Usaha giat dijalankan oleh pasukan penyelamat Indonesia bagi mencari puluhan pelajar yang dipercayai terperangkap selepas sebuah bangunan empat tingkat milik sekolah pondok runtuh semalam, mengorbankan seorang mangsa dan mencederakan lebih 70 yang lain.
Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari, insiden berlaku di Pondok Pesantren Al Khoziny, terletak di Kabupaten Sidoarjo, sebuah institusi yang terkenal dalam melahirkan ramai ulama sejak tahun 1927 dan kejadian berlaku ketika solat Asar.
Baca juga: Anak Malaysia Ukir Sejarah Di Cambridge, Dr Hanis Lulus PhD Dengan Keputusan ‘Without Correction’
SEKOLAH PONDOK RUNTUH, 38 PELAJAR DIKHUATIRI TERPERANGKAP

Setakat pagi ini, sebanyak 102 individu telah dipindahkan dengan 91 daripadanya berjaya menyelamatkan diri manakala 11 lagi diselamatkan oleh pasukan penyelamat. Seorang pelajar disahkan meninggal dunia.
Daripada jumlah mangsa yang cedera, seramai 77 orang telah dihantar ke hospital, melibatkan 34 orang di Hospital Sidoarjo, 38 orang di Hospital Siti Hajar dan 4 orang di Hospital Delta Surya
Abdul Muhari menjelaskan bahawa kejadian berlaku ketika pekerja binaan sedang menjalankan kerja menuang konkrit di tingkat atas bangunan. Difahamkan, struktur asas gagal menampung beban, menyebabkan keseluruhan bangunan runtuh hingga ke tingkat bawah sekitar jam 3 petang waktu tempatan.
Ketua pondok, KH Abdus Salam Mujib, memaklumkan bahawa bangunan yang runtuh itu masih dalam proses pembinaan sejak kira-kira sembilan bulan lalu. Tingkat tiga baru sahaja siap untuk dijadikan dewan aktiviti pelajar.
Insiden ini berlaku tidak lama selepas kejadian serupa di Bogor, Jawa Barat, awal bulan ini, apabila sebuah madrasah dua tingkat yang juga masih dalam pembinaan runtuh, menyebabkan empat maut dan 84 cedera.
Sumber: Berita Harian
