Euforia Bola 2026
Sihat

Hidung Anak Berdarah & Hingus Bau Busuk, Rupanya Ada Objek ‘Tersimpan’ Hampir 10 Tahun!

hidung berdarah

Seorang ibu, Narahnizah Jain, berkongsi pengalaman mengejutkan apabila menemani anak sulungnya menjalani pemeriksaan di klinik pakar ENT, selepas mengalami masalah hidung berdarah.

Menurut perkongsiannya di Facebook, pemeriksaan tersebut dibuat selepas anaknya sering mengalami selesema yang tidak sembuh, diikuti dengan pendarahan hidung serta bau hingus yang kurang menyenangkan.

Baca juga: Guru Wanita Maut Dalam Nahas Jalan Raya, Ketika Perjalanan Ke Rumah Pengasuh Anak…

HIDUNG BERDARAH & HINGUS BERBAU, RUPANYA INI PUNCA

HIDUNG BERDARAH

Ketika sesi pemeriksaan dijalankan, doktor memasukkan kamera kecil ke dalam rongga hidung bagi mengenal pasti punca masalah. Bahagian hidung sebelah kiri didapati berada dalam keadaan baik tanpa sebarang isu. Namun, situasi berbeza berlaku pada hidung sebelah kanan yang sering mengalami pendarahan.

Doktor pada awalnya menunjukkan bahagian hadapan hidung yang menjadi punca darah kerap keluar. Namun, apabila kamera dimasukkan lebih dalam ke bahagian belakang, mereka dikejutkan dengan penemuan satu objek berketul besar dan berkilat.

Ibu tersebut mengakui terkejut melihat objek berkenaan melalui paparan kamera, malah pada mulanya menyangka ia mungkin sesuatu seperti aluminium foil kerana bentuknya yang tidak biasa.

Beberapa percubaan dilakukan oleh doktor untuk mengeluarkan objek tersebut, namun tidak berjaya. Dalam masa yang sama, hidung anaknya mula mengeluarkan darah dengan banyak, menyebabkan doktor terpaksa menggunakan semburan kebas serta alat sedutan bagi mengawal keadaan.

OBJEK KERAS MACAM BATU!

Situasi menjadi lebih mencemaskan apabila doktor meminta bantuan tambahan, sebelum seorang lagi doktor pakar datang membantu. Selepas beberapa kali mencuba dengan pelbagai peralatan, akhirnya objek tersebut berjaya dikeluarkan selepas kira-kira 10 minit.

Apa yang lebih mengejutkan, objek tersebut berwarna hitam dan keras seperti batu. Doktor kemudian meneruskan prosedur untuk memastikan tiada sisa kecil yang tertinggal di dalam rongga hidung sebelum rawatan selesai.

Selepas prosedur, hidung anaknya terpaksa dimasukkan kain khas bagi menghentikan pendarahan. Dalam masa yang sama, si ibu mengambil peluang bertanya kepada anaknya mengenai kemungkinan objek tersebut dimasukkan sebelum ini.

Pada awalnya, anaknya menafikan pernah memasukkan apa-apa ke dalam hidung. Namun selepas ditanya sekali lagi, dia akhirnya mengingati satu kejadian ketika berusia sekitar tujuh tahun, di mana dia pernah memasukkan gula-gula kecil ke dalam hidungnya.

HIDUNG BERDARAH

Freepik

Gula-gula tersebut dipercayai tidak pernah dikeluarkan dan lama-kelamaan mengeras sehingga menjadi seperti batu selepas berada dalam hidung selama hampir satu dekad.

Menurut ibu tersebut, penemuan itu menjelaskan punca kepada masalah yang dialami anaknya sebelum ini, termasuk bau busuk pada hingus serta pendarahan yang berlaku sejak beberapa minggu lalu.

Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana keputusan untuk mendapatkan pemeriksaan pakar akhirnya membongkar punca sebenar masalah tersebut.

Anaknya kini dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan dalam tempoh dua minggu bagi memastikan keadaan hidung kembali pulih sepenuhnya.

Perkongsian ini menjadi peringatan kepada ibu bapa agar tidak mengambil ringan aduan anak-anak, terutamanya apabila melibatkan simptom berpanjangan yang kelihatan luar biasa.

Baca juga: Hati-Hati Pilih Nama Anak! Ustaz Dzulkhairi Perjelas Kekeliruan ‘Raisya’ vs ‘Raisa’, Rupa-Rupanya Maksud Jauh Berbeza

Sumber: Facebook Narahnizah Jain

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×