Menemui surat lama yang sudah berpuluh tahun disimpan sememangnya boleh mengimbau pelbagai kenangan. Itulah yang dialami seorang wanita apabila terjumpa sepucuk surat bertarikh 1990 yang ditulis oleh seorang anggota polis dari Thailand kepada ibunya ketika sedang mengemas pejabat.
Baca juga: Ayah Tunjuk ‘Ultrasound Palsu’, Anak Terus Serik Makan Jajan Selepas Nampak ‘Ulat’ Dalam Perut!
JUMPA SURAT LAMA TAHUN 1990 DARI POLIS THAILAND

“Harini tolong kemas barang mama dekat office, then terjumpa surat yang ditulis pada tahun 1990 dari Polis Thailand dekat mama,” tulisnya.
Berdasarkan surat yang dikongsikan, ia dihantar dari Provincial Police Bureau di Songkhla, Thailand.
Dalam surat tersebut, individu berkenaan memohon maaf kerana terpaksa memulangkan semula sekeping gambar milik ibunya disebabkan kualiti filem yang kurang jelas.
Dia turut memuji rupa paras wanita itu dan menyatakan ramai yang melihat gambar tersebut mengatakan dia seorang yang cantik.
Malah, penulis surat berkenaan turut berharap dapat terus berhubung dan menulis surat yang lebih panjang pada masa akan datang jika diberi peluang.
Perkongsian itu menerima ribuan reaksi daripada warganet yang teruja membaca surat tulisan tangan berusia lebih tiga dekad itu.
Excited jumpa surat tahun 1990

Susulan perkongsian tersebut menjadi tular, Shahirah memuat naik satu lagi hantaran bagi menjelaskan ibunya sendiri sudah tidak mengingati sama ada pernah membalas surat berkenaan atau tidak.
“Hm tak sangka boleh blow up pula post ni. Btw mama tak ingat sama ada dia balas balik ke tak surat tu. Last-last mama kahwin dengan arwah abah saya ni,” katanya.
Menurut Shahirah lagi, tujuan dia berkongsi surat tersebut hanyalah kerana teruja melihat surat yang ditulis pada tahun 1990, iaitu jauh sebelum dirinya dilahirkan.
“Tujuan post surat ni sebab excited surat ni ditulis pada tahun 1990, sebab saya pun tak wujud lagi masa tu,” jelasnya.
Di ruangan komen, ramai netizen turut mengimbau nostalgia zaman surat-menyurat sebelum kewujudan internet dan aplikasi permesejan, malah ada yang menganggap penemuan surat lama seperti itu sebagai khazanah keluarga yang cukup bernilai untuk disimpan.
Sumber: Threads Shahirah Shariman
