Bimbang datuknya terlupa makan ubat selepas dia melanjutkan pelajaran ke universiti, seorang remaja mengambil inisiatif luar biasa dengan membangunkan aplikasi khas berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu warga emas itu menguruskan pengambilan ubat setiap hari.
Baca juga: Ramai Tak Mampu Bayar Rawatan, Doktor Ini Nekad Wujudkan Klinik RM39 Untuk Keluarga B40
CUCU BANGUNKAN APLIKASI KHAS INGATKAN DATUK MAKAN UBAT

Gambar Baidu: Ma mendedahkan aplikasi itu dibangunkan menggunakan model bahasa besar (LLM) dikenali sebagai MiniCPM yang dibangunkan oleh syarikat kecerdasan buatan (AI) berpangkalan di Beijing, ModelBest.
Lebih menyentuh hati, aplikasi tersebut bukan dibangunkan untuk pertandingan atau tujuan komersial, sebaliknya lahir daripada rasa kasih seorang cucu yang tidak mahu datuknya berdepan risiko terlupa mengambil ubat ketika tinggal bersendirian.
Menurut laporan South China Morning Post, Ma Kai, 18, dari Shanghai bakal menyambung pengajian ke universiti di bandar lain bermula September ini selepas menamatkan sekolah menengah dan menduduki peperiksaan kemasukan universiti kebangsaan China (gaokao) pada Jun lalu.
Baca juga: Kejutan Hari Lahir Buat Amma Tukang Sapu Undang Sebak, Anak Muncul Pakai ‘Uniform’ Kerjaya Hebat!
Aplikasi boleh kesan ubat tamat tempoh
Ma berkongsi mengenai aplikasi ciptaannya ketika menghadiri Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (WAIC) di Shanghai pada pertengahan Julai sebagai seorang pengunjung.
Katanya, aplikasi itu dibangunkan menggunakan model bahasa besar (Large Language Model) MiniCPM yang dibangunkan oleh syarikat teknologi berpangkalan di Beijing, ModelBest.
Walaupun nama aplikasi tersebut tidak didedahkan, ia direka khusus untuk membantu datuknya mengingati jadual makan ubat setiap hari.
Apa yang lebih menarik, aplikasi itu turut mempunyai keupayaan mengesan sama ada ubat telah tamat tempoh hanya melalui gambar bungkusan ubat yang dimuat naik oleh pengguna.
Sekiranya sistem mengesan ubat berkenaan sudah luput, ia akan mengeluarkan amaran suara supaya pengguna tidak mengambil ubat tersebut.
Ma berkata, dia turut menghadiri persidangan berkenaan bagi mendapatkan pandangan daripada pakar ModelBest untuk menambah baik aplikasi yang dibangunkannya.

Gambar Baidu: Dibesarkan oleh datuknya sejak kecil, Ma yang mempunyai hubungan sangat rapat dengan warga emas itu meluahkan kebimbangannya terhadap datuknya yang kini berusia lingkungan 70-an.
Dibangunkan kerana kasih kepada datuk
Menurut Ma, dia dibesarkan oleh datuknya yang kini berusia sekitar 70-an.
Disebabkan datuknya mempunyai beberapa masalah kesihatan dan perlu mengambil ubat secara berkala, dia mula memikirkan satu penyelesaian sebelum berpindah ke bandar lain untuk menyambung pengajian.
Dia bimbang datuknya terlupa makan ubat, tersalah jadual pengambilan atau tanpa sedar mengambil ubat yang sudah tamat tempoh akibat masalah ingatan.
Atas sebab itu, dia menghasilkan aplikasi tersebut sebagai pembantu digital yang boleh memberikan peringatan setiap hari, sekali gus membantu datuknya menguruskan pengambilan ubat dengan lebih selamat.
Perkongsian itu menerima pujian meluas daripada warga maya yang menyifatkan kecerdasan buatan bukan sahaja mampu memudahkan kehidupan, malah boleh dimanfaatkan untuk menjaga insan tersayang.
Ramai turut berharap teknologi seperti ini dapat diperluaskan pada masa hadapan bagi membantu lebih ramai warga emas dan ibu bapa menguruskan makan ubat dengan lebih mudah, terutama mereka yang tinggal bersendirian atau mempunyai masalah ingatan.
Sumber: South China Morning Post
