Suasana di sebuah sekolah menengah di Bau, Sarawak bertukar pilu apabila seorang guru wanita ditemukan meninggal dunia di dalam tandas guru selepas gagal hadir ke kelas untuk sesi pengajaran pada pagi Rabu.
Mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di lantai tandas sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan jam 9.08 pagi, semalam.
GURU WANITA DITEMUI MENINGGAL DUNIA DALAM TANDAS SEKOLAH MENENGAH

Gambar hiasan: Gemini AI
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas dihubungi Pusat Perubatan Kecemasan (MECC) Kuching melalui talian MERS 999 pada jam 8.53 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Bau, kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan awal.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang di lantai tandas guru perempuan di sekolah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, hasil temu bual dengan rakan setugas mendapati wanita itu sudah berkhidmat sebagai guru mata pelajaran Sains dan Biologi sejak 25 tahun lalu.
Mohd Haide berkata, menurut rakan mangsa, kali terakhir beliau melihat mangsa adalah sekitar jam 8.15 pagi di bilik guru sebelum wanita itu memaklumkan ingin ke tandas.

Gambar hiasan: Gemini AI
Katanya, kira-kira jam 8.35 pagi, seorang guru lain memaklumkan bahawa mangsa masih belum hadir ke kelas untuk sesi pengajaran, menyebabkan rakan setugas pergi mencari mangsa di tandas guru perempuan.
“Sebaik pintu tandas dibuka, mangsa didapati berada dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri sebelum talian kecemasan dihubungi bagi mendapatkan bantuan perubatan,” katanya.
Mohd Haide berkata, pegawai perubatan dari Hospital Bau mengesahkan kematian mangsa pada jam 9.08 pagi di lokasi kejadian.
Pemeriksaan awal yang dijalankan oleh BSJD Bau tidak menemukan sebarang kecederaan yang mencurigakan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau Sudden Death Report (SDR). Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bau untuk bedah siasat,” katanya.
Baca juga: Janji Urus Pindah Sekolah Bertukar Mimpi Ngeri, Pekerja Hotel Amang Seksual Anak Tunang!
Sumber: Berita Harian
