Siapa sangka seorang pelajar tahfiz dari Selangor ini bukan saja berjaya menamatkan pengajian di Amerika Syarikat dengan keputusan cemerlang, malah turut meraih pelbagai pengiktirafan akademik serta kepimpinan sepanjang berada di sana.
Kisah inspirasi ini dikongsikan oleh MARA USA menerusi Facebook mereka apabila mengetengahkan kejayaan Muhammad Izzahan Isman, graduan Bachelor of Economics dan pelajar tajaan MARA di bawah Young Talent Development Programme (YTP).
BEKAS PELAJAR TAHFIZ MUHAMMAD IZZAHAN ISMAN RAIH PELBAGAI ANUGERAH DI UNIVERSITI AMERIKA

Gambar MARA USA.
Apa yang lebih menarik perhatian, Izzahan merupakan bekas pelajar tahfiz dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang, Selangor sebelum melanjutkan pengajian di Michigan State University, Amerika Syarikat.
Raih CGPA 3.72 & pelbagai pengiktirafan di universiti
Sepanjang pengajiannya, Izzahan berjaya mengekalkan keputusan akademik memberangsangkan dengan CGPA 3.72.
Bukan itu sahaja, kecemerlangan beliau turut diiktiraf menerusi beberapa anugerah termasuk Spartan Difference Award – Initiative, Green Cranium Award – Problem Solving (Honorary Recipient) serta ROTC Academic Ribbons untuk pencapaian akademik melebihi 3.5.
Namun, kejayaan Izzahan tidak hanya terhad di dalam bilik kuliah.
Beliau turut aktif menyertai pelbagai aktiviti pembangunan diri termasuk menjadi penganalisis ekonomi dalam College Fed Challenge, menyertai Personal Investment Club serta memegang jawatan Public Relations Officer bagi Malaysian Student Organization.

Gambar MARA USA.
Sertai latihan Army ROTC, tapi bukan sertai tentera AS
Dalam masa sama, Izzahan turut menyertai Army Reserve Officers’ Training Corps (ROTC) Cadet sebagai aktiviti kokurikulum universiti.
Melalui program tersebut, beliau didedahkan dengan aspek disiplin, kepimpinan dan pengurusan pasukan, termasuk memimpin pasukan dalam latihan STX Lanes serta mengaplikasikan troop-leading procedures dan kepimpinan taktikal.
Kesungguhan yang ditunjukkan membolehkan beliau menerima pengiktirafan rasmi daripada Professor of Military Science, Lieutenant Colonel (LTC) Sisoura atas profesionalisme dan perkembangan kepimpinan yang memberangsangkan.
Bagaimanapun, MARA USA menjelaskan penyertaan Izzahan dalam Army ROTC tidak mengikat beliau dengan ketenteraan Amerika Syarikat.
Sebaliknya, program itu lebih bersifat latihan kepimpinan dan disiplin, hampir sama seperti program ROTU yang ditawarkan di universiti-universiti di Malaysia.
Baca juga: Dron Haroqs RM15K Diinfakkan Demi Gaza, Rakaman Detik Cemas Jadi Bukti Dunia Sebelum Kapal Dipintas!
Jadi inspirasi anak muda Malaysia
Dengan gabungan ilmu ekonomi, latihan kepimpinan, pengalaman organisasi dan asas tarbiyah sebagai seorang tahfiz, Izzahan kini dilihat bersedia untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negara.
MARA USA turut meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian beliau dan berharap kisah kejayaan itu dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda Malaysia untuk terus mengejar impian walau di mana berada.
Tahniah diucapkan!
Sumber: Facebook MARA USA
FT Image: MARA USA
