Kehadiran cahaya mata bukan sahaja menjadi detik paling bermakna buat pasangan suami isteri, malah turut membawa kegembiraan kepada seluruh ahli keluarga terutama datuk dan nenek yang bakal timang cucu.
Baca juga: Berita Baik! Pelajar 10A SPM Layak Masuk Program Matrikulasi Secara Automatik Tanpa Kira Kaum – PMX
BAKAL TIMANG CUCU, UNCLE BELANJA KANAK KANAK DI KEDAI SERBANEKA

Foto: Threads @sashrinda
Baru-baru ini, tular di Threads kisah seorang lelaki yang menyentuh hati ramai apabila membelanja beberapa kanak-kanak yang ditemuinya di sebuah kedai serbaneka di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
Menurut perkongsian tersebut, mereka sekeluarga singgah ke kedai serbaneka kerana anak-anak ingin membeli aiskrim.
Ketika anak-anaknya sedang memilih makanan, seorang lelaki yang dipanggil sebagai “uncle” menghampiri mereka lalu menghadiahkan sekeping coklat kepada setiap seorang.
Namun, kebaikan lelaki itu tidak terhenti di situ. Selepas keluar dari premis, dia kembali masuk semula dan sekali lagi membelanja setiap kanak-kanak dengan sekotak minuman serta sebatang aiskrim.
Teruja Bakal Dapat Cucu Sulung Selepas Lima Tahun

Foto: Threads @sashrinda
Rasa ingin tahu wanita tersebut mengenai kemurahan hati lelaki itu akhirnya terjawab apabila dia sendiri menjelaskan sebab di sebalik tindakannya.
Menerusi video yang dikongsikan, lelaki itu memaklumkan anak perempuannya kini sedang hamil empat bulan selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.
“Anak perempuan saya dah kahwin lima tahun tapi belum dapat anak lagi. Baru jadi (mengandung), baru empat bulan.”
Nada suaranya yang penuh kegembiraan jelas menggambarkan keterujaan seorang bakal datuk yang bakal menyambut cucu sulung tidak lama lagi.
Wanita itu turut menzahirkan rasa terharu dengan kebaikan lelaki berkenaan serta berharap perkongsiannya dapat sampai kepada anak uncle tersebut.
“Semoga anak uncle selamat melahirkan cucu sulung uncle nanti. Semoga panjang umur dan sihat-sihat selalu uncle. Terima kasih orang baik.
Anak Uncle Tampil Beri Respon, Kongsi Kisah Sebenar Ayahnya

Foto: Threads @sashrinda
Tidak lama kemudian, wanita berkenaan memaklumkan bahawa hasratnya akhirnya tercapai apabila anak kepada lelaki tersebut menghubunginya menerusi mesej peribadi.
Menurut kemas kini yang dimuat naik, lelaki itu sebenarnya berasal dari Pulau Pinang, namun kini bekerja di Singapura dan tinggal berjauhan daripada keluarganya kerana mencari rezeki.
Keadaan itu membuatkan ramai berpendapat kerinduannya terhadap keluarga mungkin menjadi antara sebab dia begitu gembira apabila bakal menimang cucu sulung.
Wanita itu juga berhasrat untuk menghadiahkan sesuatu kepada bakal cucu lelaki berkenaan sebagai tanda penghargaan atas kebaikannya.
Ramai Dedah Uncle Memang Dikenali Suka Belanja Orang
Menjengah ke ruangan komen, ramai warganet mendoakan agar segala urusan keluarga tersebut dipermudahkan.
Malah, beberapa individu turut mendedahkan bahawa lelaki berkenaan sememangnya terkenal sebagai seorang yang murah hati dan gemar berkongsi rezeki dengan orang lain.
“Uncle ni memang baik. Kalau dia lalu depan pejabat tempat saya kerja, mesti dia akan belikan sarapan untuk staf. Semoga dipermudahkan segala urusan uncle untuk sambut cucu sulung.”
Seorang lagi netizen turut berkongsi bahawa lelaki itu tidak pernah berhenti berdoa dan bersedekah sepanjang lima tahun anaknya menanti kehadiran zuriat.
“Lima tahun anak dia kahwin belum ada anak. Kali ni dah mengandung empat bulan. Bertahun-tahun dia tetap berdoa dan bersedekah demi mencari keberkatan untuk anaknya. Uncle ni memang seorang ayah yang hebat.”
Perkongsian itu bukan sahaja mengundang rasa terharu dalam kalangan netizen, malah menjadi peringatan bahawa setiap kebaikan, walaupun kecil, mampu memberi makna yang besar kepada orang lain.
View on Threads
Sumber: Threads @sashrinda
