Seorang ibu berkongsi beberapa tips anak fokus belajar yang diperolehnya daripada seorang imam masjid termasuk amalan mudah yang boleh dilakukan ibu bapa khususnya bagi membantu mereka lebih bersedia sebelum memulakan sesi persekolahan.
Menerusi perkongsian tersebut, wanita berkenaan berkata, dia pernah bertanya kepada imam berkenaan rahsia kejayaan anak-anaknya yang kesemuanya berjaya dalam kehidupan.
IMAM MASJID KONGSI TIPS ANAK FOKUS BELAJAR, MENJADI

Menurutnya, antara perkara yang ditekankan oleh imam itu ialah ibu bapa tidak seharusnya memarahi anak-anak pada waktu pagi sebelum mereka ke sekolah.
Katanya, suasana pagi yang tenang penting supaya anak-anak dapat memulakan hari dengan emosi yang lebih baik dan bersedia menerima pembelajaran di sekolah.
“Setiap pagi jangan marah anak-anak. Anak-anak akan mudah menerima ilmu di sekolah. Jangan bergaduh pada waktu pagi. Jika perkara negatif dimulakan pada awal pagi, ia boleh mempengaruhi sepanjang hari,” katanya seperti dikongsikan dalam Threads.
Selain itu, ibu bapa turut disarankan supaya mengingatkan anak-anak pada setiap malam untuk menyiapkan tugasan sekolah, menyusun beg dan menyediakan keperluan persekolahan lebih awal.
Langkah tersebut dapat membantu anak-anak membina rutin yang lebih teratur serta mengurangkan keadaan kelam-kabut pada waktu pagi.
Pandang mata anak & peluk sebelum ke sekolah

Dalam perkongsian sama, beliau turut berkongsi satu lagi pesanan daripada imam berkenaan yang menyentuh hubungan emosi antara ibu bapa dan anak.
Sebelum anak berangkat ke sekolah selepas bersalaman dengan ibu bapa, mereka disarankan supaya memandang mata anak, memberikan senyuman dan mencium mereka.
Menurutnya, amalan sederhana itu diharapkan dapat memberikan ketenangan kepada anak sebelum memulakan hari persekolahan serta membantu mereka lebih mudah menerima ilmu yang disampaikan oleh guru.
Turut kongsikan doa Rasulullah SAW untuk Ibnu Abbas
Selain amalan harian, beliau turut menyelitkan doa yang diriwayatkan sebagai doa Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas ketika beliau masih kecil.
Doa tersebut ialah:
اللهم فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
“Allahumma faqqihhu fid din, wa ‘allimhu at ta’wil.”
Maksudnya: “Ya Allah, berilah dia kefahaman dalam agama dan ajarkanlah kepadanya tafsir al-Quran.”
Perkongsian berkenaan mendapat perhatian pengguna Threads yang turut berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing mengenai rutin pagi, hubungan ibu bapa dengan anak serta amalan yang dilakukan sebelum anak ke sekolah.
Baca juga: Malaysia Boleh! 10 Anak Tempatan Ini Berjaya Cipta Nama Dari Hollywood Hingga Pentas Olimpik Dunia
Sumber: Threads Wawa Azzuwa
