Berita pemergian adik Abang Aji, Kayla, yang baru berusia 49 hari mengundang kesedihan selepas bayi berkenaan disahkan meninggal dunia pada Jumaat lalu.
Bapa kepada pempengaruh cilik itu, Mohd Redzuan Zainol, 41, berkata keluarga masih terkejut dengan kehilangan tersebut namun tetap menerima pemergian Kayla sebagai ketentuan Ilahi.
Baca juga: Masya-Allah! Anak Dr Sheikh Muszaphar Khatam Al-Quran Seawal Usia 5 Tahun, Ramai Kagum
ADIK ABANG AJI MENINGGAL DUNIA, HANYA 49 HARI ALLAH PINJAMKAN

“Kayla hanya diberi pinjaman selama 49 hari, walaupun masih dalam keadaan terkejut namun kami tetap reda dengan pemergian ini..”
Demikian luahan Mohd Redzuan berhubung pemergian anaknya, Kayla, yang merupakan adik kepada pempengaruh cilik dikenali sebagai Bang Aji atau Muhammad Aniq, 5.
Menurut Mohd Redzuan, dia menerima panggilan daripada isterinya sekitar jam 9 pagi yang memaklumkan keadaan bayi mereka yang tidak bergerak dan tubuhnya sudah terasa sejuk.
“Saya terima panggilan dari isteri pada jam 9 pagi beritahu anak dalam keadaan sejuk dan tidak bergerak menyebabkan saya bergegas balik dari tempat kerja.
“Sampai saja di rumah saya cuba buat CPR tetapi yang saya nampak ialah cecair warna merah jambu keluar dari hidung kemungkinan susu yang sudah tercampur dengan darah,” jelasnya.
Dia berkata, kali terakhir isterinya menyusukan Kayla adalah sekitar jam 6 pagi pada hari kejadian. Bayi berkenaan kemudiannya dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Guar Chempedak sebelum dirujuk ke Hospital Yan.
Kayla disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan dan keluarga kemudiannya dimaklumkan supaya menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada keesokan harinya.
Keputusan bedah siasat dijangka dalam tempoh tiga bulan

Mohd Redzuan berkata, pihak keluarga dimaklumkan bahawa keputusan penuh bedah siasat mengambil masa sehingga tiga bulan bagi menentukan punca sebenar kematian bayi tersebut.
“Terkilan juga sebab perlu melalui proses bedah siasat, sebenarnya kami tak mahu buat tetapi dimaklumkan arahan melakukannya tidak boleh dibatalkan atas sebab prosedur.
“Selesai proses bedah siasat, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Wustha sekitar jam 2 petang Sabtu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Redzuan turut menjelaskan mengenai video yang memaparkan Abang Aji membantu adiknya minum susu menggunakan botol dan tular dalam kalangan pengguna media sosial.
Menurutnya, semua kandungan yang dimuat naik berkaitan Kayla dirakam sepanjang tempoh 49 hari sejak kelahirannya.
“Video tu tak sampai 30 saat pun dia pegang, saya pun ada sekali… ramai salah anggap dan komen bukan-bukan seperti… sebab Abang Aji bagi susu, adik dia tersedak, bukan begitu!.
“Tetapi ingin saya jelaskan, Kayla diberi susu ibu sepenuhnya…cuma apabila ibunya tiada, susu dimasukkan ke dalam botol,” jelasnya rakaman itu dibuat lebih awal bukan sebelum kejadian.
Dia turut menjelaskan bahawa kelahiran Kayla sebelum ini tidak banyak dikongsikan kepada umum kerana keluarga memilih untuk tidak terlalu mendedahkan kehidupan bayi berkenaan di media sosial.
Katanya, perkongsian video selepas pemergian Kayla juga bukan bertujuan untuk mendapatkan perhatian, sebaliknya sekadar menjadi koleksi kenangan buat keluarga.
Pemergian Kayla selepas hanya 49 hari bersama keluarga menjadi satu kehilangan besar buat mereka, khususnya selepas segala momen bersama bayi tersebut dirakam dan disimpan sebagai kenangan.
Baca juga: Abang Kantin ‘All Out’ Sediakan Menu RMT Penuh Nutrisi, Kemas Dalam Bekas Bertutup Curi Perhatian!
Sumber: Sinar Harian
