Kehilangan anak merupakan satu pengalaman yang amat perit untuk dilalui oleh mana-mana ibu bapa, lebih-lebih lagi apabila anak yang dinanti bertahun-tahun akhirnya pergi sebelum sempat dibesarkan dengan penuh kasih sayang.
Baru-baru ini, perkongsian seorang wanita di Threads menjadi perhatian ramai selepas dia berkongsi keadaan emosinya yang semakin tidak menentu selepas kehilangan bayi dalam kandungan yang dikatakan ditunggu selama tiga tahun.
Baca juga: Ramai Terkejut Gaji Bulan Ini Berkurang, Rupanya Ada Potongan Baharu PERKESO Skim LINDUNG 24 Jam
KEHILANGAN ANAK DALAM KANDUNGAN, NETIZEN RISAU KEADAAN IBU

Foto: Threads @nrlfnjsm_
Menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik, wanita tersebut berkongsi rasa rindu yang mendalam terhadap anaknya sehingga sanggup keluar bersendirian pada waktu malam untuk menziarahi pusara bayi berkenaan.
Menurutnya, dia tidak lagi mempedulikan apa yang diperkatakan orang sekeliling kerana hanya mahu dekat dengan anak yang amat dirinduinya.
Malah, dia turut mendakwa pernah pergi ke kubur anaknya pada waktu malam ketika masih dalam tempoh berpantang dan enggan pulang walaupun dipujuk oleh suaminya.
Bawa Pulang Kayu Batu Nisan Kerana Kehilangan Anak

Foto: Threads @nrlfnjsm_
Lebih merisaukan, wanita itu turut berkongsi bahawa dia membawa pulang sebatang kayu yang dipercayai digunakan sebagai penanda kubur anaknya.
Menerusi gambar yang dikongsikan, kayu tersebut dibalut dengan kain seolah olah itu anaknya sendiri.
Dalam satu lagi hantaran, dia menulis bahawa dia berasa tidak lagi keseorangan kerana telah “membawa pulang” anaknya untuk dijadikan peneman.
Perkongsian tersebut membuatkan ramai netizen meluahkan rasa simpati dan bimbang terhadap keadaan mental serta emosinya.
Berulang Kali Mesej Suami Minta Anak Dikembalikan

Foto: Threads @nrlfnjsm_
Selain berkongsi luahan di Threads, wanita berkenaan turut memuat naik beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp bersama suaminya.
Menerusi mesej tersebut, dia dilihat berulang kali menyatakan hasrat untuk mendapatkan semula anaknya yang telah meninggal dunia.
Suaminya bagaimanapun dilihat cuba menenangkan keadaan dengan meminta isterinya bertenang dan menerima hakikat pemergian anak mereka.
Perkongsian tersebut mengundang rasa sebak ramai netizen yang turut bersimpati dengan kesedihan dialami wanita berkenaan.
“Anak Aku Tak Sempat Merasa Setitis Air Susu”
Antara luahan yang paling meruntun hati ialah apabila wanita berkenaan menceritakan detik selepas melahirkan bayinya.
Menurutnya, doktor memaklumkan bahawa dia akan diberikan ubat untuk menghentikan penghasilan susu badan memandangkan bayinya telah meninggal dunia.
Namun kata-kata itu membuatkan dirinya berasa sangat sedih kerana anak yang dikandung dan dinantikan tidak sempat merasai walaupun setitis susu daripada ibunya.
“Anak aku tak sempat merasa setitis air susu sikit pun.”
Dia turut mengakui keadaan yang dialaminya bukan semata-mata disebabkan kehilangan anak, malah terdapat beberapa perkara lain yang turut memberi kesan sehingga menyebabkan dirinya trauma.
Tindakan Bawa Pulang Kayu Dari Kubur Cetus Kebimbangan Netizen

Foto: Threads @nrlfnjsm_
Antara perkongsian yang paling mengundang perhatian ialah apabila wanita tersebut dipercayai membawa pulang kayu penanda kubur anaknya sebelum membalutnya dengan kain dan menjaganya seolah-olah bayi sendiri.
Tindakan itu membuatkan ramai netizen mula meluahkan kebimbangan terhadap keadaan emosinya dan berharap bantuan profesional dapat diberikan secepat mungkin.
Di ruangan komen, ramai yang meminta pihak berkaitan tampil membantu sebelum keadaan menjadi lebih serius.
“This is postpartum depression dan benda ni serius. Bila kita berpantang kita dalam keadaan tak stabil, tambahan pula dia kehilangan bayi. Semoga akak ni cepat-cepat dibantu.”
Seorang lagi netizen berpendapat wanita tersebut tidak sepatutnya dibiarkan bersendirian memandangkan dia baru sahaja kehilangan anak pertama selepas menunggu selama tiga tahun.
“I rasa she need help. Dia tak boleh alone. Kesian tengok dia sebab first anak selepas 3 years TTC dan suami jauh.”
Malah, ada juga yang menggesa agar tindakan segera diambil bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
“Tolong selamatkan dia sebelum bertambah teruk. Meroyan ni bahaya dan ada yang ambil masa bertahun untuk pulih.”
Netizen Tag KKM Dan JKM Mohon Bantuan Segera
Seorang pengguna Threads dilihat menandakan akaun rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sambil memohon agar bantuan segera diberikan.
Malah, ada juga individu yang mendakwa telah cuba menghubungi suami wanita berkenaan menerusi mesej peribadi, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.
Apa pun, semoga wanita ini diberikan kekuatan untuk melalui fasa kehilangan yang amat sukar ini.
Pada masa sama, orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dalam memberikan komen di media sosial kerana individu yang sedang berdepan trauma dan kesedihan memerlukan sokongan, bukannya kecaman.
Sumber: Threads @nrlfnjsm_
FT Images: Threads @nrlfnjsm_
