Keadaan seorang pelajar keracunan makanan di negara jiran, masih menjadi perhatian apabila dia dilaporkan mengalami gangguan ingatan dan kesukaran bercakap hampir sebulan selepas kejadian.
Febiona br Purba, 16, yang merupakan pelajar SMK Bersama Berastagi, antara mangsa yang masih menjalani pemeriksaan perubatan susulan kejadian keracunan makanan yang dipercayai berlaku selepas menikmati hidangan program Makan Bergizi Gratis (MBG) pada 13 Ogos lalu.
Baca juga: Stresnya Ketuk-Ketuk Tak Keluar! Ini 7 Petua Elak Serbuk Lada Berketul & Keras Dalam Botol
PELAJAR KERACUNAN MAKANAN DI SEKOLAH HINGGA ALAMI GANGGUAN INGATAN

Di mana, MBG merupakan program diwujudkan kerajaan Indonesia yang menyediakan makanan berkhasiat secara percuma kepada golongan penerima manfaat, khususnya pelajar sekolah yang menyerupai RMT di Malaysia.
Menurut laporan media antarabangsa, perubahan pada daya ingatan Febiona mula disedari keluarganya selepas kejadian tersebut.
Ibunya, Elvinus Lusiana br Sitanggang, berkata anaknya kini tidak lagi mengenali beberapa ahli keluarga serta rakan sekolah yang datang menziarahinya.
Keadaan itu nyata berbeza daripada kehidupan Febiona sebelum ini sehingga membuatkan keluarganya terus mendapatkan pemeriksaan bagi mengetahui punca sebenar masalah kesihatan tersebut.
Bukan sekadar hilang ingatan, Febiona juga susah bercakap
Selain gangguan daya ingatan, keluarga turut menyedari Febiona mengalami kesukaran untuk bercakap.
Menurut Elvinus, keadaan pada bahagian lidah anaknya menjadi antara perkara yang menyebabkan pertuturannya semakin sukar. Disebabkan keadaan itu, Febiona sekali lagi dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
Pada Isnin (7 September), keluarganya membawanya ke RSUP H Adam Malik, Medan, selepas sebelum ini mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Berastagi.
Febiona terlebih dahulu melalui unit kecemasan sebelum menjalani pemeriksaan di Poli Psikiatri. Dia kemudian diperiksa beberapa doktor termasuk pakar gastroenterologi kanak-kanak, neurologi kanak-kanak dan psikiatri.
Selepas menjalani pemeriksaan serta menerima ubat, Febiona dibenarkan pulang ke rumahnya di Karo.
Sudah beberapa kali ke hospital, masih alami kejang

Febiona merupakan antara pelajar yang masih mendapatkan rawatan susulan selepas kejadian yang menjejaskan ratusan pelajar di Kabupaten Karo.
Ketika kejadian pada 13 Ogos lalu, dia mendapatkan rawatan di RS Amanda Berastagi sebelum keadaannya dilaporkan merosot dan dirujuk ke RS Haji Medan.
Selepas keadaan kesihatannya bertambah baik, Febiona dibenarkan pulang. Namun, tidak lama kemudian, keluarga mendakwa dia kembali mengalami kejang sehingga perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan secara berkala.
Keluarga kini berharap keadaan kesihatan Febiona dapat dikenal pasti dengan lebih jelas supaya rawatan yang sesuai dapat diberikan.
Mereka juga mahu pemeriksaan lanjut dapat menjelaskan punca sebenar pelbagai gejala yang dialami selepas kejadian berkenaan.
Kes dugaan keracunan MBG itu sebelum ini menjejaskan 353 pelajar di Kabupaten Karo, Sumatera Utara, Indonesia, selepas beberapa pelajar mengalami gejala seperti gatal pada mulut dan kulit serta sesak nafas.
Walaupun sebahagian besar pelajar sudah mendapatkan rawatan, beberapa mangsa termasuk Febiona masih memerlukan pemeriksaan susulan.
Baca juga: Ramai Ibu Simpan Idea & Kecur Air Liur, 11 Foto Menu Berpantang Amira Othman Dipuji Sedap & Seimbang
Sumber: KOMPAS
FT Image: Kisah Dunia
