Pasukan Matematik Malaysia cipta sejarah membanggakan di pentas antarabangsa selepas mencatat keputusan terbaik pada Kejohanan Olimpiad Matematik Antarabangsa ke-67 (International Mathematical Olympiad – IMO 2026) yang berlangsung di Shanghai, China.
PASUKAN MATEMATIK MALAYSIA CIPTA SEJARAH DI OLIMPIAD MATEMATIK 2026

Facebook: Olimpiad Matematik Malaysia
Menerusi perkongsian di Facebook Olimpiad Matematik Malaysia, skuad negara berjaya membawa pulang satu pingat emas, tiga pingat perak, satu pingat gangsa serta satu Anugerah Terpuji (Honorable Mention).
Lebih membanggakan, pencapaian tersebut menyaksikan Malaysia menamatkan pertandingan di kedudukan ke-19 keseluruhan daripada negara-negara yang mengambil bahagian, sekali gus melakar sejarah apabila buat pertama kali berjaya menembusi kelompok 20 terbaik dunia dalam kejohanan berprestij itu.
Enam Pelajar Cemerlang Harumkan Nama Malaysia

Facebook: Olimpiad Matematik Malaysia
Kejayaan pasukan negara disumbangkan oleh enam pelajar berbakat yang beraksi di pentas IMO 2026.
Berikut merupakan senarai pencapaian mereka:
- Ho Janson – Pingat Emas
- Tan Rui Xuen – Pingat Perak
- Yeoh Yi Shuen – Pingat Perak
- Chia Ming Han – Pingat Perak
- Ivan Chan Guan Yu – Pingat Gangsa
- Cheng You Seng – Anugerah Terpuji (Honorable Mention)
Malaysia Raih Pingat Emas Ke-7 Dalam Sejarah IMO
Pingat emas yang diraih oleh Ho Janson mencatatkan satu lagi sejarah penting apabila ia menjadi pingat emas ke-7 buat Malaysia sepanjang penyertaan negara dalam IMO.
Kejayaan itu membuktikan peningkatan prestasi pelajar Malaysia dalam bidang matematik, khususnya dalam pertandingan yang menghimpunkan bakat muda terbaik dari seluruh dunia.
Selain kejayaan dari segi kedudukan dunia, pasukan Malaysia turut mencipta rekod baharu apabila mengumpul sebanyak 142 mata keseluruhan pada IMO 2026.
Jumlah tersebut berjaya mengatasi rekod terdahulu iaitu 139 mata yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Lebih istimewa, dua peserta yang membuat penampilan sulung di pentas IMO, iaitu Tan Rui Xuen dan Chia Ming Han, berjaya membuktikan kemampuan luar biasa apabila masing-masing membawa pulang pingat perak.
Dedikasi Pasukan Bawa Kejayaan Negara
Menurut Olimpiad Matematik Malaysia, kejayaan tersebut tidak akan tercapai tanpa sokongan dan usaha berterusan daripada pelbagai pihak termasuk jurulatih, ibu bapa, guru, sekolah, penaja serta organisasi yang membantu membangunkan bakat matematik negara.
Pencapaian pasukan Malaysia di IMO 2026 bukan sahaja membanggakan, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengasah kemahiran dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Tahniah diucapkan kepada seluruh anggota Pasukan Matematik Malaysia atas kejayaan mengharumkan nama negara di persada dunia.
