Bayi masuk ICU selepas didakwa menjadi mangsa perbuatan ibu saudaranya sendiri yang dipercayai menuang gam segera ke dalam mulutnya susulan pertengkaran keluarga.
Menurut pihak polis, wanita yang dikenali sebagai Saniya Sheikh disiasat selepas laporan dibuat oleh bapa bayi berusia 9 bulan itu, Altaf Nadeem Sheikh, 39.
BAYI MASUK ICU, IBU SAUDARA DIDAKWA TUANG GAM DALAM MULUT

Kredit: Magnific
Hasil siasatan awal mendapati Altaf bersama seorang lagi abangnya tinggal serumah dalam sebuah keluarga besar dan hubungan antara ahli keluarga tersebut dikatakan telah lama bergolak akibat perselisihan yang berpanjangan.
Polis percaya kejadian berlaku sejurus selepas tercetus satu lagi pertengkaran apabila suspek didakwa menuang Fevikwik, iaitu sejenis gam segera berasaskan cyanoacrylate, ke dalam mulut bayi terbabit.
Kejadian hanya disedari oleh ibu mangsa, Zainab, apabila bayinya tiba-tiba muntah sebelum mendapati bibir anaknya berada dalam keadaan melekat.
Dia kemudian memaklumkan perkara itu kepada suaminya sebelum pasangan tersebut bergegas membawa bayi berkenaan ke Hospital Besar Sassoon bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Mangsa kemudiannya dimasukkan ke ICU untuk pemantauan dan rawatan lanjut. Pegawai Kanan Polis, Manisha Patil memaklumkan keadaan bayi itu kini semakin stabil dan sedang menjalani proses pemulihan.

Keluarga dakwa terima ugutan
Dalam laporan polis yang dibuat, Altaf turut mendakwa isterinya menerima ugutan daripada suspek selepas bertanyakan mengenai kejadian yang menimpa anak mereka.
Dia juga mendakwa dua individu lain yang dinamakan dalam laporan tersebut hadir ke hospital dan mengugut ahli keluarganya supaya tidak meneruskan tindakan undang-undang.
Susulan itu, polis telah membuka kertas siasatan terhadap ketiga-tiga individu berkenaan dan kini sedang menyiasat semua dakwaan yang dikemukakan.
Sumber: The Indian Express
