Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan berangkat ke Istiadat Pernikahan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia bersama pasangannya, Christopher Lionel Froggatt, yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada 8 Ogos 2026.
FOTO ISTIADAT PERSANDINGAN TENGKU PUTERI ILYANA ALIA

Keberangkatan Paduka Baginda ke majlis berkenaan turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bersama paduka kekanda, adinda serta kerabat bergelar.
Majlis pernikahan diraja tersebut turut diserikan dengan kehadiran YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed.
Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah wakil Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Shaikh Mohammed bin Hamad bin Tahnoon Al Nahyan.
Dalam majlis tersebut, pasangan Pengantin Diraja dibawa masuk ke pelamin bagi meneruskan beberapa istiadat yang menjadi sebahagian daripada adat perkahwinan diraja Pahang.

Istiadat Menyuap Nasi Semangat kemudiannya disempurnakan oleh YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Dato’ Sri Setia Hajjah Meriam binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Pasangan pengantin kemudiannya kekal berada di pelamin untuk mengikuti Istiadat Bersanding dan Merenjis.
Istiadat tersebut dizahirkan terlebih dahulu oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sebelum diteruskan oleh ahli keluarga.
Sultan Pahang sempurnakan istiadat meletakkan Panca Bicara

Dalam acara seterusnya, Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan menyempurnakan Istiadat Meletakkan Panca Bicara kepada pasangan Pengantin Diraja.
Istiadat tersebut menjadi tanda perkenan, restu dan meraikan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Profesor Dato’ Dr. Haji Asmadi bin Mohamed Naim.
Majlis berakhir dengan sesi bergambar bersama keluarga Diraja serta tetamu kehormat yang hadir.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang kemudiannya berangkat meninggalkan majlis selepas selesai keseluruhan istiadat pernikahan tersebut.
Perkembangan mengenai Istiadat Pernikahan Diraja itu dikongsikan menerusi saluran rasmi Kesultanan Pahang.
Sumber: Kesultanan Pahang
