Dr Imelda Balchin berkongsi pengalaman berdepan seorang pesakit yang baru melahirkan bayi tetapi enggan menjamah makanan yang disediakan pihak hospital kerana menunggu makanan berpantang dibawa oleh ibunya.
Menerusi perkongsian di media sosial, Dr Imelda berkata pesakit berkenaan bersalin pada jam 11 pagi dan dinasihatkan supaya mengambil hidangan tengah hari yang disediakan hospital.
MAKANAN BERPANTANG, IBU DILARANG MAKAN SAYUR & BUAH

Kredit: Magnific
Menurutnya, ibu yang baru bersalin memerlukan tenaga dan kalori yang mencukupi, terutama bagi menyokong keperluan tubuh ketika menyusukan bayi.
Bagaimanapun, ketika doktor itu kembali memeriksa pesakit sekitar jam 2.45 petang, hidangan yang disediakan hospital masih tidak terusik.
Apabila ditanya mengapa masih belum makan, pesakit tersebut menjelaskan bahawa dia sedang menunggu ibunya datang membawa makanan berpantang.
Menurut pesakit itu, ibunya melarang dia mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan kerana dianggap sebagai makanan ‘sejuk’. Dia juga dikatakan tidak dibenarkan makan ayam.
Keadaan itu menyebabkan pesakit hanya mengambil biskut yang dicicah bersama air coklat kerana sudah berasa lapar.
Situasi tersebut membuatkan Dr Imelda memberikan penerangan kepada pesakit mengenai perbezaan antara makanan berkhasiat dan makanan yang tergolong sebagai makanan kurang berkhasiat atau junk food.
Doktor berkenaan turut mempersoalkan mengapa makanan seperti biskut dan minuman coklat dibenarkan, sedangkan makanan sebenar seperti ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pula perlu dielakkan.
Konsep makanan ‘panas’ dan ‘sejuk’ bukan amalan perubatan moden
Dalam perkongsiannya, Dr Imelda menjelaskan bahawa konsep makanan yang dikategorikan sebagai ‘panas’ atau ‘sejuk’ mempunyai kaitan dengan amalan perubatan tradisional India, khususnya Ayurveda.
Menurutnya, konsep tersebut bukan sebahagian daripada amalan perubatan moden. Sebaliknya, dia menekankan kepentingan pengambilan makanan yang seimbang, berkhasiat dan disediakan menggunakan kaedah masakan yang sihat.
Dr Imelda turut menyentuh mengenai makanan diproses dan makanan ringan yang sering menjadi pilihan apabila seseorang terlalu lapar.

Katanya, makanan seperti kek, biskut, donut, jajan dan kuih-muih tidak sepatutnya dijadikan pengganti kepada makanan sebenar yang lebih berkhasiat.
Dia menjelaskan bahawa persoalan utama bukan semata-mata sama ada sesuatu makanan itu dikategorikan sebagai ‘panas’ atau ‘sejuk’, tetapi sama ada makanan tersebut memberikan nutrien yang diperlukan oleh tubuh.
Perkongsian tersebut menjadi peringatan bahawa ibu yang baru melahirkan bayi memerlukan pemakanan yang mencukupi untuk membantu proses pemulihan tubuh serta menyokong keperluan penyusuan.
Dalam masa sama, sebarang amalan berpantang wajar dipertimbangkan dengan mengambil kira keperluan nutrisi ibu dan bayi, bukannya sehingga menyebabkan ibu berlapar atau mengabaikan makanan yang berkhasiat.
Baca juga: Ibu Mengandung Dapat Buah Naga Percuma, Orang Ramai Boleh Beli Hanya RM1 Sebiji Setiap Sabtu & Ahad!
Sumber: Facbook Dr Imelda Balchin
