Ketika ramai menggunakan teknologi untuk menjana gambar, menulis kapsyen atau menyunting video, sebuah aplikasi AI ciptaan mahasiswa dari Indonesia ini mencuri perhatian kerana digunakan untuk sesuatu yang lebih bermakna iaitu membantu kanak-kanak menghafal Al-Quran.
Lebih membanggakan, aplikasi yang dinamakan Nuramma itu bukan sahaja membantu proses hafazan, malah turut membawa penciptanya, Ali An Nuur, muncul sebagai salah seorang pemenang Apple Swift Student Challenge 2026, pertandingan antarabangsa anjuran Apple.
Baca juga: Bukan Calang-Calang! Penyelam Malaysia Dipanggil Sertai Misi SAR Gua Berisiko Tinggi Di Laos
ALI AN NUUR CIPTA APLIKASI AI HAFAL AL-QURAN & MENANG PERTANDINGAN APPLE

Perkongsian berita gembira itu dibuat sendiri oleh Ali menerusi hantaran di LinkedIn apabila beliau meluahkan rasa syukur dipilih sebagai pemenang pertandingan berprestij tersebut.
“Saya amat berbesar hati dan bersyukur kerana dipilih sebagai salah seorang pemenang Apple Swift Student Challenge 2026!
“Walaupun saya tidak berjaya memperoleh gelaran Distinguished Winner pada tahun ini, pengiktirafan bersama pembangun hebat dari seluruh dunia merupakan satu pencapaian besar buat saya,” tulis mahasiswa Universiti Mataram (Unram) ini.
Menurut Ali, idea membangunkan Nuramma hadir daripada pengalaman peribadi ketika kecil selain melihat kesukaran anak saudaranya mencari seseorang yang boleh menyemak hafazan Al-Quran mereka di rumah.
“Untuk penyertaan saya, saya membangunkan Nuramma. Ia diinspirasikan daripada pengalaman zaman kanak-kanak saya sendiri serta kesukaran anak saudara saya mencari seseorang yang boleh mendengar dan membantu mereka berlatih hafazan Al-Quran di rumah,” katanya.
Bermula daripada masalah kecil di rumah
Menurut perkongsian Instagram Info Lombok, aplikasi tersebut dibangunkan sebagai rakan pembelajaran maya berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu kanak-kanak menghafal Al-Quran dengan lebih mudah.
Antara ciri utama Nuramma ialah teknologi AI-powered speech recognition yang boleh mendengar bacaan Al-Quran secara masa nyata (real-time) dan memberikan maklum balas segera kepada pengguna.
Apa yang lebih menarik, aplikasi itu juga tidak memerlukan sambungan internet kerana keseluruhan proses AI berjalan terus pada peranti pengguna, sekali gus memberi kelebihan kepada keluarga yang mempunyai akses internet terhad.
Ali turut berkongsi rasa terima kasih atas pengiktirafan yang diterima selain menghargai sokongan diberikan oleh Apple serta mentor di Apple Developer Academy sepanjang proses pembangunan aplikasi tersebut.
“Terima kasih tidak terhingga kepada Apple atas pengiktirafan luar biasa ini! Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para mentor di Apple Developer Academy atas sokongan yang tidak pernah putus,” katanya.

Bukan ganti guru, tetapi alat bantu hafazan
Dalam masa sama, hantaran Facebook Best Finder turut menarik perhatian ramai apabila menekankan bahawa Nuramma bukanlah pengganti guru mengaji, sebaliknya alat bantu latihan untuk kanak-kanak yang sedang menghafal Al-Quran.
Ini kerana proses hafazan bukan sekadar membaca berulang kali, tetapi memerlukan pembetulan, keyakinan serta seseorang yang boleh mendengar bacaan mereka secara konsisten.
Selain itu, Nuramma turut dilengkapi elemen gamifikasi supaya pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan dan menyokong Quran Sign Language bagi membantu kanak-kanak pekak atau mengalami masalah pendengaran mempelajari Al-Quran secara lebih inklusif.
Lebih menarik, aspek privasi juga diberi perhatian apabila suara pengguna tidak dihantar ke pelayan luar kerana keseluruhan sistem berjalan dalam peranti sendiri.
Pada masa akan datang, Ali berharap Nuramma dapat berkembang menjadi ekosistem pembelajaran Al-Quran yang lebih lengkap dengan tambahan fungsi seperti panduan tajwid, penjejakan progres hafazan serta bahan pembelajaran untuk juz-juz lain.
Kadangkala, inovasi terbaik bukanlah teknologi yang paling viral atau paling banyak diperkatakan, tetapi yang mampu menyelesaikan masalah sebenar dalam kehidupan seharian.
Sumber: LinkedIn Ali An Nuur / LinkedIn Swift Indonesia / Instagram @infolombok_official / Facebook Best Finder
FT Image: LinkedIn Ali An Nuur / LinkedIn Swift Indonesia
