Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran berdepan pertuduhan selepas didakwa berlagak seperti wanita ketika berada di pejabat agama di Kelantan, November tahun lalu.
Peniaga dalam talian, Khairul Izwan Sidi Ahmad, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa.
LELAKI OKU DIDAKWA BERLAGAK, BERPAKAIAN WANITA DI PEJABAT AGAMA

Gambar BERNAMA: Tertuduh, Khairul Izwan Sidi Ahmad, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Firdaus W Ibrahim.
Didakwa memakai pakaian wanita
Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Firdaus W Ibrahim mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
Mengikut pertuduhan, Khairul Izwan didakwa melakukan perbuatan berlagak seperti perempuan dengan memakai baju-T, baju ‘slim fit’, seluar dalam wanita dan selipar perempuan.
Perbuatan tersebut didakwa berlaku di Bahagian Penguatkuasaan Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), kira-kira jam 2.35 petang pada 9 November 2025.
Jika disabitkan kesalahan, pertuduhan berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Kelantan, Syafika Mat Husin dengan dibantu Ezarihan Mat, manakala Khairul Izwan diwakili peguam syarie Muhammad Syarafi Mohd Salleh dan Mohd Faqqhurudin Mohd Nasir.
Baca juga: Pernah Pimpin ‘Counter-Terrorism’ Bukit Aman, Ini Sebab Tan Sri Ayob Khan Dinobat Tokoh Wira Negara!

Gambar Sinar Harian.
Terdahulu, Syafika mencadangkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Muhammad Syarafi memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM500 dengan mengambil kira status anak guamnya sebagai OKU serta tanggungjawabnya membantu menanggung komitmen keluarga.
“Tertuduh merupakan seorang OKU dan kami mempunyai maklumat mengenai status tersebut selain perlu menanggung bil elektrik kediaman keluarga sebanyak lebih RM400 sekali gus menjadi komitmen bulanannya,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, Muhammad Syarafi ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah berkata, anak guamnya sudah membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian
