Isu pelajar samseng yang terlibat dalam pergaduhan di sekolah sering mengundang kebimbangan ibu bapa dan masyarakat. Terbaharu, beberapa individu ditahan polis selepas seorang pelajar berusia 16 tahun serta bapanya dipukul dalam kejadian di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seri Kembangan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Baca juga: Lagi 3 Hari Nak Bertunang, Wanita Reda Majlis Bertukar Jadi Tahlil… “Semua Persiapan Sudah Siap”
PELAJAR SAMSENG BELASAH RAKAN & BAPA

Menurut beliau, kejadian itu melibatkan sekumpulan pelajar yang didakwa menyerang seorang pelajar bersama bapanya ketika berada di luar kawasan sekolah.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 3 Julai lalu ketika mangsa sedang menuju ke motosikalnya di luar sekolah. Mangsa dipanggil beberapa pelajar sekolah sama sebelum dikepung dan dipukul oleh semua suspek,” jelasnya.
Akibat kejadian tersebut, pelajar berkenaan mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan termasuk luka di bibir dan lutut selain mengalami kesakitan serta lebam.
Bapa mangsa yang cuba membantu menghentikan pergaduhan itu turut menjadi mangsa apabila dipukul sehingga terjatuh di atas jalan.
“Bapa mangsa mengalami kecederaan di tangan dan kaki serta sakit di seluruh badan. Polis bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan kejadian ini ditangani secara profesional serta mengikut undang-undang,” katanya.
Muhamad Farid berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan penyebaran kejadian tersebut di media sosial. Jika sabit kesalahan, hukuman yang boleh dikenakan adalah denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Serdang menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sumber: Harian Metro
