Daripada membawa penumpang di awan biru selama 16 tahun, seorang bekas anak kapal (lead steward) kini mencuri perhatian dunia menerusi seni kreatif yang cukup berbeza apabila hasil tangannya sebagai Abang Belon menjadi rujukan artis belon dari pelbagai negara.
ABANG BELON SENI GUBAHAN 3D CURI TUMPUAN DUNIA

Tangkap layar: TikTok @abangbeloncakewhat
Syed Shahrizal Syed Othman, 45, atau lebih dikenali sebagai Abang Belon, bukan lagi nama asing dalam industri hiasan belon apabila inovasi gubahan bunga belon atau balloon flowers yang dihasilkannya berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Karyanya menggabungkan struktur tiga dimensi, teknik gubahan unik dan perincian tersendiri sehingga mendapat perhatian pereka belon dari luar negara.
Nekad tinggalkan kerjaya penerbangan

Tangkap layar: TikTok @abangbeloncakewhat
Mengimbas kembali perjalanan dalam industri berkenaan, Syed Shahrizal berkata keputusan meninggalkan kerjaya dalam bidang penerbangan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada seni belon merupakan antara langkah paling berani pernah dilakukannya.
Keputusan itu dibuat selepas beliau menghentikan perniagaan kek Cake What yang pernah diusahakannya.
“Sewaktu terbang ke luar negara seperti Australia, saya lihat seni belon mereka sangat maju dan cantik. Di Malaysia ketika itu, potensinya besar, tetapi belum diterokai secara kreatif.
“Saya bertatih dari bawah, belajar mengikat belon sendiri dan ambil langkah berani dengan membuka kedai di Presint 15 Putrajaya, sehinggalah kini berjaya mencipta identiti sendiri yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.
Daripada bermula dengan mempelajari teknik asas sendiri, Abang Belon akhirnya membina identiti tersendiri yang membezakan hasil kerjanya daripada artis belon lain.
Karya Abang Belon jadi perhatian dunia

Gambar: TikTok @abangbeloncakewhat
Pengiktirafan antarabangsa terhadap hasil kerja Abang Belon dapat dilihat apabila beliau menjadi satu-satunya artis belon dari Asia yang dilantik secara rasmi oleh jenama belon antarabangsa dari Turkiye, Kalisan.
Tidak hanya itu, pengeluar produk belon utama dari China turut menaja projeknya untuk menghasilkan struktur gubahan belon berupa bendera gergasi dan bunga matahari sempena sambutan Merdeka akan datang.
Menurut Syed Shahrizal, pengiktirafan daripada pasaran antarabangsa itu memberikan kepuasan tersendiri selepas bertahun-tahun menjadikan hasil karya artis luar sebagai sumber inspirasi.
“Rasa bangga dan berbeza sangat perasaannya apabila karya anak tempatan mendapat pengiktirafan daripada pasaran Eropah dan AS.
“Orang luar negara sendiri jadikan hasil seni saya sebagai penanda aras (benchmark) dan kalau dulu saya tengok Pinterest untuk dapatkan ilham artis belon luar.
“Kini hasil tangan saya dalam seni hiasan belon bertebaran di Pinterest dan menjadi sumber rujukan artis belon di luar,” katanya.
Antara karya yang pernah mendapat perhatian ramai ialah hiasan bunga belon tiga dimensi setinggi banglo dua tingkat yang dihasilkan bersama 24 pelajarnya.
Projek itu menggunakan kira-kira 5,000 belon, sekali gus memperlihatkan skala dan tahap ketelitian yang diperlukan untuk menghasilkan struktur seni berkenaan.
Sentuhan kreatif Abang Belon juga sering mendapat kepercayaan selebriti, tokoh kenamaan serta organisasi korporat untuk menghiasi pelbagai acara.
Lebih 3,000 pelajar sudah dilatih

Tangkap layar: TikTok @abangbeloncakewhat
Selain menghasilkan karya, Abang Belon turut aktif berkongsi kemahirannya menerusi bengkel dan kelas gubahan belon secara fizikal serta dalam talian.
Sehingga kini, beliau sudah melatih lebih 3,000 pelajar yang terdiri daripada usahawan tempatan, agensi kerajaan termasuk Jabatan Belia dan Sukan serta peserta antarabangsa.
Antara negara yang pernah disertainya termasuk Brunei, Jakarta, Dubai, Turkiye dan United Kingdom (UK).
“Banyak pereka belon luar negara yang tidak sempat hadir ke kelas fizikal di Dubai akan terus berhubung menerusi dalam talian.
“Malah, saya pernah mengendalikan kelas fizikal di Jakarta dan Brunei serta dalam akan datang di UK tidak lama lagi.
“Tujuannya saya mahu lahirkan lebih ramai usahawan belon berkemahiran tingi. Saya juga berharap satu hari nanti industri ini mendapat pengiktirafan rasmi menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM),” katanya.
Pengaruhnya turut berkembang menerusi media sosial apabila akaun TikTok Abang Belon kini mempunyai lebih 140,000 pengikut.
Malah, salah satu hasil gubahannya pernah tular dan meraih 17.9 juta tontonan, termasuk daripada peminat seni belon di luar negara.
Bagi Syed Shahrizal, kejayaan menembusi pasaran global bukan semata-mata bergantung kepada harga yang murah, sebaliknya identiti dan keaslian karya menjadi perkara penting untuk membina nama.
“Dulu saya membawa penumpang di awan biru, kini saya bangga dapat membawa nama Malaysia ‘terbang’ tinggi menerusi kemahiran sebagai artis belon dipandang dunia,” katanya.
Sumber: Harian Metro / TikTok @abangbeloncakewhat
FT Image: Syed Shahrizal Syed Othman
