Euforia Bola 2026
Famili

“Nyawa Dan Roh Cafe Dah Tak Ada”– Hari Ini Terakhir Beroperasi, Secangkir Cafe Tutup Selepas Pemilik Maut Dalam Nahas LPT1

secangkir cafe

Bukan mudah untuk keluarga meneruskan sesuatu yang cukup sinonim dengan insan tersayang selepas pemergiannya. Begitulah yang berlaku apabila Secangkir Cafe akhirnya mengumumkan bakal menutup operasi, sekali gus menamatkan legasi yang dibina oleh pemiliknya, Allahyarham Nur Atiqah Sofiya Mohd. Kazwan.

Pengumuman itu dikongsikan oleh abang kepada arwah menerusi hantaran di Threads @iqiekazama dengan nada yang cukup berat.

Baca juga: “Armaan Happy Lah Mummy Hari Ini”- Hantaran Merdeka Terakhir Ibu Sebelum Sekeluarga Maut Di LPT1 Undang Sebak

LEGASI SECANGKIR CAFE BERAKHIR, DITUTUP SELEPAS HARI  INI

secangkir cafe

Allahyarham Sofiya bersama suaminya dan anak mereka yang terlibat dalam nahas LPT1, Temerloh selepas menyambut Hari Kebangsaan pada Isnin lalu.

Menurutnya, keluarga mengambil keputusan untuk tidak meneruskan operasi kafe berkenaan kerana merasakan “nyawa dan roh” tempat tersebut sudah tiada selepas pemergian Allahyarham Sofiya.

“Sayang seribu kali sayang, tapi terpaksa juga kerana nyawa dan roh di cafe tersebut sudah tiada,” luahnya menerusi hantaran tersebut.

Keputusan itu juga bukan semata-mata kerana ketiadaan Allahyarham sebagai pemilik, sebaliknya keluarga mengakui mereka tidak mempunyai kepakaran untuk menghasilkan semula kek-kek istimewa yang selama ini dibuat oleh Allahyarham Sofiya.

Malah, setiap kek dikatakan mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza pada setiap minggu.

Hari ini jadi peluang terakhir pelanggan

Bagi menghargai semua pelanggan yang tidak pernah putus memberikan sokongan, Secangkir Cafe akan dibuka buat kali terakhir pada Jumaat, 4 September 2026. Bagaimanapun, waktu operasi untuk hari terakhir itu agak terhad, iaitu dari jam 3 petang hingga 9 malam sahaja.

Untuk jualan terakhir, keluarga akan memberi tumpuan kepada dua menu utama iaitu kopi dan kek.

Stok juga tidak banyak. Bagi memastikan lebih ramai pelanggan berpeluang mendapatkan kek untuk kali terakhir, pembelian akan dihadkan kepada satu potong kek bagi setiap pelanggan.

Sementara itu, bekalan kopi pula hanya tersedia sebanyak 300 cawan.

Jadi, bagi mereka yang sudah lama menjadi pelanggan atau sekadar ingin menikmati secawan kopi dan sepotong kek dari Secangkir buat kali terakhir, hari ini mungkin menjadi peluang terakhir.

Baca juga: “Saya Perlu Lakukan Sesuatu”– Anniversary Ke-10 Tanpa Suami, Isteri Pegawai Bomba Nekad Terbang Ke Kathmandu Untuk Cari

Hasil jualan untuk selesaikan urusan arwah

secangkir cafe

Bukan sekadar menutup kedai, keluarga turut memaklumkan mereka akan melelong baki stok serta perkakasan kafe. Gambar barangan yang akan dilelong juga akan dikongsikan kepada orang ramai pada hari ini.

Apa yang membuatkan keputusan ini lebih menyentuh hati, hasil daripada jualan dan lelongan tersebut akan digunakan sekiranya Allahyarham masih mempunyai hutang atau urusan kewangan yang belum diselesaikan.

Keluarga mahu menggunakan hasil berkenaan untuk melunaskan apa-apa yang masih tertunggak atas nama Allahyarham.

Dalam hantaran sama, abang arwah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan yang pernah menyokong Secangkir Cafe sejak awal penubuhannya.

Walaupun berat untuk melepaskan sesuatu yang menjadi sebahagian daripada kenangan bersama Allahyarham, keluarga percaya penutupan itu adalah keputusan terbaik buat masa ini.

Tragedi nahas ngeri di LPT1, Temerloh

Terdahulu, media melaporkan Allahyarham Sofiya maut bersama suami, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Temerloh.

Mereka dilaporkan menaiki sebuah Proton S70 ketika nahas berlaku, manakala seorang lelaki yang menaiki Honda CR-V turut terkorban.

Antara kenderaan yang terlibat termasuk bas ekspres, lori tangki simen, trak pikap, MPV, SUV dan beberapa buah kereta.

Kini, selepas pemergian Allahyarham Sofiya, Secangkir Cafe juga bakal melabuhkan tirai. Namun, kenangan yang tercipta bersama kopi dan kek hasil air tangannya pastinya akan terus tersimpan dalam ingatan pelanggan yang pernah berkunjung.

 

Lihat di Threads

 

Sumber: Threads @iqiekazama

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×