Euforia Bola 2026
Inspirasi

“Dato’ Jojo Soon?”- Terima Pingat Ahli Bintang Sarawak Di Usia 19 Tahun, Seloroh Jojo Ghazali Buat Ramai Tersenyum

johan ghazali

Usianya baru 19 tahun, tetapi nama Jojo Ghazali sudah cukup dikenali dalam arena Muay Thai antarabangsa. Terbaharu, anak muda kelahiran Sarawak itu menerima satu lagi pengiktirafan apabila dianugerahkan Pingat Ahli Bintang Sarawak (A.B.S).

Pengurniaan itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak pada 13 Ogos.

Baca juga: Pantau Proses Sertu Sebelum Buka Restoran, Adam Corrie Fikir Kebajikan Solat Pekerja Raih Pujian

JOJO GHAZALI TERIMA DARJAH KEBESARAN AHLI BINTANG SARAWAK DI USIA 19 TAHUN

jojo ghazali

Instagram Johan Ghazali

Jojo atau nama sebenarnya Muhammad Johan Ghazali Zulfikar merupakan antara 154 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Sarawak pada istiadat berkenaan.

Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap pencapaian serta sumbangannya dalam mengharumkan nama Sarawak menerusi sukan Muay Thai.

Bukan sekadar pingat, Sarawak ada tempat istimewa di hati Jojo

Bagi Jojo, pengiktirafan itu mempunyai makna tersendiri kerana Sarawak merupakan negeri yang banyak membentuk perjalanan hidup dan kariernya sebagai seorang petarung.

Menerusi hantaran di Instagram, Jojo mengangkat pepatah Sarawak “Agi idup agi ngelaban” yang membawa maksud selagi hidup, selagi itulah seseorang akan terus berjuang.

“In Sarawak we have a saying ‘Agi idup agi ngelaban’ which means ‘As long as I live, I will fight’ and I live by that,” tulisnya.

Jojo turut menitipkan penghargaan buat Sarawak yang disifatkannya sebagai tempat yang dekat di hati, “To the city that has my heart, thank you for the recognition. Alhamdulillah. I will continue to do my best to put this place on the map.”

Kata-kata tersebut cukup menggambarkan tekad Jojo untuk terus membawa nama Sarawak ke pentas lebih besar menerusi kariernya dalam sukan tempur.

Lebih mencuit hati, Jojo turut berkongsi satu lagi hantaran selepas menerima pingat berkenaan, “Officially a national treasure?.”

Dia kemudian mengucapkan terima kasih kepada Tun Wan Junaidi dan Sarawak atas pengiktirafan tersebut sebelum menutup hantaran dengan nada berseloroh, “Dato’ Jojo soon?”

Gurauan itu ternyata menghiburkan pengikutnya, lebih-lebih lagi apabila melihat pencapaian yang sudah diraih Jojo pada usia yang masih muda.

jojo ghazali

Instagram Johan Ghazali

DARI BERLATIH SEJAK USIA 10 TAHUN HINGGA KE PENTAS ONE CHAMPIONSHIP

Di sebalik imejnya sebagai petarung muda yang agresif di gelanggang, perjalanan Jojo dalam Muay Thai sebenarnya bermula sejak kecil.

Menurut profil rasmi ONE Championship, Jojo mewakili Rentap Muaythai Gym dan mula mencuba sukan tersebut ketika berusia 10 tahun. Minat itu juga bukan sesuatu yang asing dalam keluarganya kerana kedua-dua ibu bapanya mempunyai latar belakang sebagai petarung Muay Thai.

Ibunya berasal dari Amerika Syarikat, manakala bapanya mempunyai darah Melayu, Indonesia dan Jepun. Kedua-duanya bertemu ketika berlatih Muay Thai di Amerika Syarikat.

Jojo yang dilahirkan di Sarawak kemudian membesar di Malaysia dalam keluarga yang sememangnya dekat dengan dunia Muay Thai.

Menariknya, permulaan kariernya di Thailand tidak terus berjalan mudah. Jojo mengalami lima kekalahan dalam lima pertarungan pertama ketika mula merentas sempadan untuk bertanding di Thailand.

Namun, kemenangan dalam pertarungan keenam di negara berkenaan mengubah perjalanan kariernya.

Selepas itu, dia terus bangkit dan akhirnya mendapat peluang beraksi dalam ONE Friday Fights, siri acara mingguan ONE Championship yang berlangsung pada waktu utama di Asia.

Jojo kemudian mencatatkan empat kemenangan berturut-turut, sekali gus memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 bersama ONE Championship.

Dari remaja Sarawak ke pentas dunia

johan ghazali

Gambar One Championship (kiri) dan Instagram Johan Ghazali (kanan).

Sebelum mencuri perhatian di ONE Championship, Jojo turut mengukir pencapaian di peringkat amatur.

Antara kejayaan yang melonjakkan namanya ialah apabila dia menjuarai Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 selepas menewaskan wakil Rusia, Rustam Yunusob.

Kini, nama Jojo bukan lagi sekadar dikenali dalam kalangan peminat Muay Thai tempatan. Gaya pertarungannya yang agresif serta keyakinan tinggi di dalam gelanggang membuatkan dia semakin mendapat perhatian peminat sukan tempur antarabangsa.

Namun, di sebalik kejayaan yang semakin berkembang, pengiktirafan Ahli Bintang Sarawak itu menjadi satu lagi momen istimewa buat Jojo.

Daripada seorang kanak-kanak yang mula berlatih Muay Thai pada usia 10 tahun, dia kini membawa nama Sarawak dan Malaysia ke pentas antarabangsa.

Dan dalam melalui perjalanan masih panjang untuk terus mencipta nama dan mengumpul pencapaian, mana tahu gurauan petarung muda ini “Dato’ Jojo soon?” menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Sumber: Instagram @johanghazali_ (1) (2) / Jabatan Penerangan Sarawak / One Championship

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×