Cucu Chef Wan, Isabella Saffiya mencuri perhatian selepas terpilih mewakili Malaysia dalam sukan bola sepak, sekali gus mencetuskan rasa bangga buat cef selebriti berkenaan sebagai seorang datuk.
Menerusi perkongsian di media sosial, cef selebriti itu berkongsi beberapa foto Isabella bersama pasukannya selepas mendapat tahu mengenai pencapaian cucunya di Indonesia.
Baca juga: Malaysia Boleh! 10 Anak Tempatan Ini Berjaya Cipta Nama Dari Hollywood Hingga Pentas Olimpik Dunia
CUCU CHEF WAN TERPILIH WAKIL MALAYSIA BOLA SEPAK

Chef Wan mengakui dirinya bukan seorang peminat bola sepak dan tidak begitu mengetahui mengenai perkembangan sukan tersebut.
Namun, selepas menerima mesej daripada anaknya, Serina Redzuawan, serta beberapa laporan media, barulah beliau mengetahui bahawa Isabella kini membawa nama negara dalam arena bola sepak.
Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan yang diwakili Isabella mencatat kemenangan besar 9-0 ketika menentang Arab Saudi di Indonesia.
“Tahniah kepada Isabella dan pasukannya atas pencapaian mereka. Saya sangat bangga dengannya. Alhamdulillah,” katanya.
Perkongsian itu jelas menunjukkan keterujaan Chef Wan sebagai seorang datuk melihat cucunya diberi peluang mengharumkan nama Malaysia dalam bidang sukan.
Serina bangga anak terpilih

Dalam pada itu, ibu kepada Isabella, Serina turut berkongsi mengenai pencapaian anaknya tersebut menerusi media sosial.
Menurut Serina, Isabella terpilih sebagai atlet yang mewakili Malaysia dalam bola sepak dan kini berada di Indonesia bagi menyertai Srikandi Merdeka Cup.
Serina turut memaklumkan skuad Malaysia berjaya mencatat kemenangan 9-0 ke atas Arab Saudi dalam perlawanan yang berlangsung baru-baru ini.
Serina menyifatkan Isabella sebagai seorang anak yang berani, aktif dan gemar melakukan aktiviti sukan lasak, sama seperti dirinya.
Malah, Serina berkata, minatnya terhadap sukan sudah bermula sejak zaman persekolahan dan tidak menyangka anaknya turut mewarisi kecenderungan yang sama.
Menurutnya, Isabella kini mencipta pencapaian tersendiri apabila bukan sekadar aktif dalam sukan, malah berpeluang mewakili negara.
“Sejak zaman sekolah, saya memang aktif dalam sukan. Tidak sangka anak saya pun sama, malah lebih hebat kerana menjadi wakil Malaysia. Doa ibu sentiasa mengiringi Isabella. Semoga berjaya menjadi juara. Amin,” tulisnya.
Sumber: Threads Chef Wan & Instagram Serinaredzuawan
