Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik pihak berkuasa Kastam Indonesia sebelum ini menjadi perhatian ramai apabila memaparkan detik pemeriksaan seorang pembantu juruterbang Malaysia dalam kes seludup dadah.
KASTAM INDONESIA SIAR RAKAMAN CCTV PEMBANTU JURUTERBANG DIDAKWA SELUDUP DADAH

Juruterbang berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, oleh Bahagian Kastam dan Cukai (BEA) Indonesia pada 28 Julai lalu selepas pemeriksaan terhadap bagasinya didakwa menemukan 15 paket besar mengandungi 70,114 pil ekstasi dan dadah jenis syabu.
Polis dedah suspek dipercayai ambil bekalan di Ampang
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai mengambil bekalan dadah di sebuah kawasan pangsapuri di Ampang sebelum memulakan perjalanan pada hari kejadian.
Menurut beliau, polis turut memperoleh nombor telefon individu yang dihubungi suspek dan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian yang terlibat.
Beliau berkata, suspek dipercayai membuat ‘early check-in‘ bagasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu pada sebelah pagi.
Selepas selesai tugasan penerbangan ke Sabah, suspek kembali ke KLIA sebelum meneruskan penerbangan ke Jakarta pada malam yang sama.

Seorang kakitangan KLIA dikenal pasti
Dalam perkembangan sama, polis mengenal pasti seorang anggota pasukan beruniform yang bertugas di KLIA bagi menyiasat punca dadah dibawa oleh seorang juruterbang berjaya melepasi tapisan keselamatan sebelum berlepas.
Datuk Hussein berkata, kakitangan berusia 30-an itu terlibat dalam prosedur saringan keselamatan di KLIA.
Katanya, suspek melepasi semua keempat-empat tahap saringan keselamatan pada laluan khas bagi kakitangan yang mempunyai kaedah pemeriksaan sama seperti dilalui penumpang.
“Sehingga kini kita sudah mengenal pasti seorang dan kita akan menghubunginya untuk disoal siasat, kalau ada keperluan kita akan buat tangkapan iaitu kakitangan di lapangan terbang yang terlibat dalam saringan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Sebelum ini bagasi dilaporkan tiada unsur mencurigakan
Sebelum ini, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan pemeriksaan awal terhadap bagasi juruterbang itu di KLIA tidak menemukan sebarang objek mencurigakan.
Beliau berkata, suspek telah melalui semua prosedur pemeriksaan sebelum dibenarkan menaiki pesawat ke Indonesia.
Mohd Shuhaily turut menjelaskan bahawa pemeriksaan mesin pengimbas di KLIA dikendalikan oleh Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), bukannya oleh AKPS atau Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Setakat ini, siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti bagaimana dadah yang didakwa seberat 26 kilogram itu boleh melepasi pemeriksaan keselamatan serta sama ada wujud individu lain yang membantu dalam kes tersebut.
Untuk rekod, enam agensi teras di bawah AKPS adalah Jabatan Imigresen (JIM), JKDM, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
-Berita lanjut menyusul.
View this post on Instagram
Sumber: Harian Metro (1) (2) / Berita Harian / Utusan
FT Image: Instagram @bcsoetta
