Drama Madu atau Racun menjadi perhatian selepas kandungannya mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan sensitiviti agama dan norma budaya tempatan.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menyatakan ketidaksetujuan terhadap penayangan drama berkenaan.
DRAMA ‘MADU ATAU RACUN’ CETUS KONTROVERSI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pihaknya kesal dengan penerapan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan budaya, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
“Penerapan unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung, agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni berkenaan.
Kerajaan minta kandungan disemak
Susulan kontroversi itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan drama berkenaan serta menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.
Semakan itu akan mengambil kira Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015) selain peruntukan undang-undang sedia ada.
Dr Zulkifli pada masa sama mengingatkan penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran supaya lebih peka terhadap garis panduan yang ditetapkan ketika menghasilkan sesuatu karya.
“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejaskan keharmonian norma masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh umat Islam bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan.
MIG tampil beri penjelasan
Dalam perkembangan sama, syarikat penerbitan Metrowealth (MIG) tampil memohon maaf kepada penonton serta semua pihak yang terkesan dengan kontroversi berkenaan.
Menerusi kenyataan di Instagram rasmi MIG Online, pihak produksi mengakui terdapat babak dalam drama itu yang dilihat agak keterlaluan untuk tontonan umum.
MIG turut menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah berniat untuk menyentuh, memperlekehkan atau sengaja mencetuskan kontroversi menerusi karya tersebut.
Pihak produksi berkata mereka mengambil serius segala komen dan teguran yang diterima serta akan menjadikannya sebagai pengajaran untuk memperbaiki karya pada masa akan datang.
View this post on Instagram
Tentang drama ‘Madu atau Racun’
Drama lakonan Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha itu sebelum ini mencetuskan perdebatan selepas beberapa adegan didakwa menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Karya yang disiarkan menerusi platform penstriman iQIYI itu mengisahkan konflik rumah tangga membabitkan isu poligami.
Watak Azura lakonan Uqasha cuba menjadi isteri yang sempurna, namun suaminya, Adli yang dilakonkan Aliff, membuat keputusan untuk berkahwin dengan Nikita, lakonan Elisya.
Keadaan bertambah rumit apabila kedua-dua isteri dibawa tinggal di bawah satu bumbung sebelum berlaku krisis besar dan kejadian misteri yang akhirnya mengorbankan nyawa Adli.
Kontroversi yang tercetus selepas tayangan drama itu kini membuka semula perbincangan mengenai sejauh mana kandungan hiburan perlu mengambil kira sensitiviti agama, budaya dan norma masyarakat tempatan.

iQIYI turunkan 6 episod Madu atau Racun, baki enam ditangguh
Platform penstriman iQIYI bersetuju menurunkan sementara enam episod drama “Madu atau Racun” yang telah ditayangkan dan menangguhkan baki enam episod lagi untuk proses suntingan serta penilaian semula bagi keseluruhan 12 episod.
Keputusan ini dicapai hasil mesyuarat khas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia FINAS bersama iQIYI dan syarikat produksi atas arahan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berikutan teguran terhadap kandungan drama tersebut.
Proses suntingan akan merujuk kepada garis panduan Lembaga Penapis Filem (LPF) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bagi kandungan OTT (over-the-top) sebelum dinilai semula oleh panel penilai.
Malah, tiada tempoh khusus ditetapkan untuk drama itu dimuat naik semula kerana ia bergantung kepada pihak produksi dan iQIYI mengemukakan versi baharu untuk dinilai.
FINAS turut menjelaskan bahawa aspek penapisan kandungan Internet kini di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandangkan kerangka kawal selia OTT masih digubal.
Bagaimanapun, FINAS mempunyai punca kuasa menerusi Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), yang perlu diperoleh syarikat produksi di Malaysia termasuk bagi kandungan untuk platform antarabangsa, OTT dan YouTube.
Kini, FINAS sedang meneliti rancangan untuk menambah syarat dalam Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) bagi membolehkan tindakan diambil terhadap produksi yang menghasilkan kandungan sensitif atau menjejaskan keharmonian masyarakat pada masa hadapan.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan – JAWI / MIG Online / Harian Metro

