Ketika kebanyakan penghantar makanan bergerak menggunakan motosikal, seorang ibu tunggal yang juga individu autisme dan orang kurang upaya (OKU) memilih berjalan kaki serta menunggang basikal demi mencari rezeki untuk anaknya.
Nur Rahimah Alia Salehuddin, 44 tahun, sudah biasa menggalas beg penghantaran sambil berjalan dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mendapatkan pesanan pelanggan.
IBU TUNGGAL OKU AUTISME GIGIH HANTAR PESANAN MAKANAN

Gambar Suharmin Yusuf: Nur Rahimah Alia berkongsi mengenai kisah hidupnya sebagai ibu tunggal bekerja sebagai penghantar makanan.
Basikal dicuri, kembali berjalan kaki
Malah, ada ketika dia perlu berjalan sehingga kira-kira 20 kilometer untuk menghantar makanan. Namun, keadaan itu tidak menghalangnya daripada terus bekerja selepas kesukaran mendapatkan pekerjaan tetap.
Nur Rahimah berkata, dia biasanya menggunakan basikal atau berjalan kaki untuk menghantar makanan. Bagaimanapun, basikal lipat yang banyak membantunya bergerak dicuri baru-baru ini.
“Kalau dapat kerja dua hingga tiga jam saja saya sudah bersyukur, itu yang saya boleh buat kerana sekarang jadual penghantaran tidak banyak
“Saya selalu menggunakan basikal atau berjalan kali untuk menghantar makanan tapi baru-baru ini, basikal lipat saya dicuri jadi saya terpaksa menghantar makanan berjalan kaki semula,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.
Tambahnya lagi, dia pernah memohon pekerjaan termasuk dalam bidang makanan dan minuman, namun tidak mendapat jawapan daripada sesetengah majikan.
“Saya mula kerja sebagai penghantar makanan pada 2020 selepas banyak kali cuba cari kerja dalam bidang lain, tetapi tidak berhasil sehingga kini. Mungkin sebab mereka tengok saya OKU,” katanya.
Bagi Nur Rahimah, pekerjaan sebagai penghantar makanan pada awalnya dilakukan dengan berjalan kaki kerana dia belum mempunyai basikal.
Dia kemudian menerima sebuah basikal menerusi satu program pada penghujung tahun sama, sekali gus memudahkannya bergerak untuk mendapatkan pesanan pelanggan.
Namun, kemudahan itu hilang selepas basikal berkenaan dicuri baru-baru ini.
“Basikal itu dicuri walaupun saya sudah menguncinya berhampiran MRT (transit aliran massa) Surian. Kunci basikal itu dipotong dan hanya rantainya yang tinggal,” katanya.
Kehilangan basikal berkenaan menambahkan cabaran buat Nur Rahimah kerana ketika berjalan kaki, dia perlu menggalas beg peribadi dan beg penghantaran makanan pada masa sama.
Pernah kerja bidang teknologi maklumat

Gambar Harian Metro: Nur Rahimah Alia mengayuh basikal untuk menghantar makanan kepada pelanggan.
Di sebalik pekerjaan sebagai penghantar makanan, Nur Rahimah sebenarnya mempunyai pengalaman dalam bidang teknologi maklumat dan pengujian perisian.
Dia pernah bekerja di beberapa syarikat berasaskan teknologi sebelum mengambil keputusan berhenti pada 2018 untuk menjaga ibu yang sakit. Ibunya kemudian meninggal dunia pada 2020.
Selepas itu, usaha Nur Rahimah untuk mendapatkan pekerjaan tetap semula menjadi semakin sukar.
“Selepas itu, saya mendapati semakin sukar mendapatkan pekerjaan tetap semula, malah ada permohonan ditolak kerana dianggap terlebih kelayakan,” katanya.
Dalam masa sama, Nur Rahimah perlu mengutamakan keperluan anaknya yang kini berusia sembilan tahun selepas perkahwinannya berakhir pada 2018.
Menurutnya, pendapatan daripada pekerjaan menghantar makanan tidak banyak, manakala adiknya turut membantu menanggung keperluan keluarga.
Nur Rahimah disahkan autisme ketika melanjutkan pengajian di peringkat diploma selepas pernah berdepan pengalaman dibuli ketika berada di kampus pada 2003.
Katanya, keadaan autisme menyebabkan dia kadangkala sukar memahami gurauan, sindiran atau perkara yang tidak disampaikan secara terus ketika berada di tempat kerja.
“Saya bukan tidak boleh bergurau, tapi sukar untuk memahami maksud tersirat yang disampaikan orang lain,” katanya.
Kini, selain meneruskan pekerjaan sebagai penghantar makanan, Nur Rahimah masih mencari peluang mendapatkan pekerjaan tetap yang bersesuaian dengan kemahiran dan kelayakannya.
Dia berharap dapat bekerja sebagai tutor Bahasa Inggeris kerana pernah membantu rakan-rakan yang lemah dalam subjek berkenaan ketika berada di universiti.
“Buat masa ini, selagi belum memperoleh pekerjaan tetap, saya memilih untuk terus berjalan, menghantar makanan dan mencari rezeki demi membesarkan anak,” katanya.
Sumber: Harian Metro
