Bagi yang sudah lama menanti kepulangan Formula Satu (F1) ke Malaysia, ada berita menarik kerana tiket F1 untuk perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober depan kini sudah mula dijual.
Lebih menarik, rakyat Malaysia yang memiliki MyKad boleh menikmati harga istimewa untuk pas tiga hari. Harga ditawarkan pula jauh lebih rendah berbanding tiket untuk peminat antarabangsa.
SENARAI HARGA TIKET F1 & INFO LANJUT PEMANDANGAN GRANSTANDS
Bukan sekadar memilih berdasarkan harga, lokasi tempat duduk juga penting kerana setiap Grandstand dan Hillstand menawarkan pemandangan berbeza sepanjang perlumbaan.
Bagi yang teruja mahu merasai sendiri deruman enjin dan aksi pemandu F1 dari tepi litar, berikut 6 pilihan tiket F1 di Sepang berserta pemandangan yang boleh dinikmati di setiap kawasan.
1. Main Grandstand

Bagi yang mahukan pengalaman paling dekat dengan aksi utama di litar, Main Grandstand terletak betul-betul di tengah-tengah litar.
Dari sini, peminat boleh melihat laluan lurus permulaan dan penamat, laluan masuk serta keluar pit dan juga petak pit pasukan.
Ini bermakna setiap detik penting perlumbaan, termasuk permulaan, pertukaran kedudukan dan sambutan selepas perlumbaan, boleh disaksikan dari satu lokasi.
Lebih menarik, kawasan Grandstand Utama ini juga dilindungi daripada panas dan hujan.
- Pemegang MyKad pas tiga hari ialah RM2,083.40
2. K1 Grandstand

Kalau lebih suka melihat aksi sengit sebaik sahaja perlumbaan bermula, K1 Grandstand mungkin pilihan yang lebih menarik.
Grandstand ini terletak di Selekoh 1 dan 2, sekali gus memberikan pemandangan terbaik terhadap permulaan perlumbaan dan aksi memotong di selekoh pertama.
Di sinilah peminat boleh melihat pemandu membrek dengan kuat selepas lampu hijau dan berebut kedudukan seawal pusingan pertama.
- Pemegang MyKad pas tiga hari ialah RM1,386
3. F Grandstand 
Peminat yang mahu melihat kemahiran pemandu mengawal jentera di bahagian teknikal litar boleh memilih F Grandstand.
Lokasinya memberikan pemandangan terhadap aksi pemandu ketika melalui selekoh berkembar Selekoh 7 dan 8.
Bahagian ini sesuai untuk melihat aksi kereta yang bergerak rapat, pertempuran secara bersebelahan dan teknik membrek tepat ketika pemandu cuba mengekalkan kedudukan.
- Pemegang MyKad pas tiga hari ialah RM1,291.40
4. B & C Hillstand

Kalau mahu menikmati aksi F1 tanpa membayar harga Grandstand, B dan C Hillstand merupakan pilihan yang lebih mesra bajet.
Kedua-duanya merupakan kawasan rumput general admission di ruang terbuka, tetapi menawarkan pemandangan berbeza.
B Hillstand menghadap bahagian selekoh terakhir, iaitu sekitar Selekoh 12 hingga 14, berhampiran penghujung satu pusingan litar.
Sementara itu, C Hillstand menawarkan pemandangan panorama bahagian teknikal pertengahan litar, khususnya Selekoh 9 hingga 11, selain laluan lurus belakang yang berkelajuan tinggi.
Dari segi kemudahan, C Hillstand mempunyai perlindungan berbumbung, manakala B Hillstand merupakan kawasan terbuka.
- Pemegang MyKad pas tiga hari ialah RM809.60
5. G Hillstand

Kalau nak tengok F1 secara terus di litar tetapi bajet tidak terlalu besar, G Hillstand menjadi pilihan paling murah.
Selain pemandangan panorama terhadap aksi di litar, peminat juga mendapat akses kepada hiburan dan aktiviti di luar trek sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Namun, ada satu perkara penting yang perlu diketahui. G Hillstand kawasan general admission terbuka ini hanya tersedia untuk pemegang MyKad atau warganegara Malaysia.
Ini menjadikannya pilihan paling murah untuk rakyat Malaysia yang mahu merasai sendiri pengalaman menonton F1 di Sepang.
- Pemegang MyKad pas tiga hari ialah RM200
6. Harga tiket untuk peminat antarabangsa
Bagi peminat dari luar Malaysia, harga tiket adalah berbeza mengikut kategori. Antara harga yang ditawarkan ialah:
- Main Grandstand: AS$566.05
- F Grandstand: AS$376.39
- K1 Grandstand: AS$350.13
- B & C Hillstand: AS$218.90
- G Hillstand: Tidak tersedia untuk peminat antarabangsa
Pembelian tiket bagi peminat antarabangsa akan diproses dalam mata wang dinar Bahrain berdasarkan kadar pertukaran semasa ketika transaksi dibuat.
Semua harga tiket yang dinyatakan termasuk cukai.

KANAK-KANAK TURUT DAPAT DISKAUN
Bukan itu sahaja, kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun turut layak menerima diskaun sebanyak 25 peratus bagi tiket yang layak, kecuali kategori G Hillstand.
Bagi kanak-kanak bawah tiga tahun, kemasukan adalah percuma.
Jadi, keluarga yang mahu membawa anak merasai pengalaman menyaksikan perlumbaan F1 juga mempunyai pilihan mengikut kategori tiket yang sesuai.
Hampir sedekad selepas F1 terakhir di sepang
Kepulangan F1 ke Sepang pastinya menjadi detik yang dinanti-nantikan peminat sukan permotoran tempatan. Ini kerana kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan F1 adalah pada 2017.
Selepas hampir sedekad, deruman enjin F1 bakal kembali menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Oktober depan.
Dengan harga tiket untuk rakyat Malaysia bermula hanya RM200, peminat kini boleh memilih sama ada mahu berada di Grandstand untuk mendapatkan pemandangan lebih khusus atau menikmati suasana perlumbaan dari kawasan Hillstand yang lebih mesra bajet.
Untuk maklumat lanjut mengenai jualan tiket dan kategori tempat duduk, peminat boleh merujuk laman web rasmi Litar Antarabangsa Bahrain serta saluran media sosial seperti di Facebook, Instagram, Threads dan X.
Sumber: Laman web Litar Antarabangsa Bahrain
FT Image: Fail NSTP
