Cuaca panas yang sedang melanda negara kita sekarang bukan sekadar menyebabkan rasa tidak selesa, malah boleh mengundang risiko strok haba (heat stroke) yang boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.
Menerusi satu perkongsian oleh Dr. Malar, beliau menjelaskan apa itu strok haba dan tanda jika sedang mengalaminya.
Baca juga: Cara Mudah Periksa Scoliosis Anak Di Rumah, Hanya Ambil Masa 5 Minit Untuk Buat Ujian Ringkas Ini
BAHAYA STROK HABA YANG RAMAI TIDAK TAHU
Bagi memudahkan orang ramai memahami strok haba, Dr. Malar mengibaratkan hypothalamus di dalam otak seperti radiator kereta.
Radiator berfungsi menyejukkan enjin supaya tidak terlalu panas. Begitu juga hypothalamus yang bertugas mengawal suhu badan agar kekal normal.
Namun, apabila badan terlalu lama terdedah kepada cuaca panas dan mengalami kekurangan air, sistem penyejukan ini tidak lagi mampu berfungsi dengan baik. Akibatnya, suhu badan terus meningkat sehingga boleh mencecah 40°C atau lebih, sekali gus menyebabkan strok haba.
Apabila keadaan ini berlaku, organ penting seperti otak, jantung dan buah pinggang juga boleh terjejas. Sebab itu strok haba dianggap sebagai kecemasan perubatan yang memerlukan rawatan segera.
Sebelum seseorang mengalami strok haba, kebanyakan mangsa akan melalui keadaan yang dikenali sebagai heat exhaustion atau kelesuan akibat haba.
Menurut Dr. Malar, antara tanda paling penting yang sering tidak disedari orang ramai ialah mangsa berhenti berpeluh walaupun badan terlalu panas.
Ramai menyangka seseorang yang mengalami strok haba akan berpeluh dengan banyak. Hakikatnya, apabila suhu badan menjadi terlalu tinggi dan badan mengalami dehidrasi yang teruk, sistem penyejukan gagal berfungsi menyebabkan peluh tidak lagi keluar.
Dr. Malar menjelaskan keadaan ini berlaku kerana aliran darah mula terganggu dan organ penting tidak lagi menerima bekalan darah serta oksigen yang mencukupi.
Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah:
- Suhu badan mencecah 40°C atau lebih
- Kulit menjadi sangat panas, merah atau kemerahan
- Kulit terasa kering, walaupun cuaca panas
- Tidak berpeluh
- Pening yang teruk
- Keliru atau meracau
- Sukar bercakap atau memberi respons
- Pengsan
- Sawan
- Hilang kesedaran
Sekiranya keadaan ini tidak dirawat segera, ia boleh bertukar menjadi strok haba yang jauh lebih berbahaya.
Apa yang anda perlu buat?
Strok haba ialah kecemasan perubatan dan memerlukan rawatan segera.
Sementara menunggu ambulans tiba, lakukan langkah berikut:
- Hubungi 999 dengan segera.
- Alihkan mangsa ke kawasan yang redup atau berhawa dingin.
- Longgarkan pakaian bagi membantu badan melepaskan haba.
- Halakan kipas jika ada.
- Siram badan mangsa menggunakan air bagi mempercepatkan proses penyejukan.
- Letakkan pek ais atau tuala sejuk pada bahagian:
– Leher
– Bawah ketiak
– Celah paha
Jika mangsa tidak bernafas atau tiada nadi, mulakan CPR sementara menunggu bantuan tiba.
Golongan berikut lebih mudah mengalami strok haba:
- Bayi dan kanak-kanak
- Warga emas
- Wanita hamil
- Individu obes
- Pesakit jantung atau paru-paru
- Pekerja yang banyak berada di bawah matahari
- Atlet atau individu yang melakukan aktiviti lasak ketika cuaca panas
Cara Mencegah Strok Haba

Foto: NST
Bagi mengurangkan risiko strok haba ketika cuaca panas:
- Minum air dengan kerap walaupun belum terasa dahaga.
- Pakai pakaian longgar dan berwarna cerah.
- Kurangkan aktiviti luar antara pukul 11 pagi hingga 4 petang.
- Berehat di tempat teduh atau berhawa dingin jika bekerja di luar.
- Jangan tinggalkan kanak-kanak atau warga emas di dalam kereta yang diparkir.
- Gunakan pelindung matahari sekurang-kurangnya SPF 30 apabila berada di luar.
Dalam keadaan cuaca yang semakin panas ketika ini, jangan abaikan simptom seperti pening, kulit terlalu panas dan terutama sekali tidak berpeluh walaupun badan sangat panas. Tindakan pantas boleh menyelamatkan nyawa.
@drmalarss Senang je nak faham strok haba. ingat radiator kereta pecah, haaa camtu jugak keadaan dalam tubuh ketika strok haba berlaku. #celotehdrmalar #healthinfluencer #strokhaba #heatsroke ♬ original sound – Celoteh Dr Malar – CelotehDrMalar
Baca juga: Ibu Hamil 7 Bulan & Anak Melecur 60%, Motosikal Terbakar Dirempuh Motosikal RXZ
Sumber: Tiktok @drmalarss dan Gleneagles Hospitals Malaysia
FT Image: Gemini AI

