Euforia Bola 2026
Nur

Memang Comel Tapi Apa Hukum Pisahkan Anak Kucing Dengan Ibunya? Boleh Jatuh HARAM Kalau…

anak kucing

Sebelum mengambil anak kucing yang comel untuk dipelihara, ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa memisahkan anak kucing daripada ibunya terlalu awal bukan sekadar memberi kesan kepada tumbesaran haiwan itu, malah turut disentuh dalam hukum Islam.

Baca juga: Culik Budak Perempuan 14 Tahun Depan Sekolah, Kelindan Lori Dijatuhi Hukuman Penjara 38 Bulan!

HUKUM PISAHKAN ANAK KUCING DENGAN IBUNYA

anak kucing

Foto: Magnific

Islam mengajar umatnya supaya berbuat ihsan kepada semua makhluk, termasuk haiwan. Oleh itu, memisahkan anak haiwan daripada ibunya ketika ia masih memerlukan susu dan penjagaan ibu adalah perbuatan yang dilarang.

Islam menitikberatkan sifat belas kasihan terhadap haiwan. Antara dalil yang sering dijadikan sandaran ialah sabda Rasulullah SAW:

“مَنْ فَرَّقَ بَيْنَ وَالِدَةٍ وَوَلَدِهَا، فَرَّقَ اللَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَحِبَّتِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ”

Maksudnya:

Sesiapa yang memisahkan antara seekor ibu dengan anaknya, Allah akan memisahkan antara dirinya dengan orang yang disayanginya pada hari kiamat.”

(Riwayat al-Tirmizi, hadis sahih)

Hadis ini menunjukkan larangan memisahkan anak haiwan daripada ibunya tanpa sebab yang dibenarkan, khususnya ketika anak tersebut masih bergantung kepada ibunya.

Haram Jika Kucing Masih Memerlukan Susu Ibu

anak kucing

Foto: Magnific

Menurut pandangan ulama Mazhab Syafie serta Ibnu al-Qasim daripada Mazhab Maliki, memisahkan anak haiwan yang masih memerlukan susu ibunya adalah haram.

Perkara ini disebut dalam kitab Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah:

“وَيَحْرُمُ ذَبْحُهَا إِنْ لَمْ يَسْتَغْنِ عَنْ لَبَنِهَا، وَلاَ يَصِحُّ الْبَيْعُ وَلاَ التَّصَرُّفُ”

Maksudnya:

Haram menyembelih ibu haiwan selagi anaknya masih memerlukan susunya. Tidak sah juga urusan jual beli atau apa-apa bentuk pemindahan hak milik yang menyebabkan anak itu dipisahkan daripada ibunya.

Ini bermakna, bukan sahaja menjual anak kucing terlalu awal dilarang, malah memberikannya kepada orang lain atau memindahkan pemilikannya juga termasuk dalam larangan sekiranya anak tersebut masih bergantung kepada susu ibunya.

Bilakah Anak Kucing Boleh Dipisahkan?

Secara umum, anak kucing mula bercerai susu apabila berusia sekitar 8 hingga 12 minggu. Pada tempoh ini, mereka sudah mampu makan makanan pejal dan kurang bergantung kepada susu ibu.

Justeru, jika seseorang ingin mengambil atau menjaga anak kucing, sebaiknya tunggu sehingga proses bercerai susu selesai bagi memastikan kesihatan fizikal dan emosinya tidak terjejas.

Mengapa Tidak Wajar Dipisahkan Terlalu Awal?

Selain tuntutan agama, pakar veterinar juga mengesyorkan supaya anak kucing kekal bersama ibunya sehingga cukup umur kerana:

  • Mendapat nutrisi yang mencukupi daripada susu ibu.
  • Mempelajari tingkah laku sosial dan cara berinteraksi dengan kucing lain.
  • Menguatkan sistem imun badan.
  • Mengurangkan risiko tekanan serta masalah tingkah laku apabila dewasa.

Memisahkan anak kucing terlalu awal boleh menyebabkan pertumbuhannya terbantut, mudah jatuh sakit dan sukar menyesuaikan diri.

Islam mengajar umatnya supaya sentiasa berbuat ihsan kepada semua makhluk. Oleh itu, elakkan memisahkan anak kucing daripada ibunya selagi ia masih memerlukan susu dan penjagaan ibu. Sama ada melalui jual beli, pemberian atau apa-apa bentuk pemindahan, perbuatan tersebut ditegah menurut pandangan ulama kerana boleh memudaratkan anak haiwan tersebut.

Menunggu sehingga anak kucing benar-benar bersedia untuk berdikari bukan sahaja lebih baik dari sudut kebajikan haiwan, malah selari dengan tuntutan syariat yang menggalakkan sifat kasih sayang terhadap setiap makhluk ciptaan Allah.

Baca juga: Niat Nak Selamatkan Bayi Dibuang Memang Mulia, Tapi Jangan Terus Bawa Balik..Ini Langkah Betul Menurut JKM

Sumber: Instagram @izyan_syahida

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×