Kes dua remaja perempuan maut dalam nahas tragis di Teluk Intan terus menjadi perhatian apabila polis mengesahkan pemandu kereta berkenaan positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Chua Kok Lian berkata, hasil saringan awal mendapati lelaki berusia 28 tahun itu positif dadah jenis benzodiazepine.
REMAJA PEREMPUAN MAUT DILANGGAR PEMANDU KERETA POSITIF DADAH

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan disyaki memandu di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berlaku.
“Siasatan berhubung kemalangan dijalankan di bawah Seksyen 44(1)(a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan berkaitan dadah turut dijalankan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Menurut siasatan awal, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.35 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu suspek hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.
Kenderaan tersebut kemudian merempuh sebuah motosikal, sebuah lagi kereta serta melanggar seorang kanak-kanak lelaki yang berada di bahu jalan.

Dalam nahas itu, dua remaja perempuan berusia 16 dan 17 tahun yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Sementara itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang turut menjadi mangsa telah dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.
Setakat ini, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan melengkapkan siasatan kes.
Sumber: Astro Awani
