteruskan.
Kebimbangan penduduk turut meningkat selepas sekumpulan kira-kira 10 ekor anjing liar dikesan berkeliaran di sekitar kawasan kampung berkenaan semalam.
Kumpulan itu dilihat berlari di kawasan kebun sawit di belakang rumah datuk Nur Haira kira-kira pukul 11 pagi, sebelum kelibat haiwan berkenaan hilang dari pandangan penduduk.
“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan penduduk kerana sebelum ini pihak berkuasa sudah menangkap tujuh ekor anjing termasuk lima anaknya, namun tiga lagi dipercayai masih berkeliaran.
“Anjing liar lain pula muncul dan ini mengundang masalah serta mengganggu ketenteraman penduduk. Kami tidak mahu kejadian yang menimpa anak saudara saya baru-baru ini berulang lagi,” kata Nur.
Perangkap dipasang di sekitar rumah mangsa

Tinjauan di kawasan kejadian mendapati pihak berkuasa telah memasang perangkap bagi menangkap tiga ekor anjing yang dipercayai masih berkeliaran di sekitar kediaman keluarga Nur Haira.
Kejadian yang menimpa kanak-kanak itu berlaku kira-kira pukul 7 pagi pada 5 September lalu. Nur Haira ditemukan dalam keadaan berlumuran darah selepas diserang lima ekor anjing liar.
Serangan itu menyebabkan bahagian kepalanya mengalami kecederaan serius, manakala pipinya turut mengalami luka akibat gigitan.
Baca juga: MyKad Generasi Baharu Rasmi Hari Ini, Tampil Dengan 53 Ciri Keselamatan Yang ‘WOW!
