Tidak sanggup terus menunggu perkembangan di Malaysia, Hani Othman nekad terbang seorang diri ke Kathmandu pada Jumaat minggu lalu untuk mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi mencari suaminya dan anggota kumpulan yang masih hilang selepas bencana Nepal.
Hani ialah isteri kepada Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe, yang dilaporkan gagal dihubungi selepas menyertai misi pendakian di negara berkenaan.
HANI TEKAD MENCARI SUAMI HILANG SELEPAS BENCANA NEPAL

Gambar FB Hani Othman: Hani berkongsi perkembangannya yang sudah selamat tiba di Kathmandu pada Sabtu lalu.
Keputusan untuk ke Nepal dibuat atas inisiatif sendiri kerana Hani mahu berada lebih dekat dengan operasi pencarian.
“Ini inisiatif saya sendiri untuk dapatkan perkembangan terkini sebab saya tak boleh duduk di rumah saja dan menangis. Saya perlu lakukan sesuatu.
“Setakat ini saya pergi seorang diri tetapi di sana nanti ada rakan-rakan serta kenalan suami yang sedia membantu. Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu juga telah dimaklumkan mengenai kehadiran saya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sanggup berdepan perkara yang paling ditakuti
Setibanya di Nepal, Hani bukan sekadar menunggu perkembangan daripada pihak berkuasa.
Dia turut mengikuti proses pengecaman mayat di sebuah hospital bagi memastikan sama ada terdapat sebarang petunjuk mengenai suaminya dan anggota kumpulan yang masih belum ditemui.
“(Saya) perlu biasakan diri tengok mayat-mayat ini, kalau tak macam mana nak cari diorang (mereka)?”
“Setakat ni pengecaman mayat, tak jumpa tanda-tanda mereka. Tapi ngeri jugalah tengok (keadaan mayat).
“Sedih tengok mayat baby (bayi). But everyday (tapi setiap hari) mungkin ada update new (perkembangan baru) mengenai mayat yang dijumpai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Sabtu minggu lepas..
Di Malaysia pula, keluarga dan rakan-rakan terdekat terus mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan Loe serta mangsa lain.
Selain Loe, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Mohd Sani Harul, turut dilaporkan hilang dalam ekspedisi sama.
Ulang tahun ke-10 tanpa suami di sisi

Gambar FB Hani Othman: Hani bersama suaminya, Loe yang masih hilang selepas bencana banjir dan tanah runtuh di kawasan sempadan Nepal-Tibet.
Lebih menyentuh hati, penantian itu berlaku ketika Hani dan Loe sepatutnya meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10 pada 3 September 2026.
“Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-10. 3.9.2016 hingga 3.9.2026. Abang patut balik hari ini. Abang dah janji nak bawa balik hadiah anniversary (ulang tahun).
“‘Nervous’ (berdebar-debar) laaaa hadiah apa abang nak bagi tahun ini,” luahnya di Facebook.
Dalam luahan sama, Hani turut menyenaraikan satu persatu perancangan mereka yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada kehidupan pasangan berkenaan.
Pasangan itu dijadual menduduki peperiksaan SKM TVET pada 6 September, melengkapkan kursus divemaster di Pulau Tioman pada Oktober dan mendaki Gunung Rinjani pada Mei tahun depan.
Mereka turut mempunyai impian untuk ke Gunung Kilimanjaro pada Ogos akan datang.
Namun, impian yang paling besar ialah menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest. Hani pernah berjanji untuk berlatih bersama dan menemani Loe bagi merealisasikan impian tersebut.
“Sayang dah cakap dengan abang kan kita akan training sama-sama dan sayang akan teman abang kali ini sampai ke puncak Everest.
“Impian abang nak ke puncak Everest tak settle (selesai) lagi ni tau. Tolonglah abang… ‘where are you’? (di mana awak?),” katanya.
Sebelum berlepas ke Nepal, Loe juga pernah berkongsi pandangan mengenai risiko pendakian gunung ekstrem menerusi media sosial pada 2 Ogos lalu.
Kini, Hani berada di negara berkenaan bukan untuk bercuti atau meraikan ulang tahun perkahwinan, sebaliknya mencari suami tercintanya.
Di sebalik setiap perkembangan operasi pencarian, harapannya masih sama. Semoga penantian itu berakhir dengan kepulangan Loe dan bukan berita yang paling ditakutinya.
Sumber: Berita Harian (1) (2) (3)
FT Image: Facebook Hani Othman
