40 Minggu

9 Stok Makanan ‘Wajib’ Di Bulan Ramadhan Untuk Ibu Mengandung & Menyusu

“First time aku puasa masa mengandung ni. Larat tak agaknya ye. Apa patut makan bagi bertenaga sikit?”

Bukan mudah untuk menahan lapar dan dahaga bila tengah berbadan dua atau sedang menyusukan anak. Sedangkan hari tak puasa pun asyik lapar dan haus, apatah lagi pada bulan Ramadhan.

Sebenarnya, kajian telah mendapati bahawa berpuasa tidak akan membahayakan kandungan mahupun menjejaskan penghasilan susu ibu. Yang penting, para ibu perlu mengamalkan pemakanan sihat serta pengambilan air yang mencukupi.

Di bawah merupakan beberapa cadangan makanan yang boleh diambil dan disimpan sebagai stok waktu bersahur dan berbuka supaya lebih bertenaga ketika berpuasa.

9 Stok Makanan ‘Wajib’ Di Bulan Ramadhan Untuk Ibu Mengandung & Menyusu

1. Roti Wholemeal

Ibu hamil dan menyusu perlu bijak memilih pemakanan yang paling baik untuk diri dan bayi ketika bulan puasa untuk tenaga berpanjangan. Sumber karbohidrat kompleks yang paling mudah nak dibuat stok adalah roti wholemeal. Gardenia pun sekarang dah ada roti multi grain yang rendah kandungan glycemic index (GI).

Selain itu, boleh juga tukarkan beras biasa kepada beras perang kerana sumber karbohidrat begini mengambil masa yang lebih lama untuk dihadam. Maka,para ibu akan kurang berasa lapar.

Kandungannya yang kaya dengan serat pula berfungsi untuk mengelakkan masalah sembelit  akibat kekurangan air.

2. Telur Rebus

Telur bukan sahaja murah dan mudah didapati, malah menyimpan banyak khasiat dan kebaikan buat ibu serta perkembangan janin yang sihat. Seperti yang kita tahu, telur kaya dengan protein dan lemak asid omega 3.

Pengambilan omega 3 dapat meningkatkan penghasilan asid lemak baik dalam susu badan. Kuning telur pula mengandungi vitamin D untuk kesihatan tulang ibu serta perkembangan tulang bayi dalam kandungan.

http://www.food.com/

3. Susu & Yogurt

Susu segar mampu membekalkan kalsium, protein dan vitamin B dan D secara harian untuk ibu. Pengambilan susu secara rutin juga dapat memastikan kesihatan tulang ibu dan bayi dalam kandungan.

Kalau tak lalu minum susu putih, boleh campurkan dengan buah-buahan menjadi smoothies. Seeloknya jangan tambah gula.

Para ibu juga boleh mengambil produk tenusu dari sumber lain seperti yogurt atau keju. Yogurt bukan sahaja membekalkan kalsium, malah mengandungi bakteria baik bagi melancarkan sistem pencernaan ibu.

http://kingofwallpapers.com/

4. Kurma

Kebaikan buah kurma memang tidak dapat disangkal lagi buat para ibu. Islam juga turut mengajar kita untuk menerapkannya dalam diet pada bulan Ramadhan sebagai sunnah.

Kandungannya yang kaya dengan zat besi dan kalsium membantu dalam melancarkan penghasilan susu ibu yang berkualiti.

Buat ibu hamil pula, mengamalkan makan buah kurma amat baik dalam merangsang hormon dalam badan yang dapat mengurangkan pendarahan selepas bersalin di samping merangsang otot bagi memudahkan proses melahirkan anak. Antara resepi yang paling popular setiap bulan Ramadhan adalah jus kurma susu.

5. Oat

Oat menjadi pilihan pengamal makanan sihat kerana kesan baiknya pada kesihatan jantung. Bukan itu sahaja, ia juga disyorkan untuk ibu hamil dan menyusu kerana mengenyangkan di samping membekalkan tenaga serta melancarkan sistem penghadaman.

Rasa tawarnya juga boleh diatasi dengan mempelbagaikan pengambilannya dengan buah-buahan segar atau kering. Banyak resepi overnight oat yang boleh dicuba supaya tidak bosan makan bijrin ini.

Foto Kredit: foodnetwork.com

6. Sayuran Hijau

Sayur-sayuran hijau seperti bayam dan sawi amat baik untuk kesihatan menyeluruh lebih-lebih lagi buat ibu hamil atau yang menyusukan bayi. Pengamalan sayur dalam diet dapat membantu menambahkan kandungan lemak baik dalam susu badan serta mampu membekalkan tenaga sepanjang hari.

Kalau ‘alergik’ makan sayur, boleh kisarkan campuran bayam, strawberi, yogurt vanilla dan susu segar untuk dijadikan smoothie. Sedap tau!

Foto Kredit: simplegreensmoothies.com

7. Badam

Selain kurma, kacang badam juga merupakan snek yang disarankan buat amalan pemakanan ibu mengandung dan menyusukan anak. Ia bukan sahaja berfungsi dalam membanyakkan susu badan, malah ia juga merupakan sumber alternatif protein yang baik.

Badam kaya dengan lemak semulajadi dan folat yang tinggi untuk kesihatan ibu dan anak dalam kandungan. Ia juga dipercayai membekalkan 20 kali ganda protein berbanding bijirin lain.

Di samping itu, badam dapat membantu para ibu mengekalkan tahap kesihatan dengan mengurangkan paras kolesterol, darah tinggi serta kencing manis.

Kacang badam enak dimakan begitu saja atau cincang kecil untuk dinikmati bersama overnight oats. Daripada makan ‘jajan’, baik makan badam ini!

Pemakanan yang istimewa semasa anak masih dalam kandungan

8. Buah-buahan

Cuba elakkan diri ke pasar Ramadhan untuk membeli kuih dan gantikan dengan ke pasar / pasaraya untuk membeli buah.

Buah-buahan yang tinggi kandungan air seperti buah tembikai, betik dan buah naga memiliki vitamin C selain membantu supaya ibu-ibu kekal hidrat. Daripada beli air manis, para ibu juga boleh mengisar buah menjadi jus untuk berbuka nanti.

9. Air Kosong

Kandungan air yang tinggi dalam badan ibu juga merupakan faktor utama bagi penghasilan susu yang lancar. Kekurangan air juga boleh membuatkan anda cepat letih, terutamanya ketika berpuasa.

Sediakan botol air yang diisi sebanyak 2-3 liter dan letakkan berhampiran anda setiap kali selepas berbuka. Ini akan mengingatkan anda tentang jumlah air yang perlu diminum supaya kekal hidrat.

Foto Kredit : lisciuta.it

Buat Pilihan Bijak!

Dengan pelbagai juadah yang ‘menggoda’ pada bulan ini, para ibu perlu membuat pilihan yang bijak mengawal nafsu untuk mengelakkan makanan berlemak, berminyak dan minuman manis.

Pelbagaikan makanan berkhasiat dengan mencuba pelbagai resepi sihat yang boleh dicari di internet. Mudah-mudahan ibu-ibu berpeluang merebut ganjaran serta menghayati bersama bulan Ramadhan yang cuma datang setahun sekali ini.

 

Yang Popular

To Top