Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat pembetulan terhadap tarikh Ujian Mendengar bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 selepas terdapat kesilapan pada ringkasan jadual yang diedarkan sebelum ini.
Menerusi makluman terbaharu, Ujian Mendengar Bahasa Melayu akan diadakan pada 23 November 2026, manakala Ujian Mendengar Bahasa Inggeris pula berlangsung sehari selepas itu, iaitu pada 24 November.
Baca juga: Tarikh SPM 2026 Diumumkan, 420,879 Calon Bakal Duduki Peperiksaan Mulai 26 Oktober-Disember
TARIKH UJIAN MENDENGAR SPM 2026 DIBETULKAN
Selain itu, Ujian Amali Sains ditetapkan dari 16 hingga 18 November 2026. Bagi peperiksaan bertulis, calon SPM 2026 perlu mendudukinya bermula 23 November sehingga 17 Disember 2026.
KPM turut memaklumkan bahawa jadual lengkap peperiksaan SPM 2026 kini boleh dirujuk menerusi portal rasmi Lembaga Peperiksaan. Calon, ibu bapa dan pihak sekolah disarankan menyemak jadual penuh berkenaan bagi mendapatkan tarikh yang tepat.
Sebelum ini, KPM mengumumkan seramai 420,879 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM 2026. Peperiksaan tersebut akan dilaksanakan di 3,334 pusat peperiksaan yang disediakan di seluruh negara.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan peperiksaan SPM 2026 dijadualkan bermula pada 26 Oktober dan berakhir pada 17 Disember 2026, melibatkan beberapa komponen peperiksaan termasuk ujian amali, ujian mendengar dan peperiksaan bertulis.
KPM dalam masa sama memohon maaf atas kekeliruan serta sebarang kesulitan yang mungkin timbul susulan pembetulan tarikh berkenaan.
Justeru, calon dinasihatkan supaya tidak bergantung kepada jadual ringkasan yang terdahulu dan membuat semakan terus pada jadual rasmi bagi memastikan persediaan peperiksaan dapat dilakukan mengikut tarikh sebenar.
Baca juga: “Dulu Cantik Macam Anak Patung, Pelajar Cemerlang SPM” – Rakan Lama Dedah Kisah Kak Liza Teluk Intan
Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia
