Dapur

Resepi Kek Carrot Sihat Tanpa Gula. Mudahnya, Tak Perlu Mixer & Oven Pun!

387
SHARES

“Tak lama lagi hari jadi Aidan, cikgu kata boleh bawa kek untuk dia. Tapi, kek apa yang sesuai untuk budak-budak kecil tu? Kalau beli di kedai kek, dah tentulah semuanya manis belaka. Kalau buat sendiri, agaknya susah tak ya?”

Alhamdulillah, kini semakin ibu yang prihatin dalam soal pemilihan makanan anak-anak. Tak dinafikan lagi, tabiat pemakanan yang baik perlu dipupuk oleh ibu bapa sejak mereka kecil lagi. Kalau sejak kecil dah dilatih dengan makanan berkhasiat, lebih mudah untuk mereka mengekalkan diet sihat ketika meningkat usia kelak.

Selari dengan itu, resepi-resepi organik, tanpa gula, garam, MSG, perasa tiruan, dan pengawet sering mendapat perhatian. Dalam artikel ini, kami ingin berkongsikan sebuah resepi kek carrot dan kurma oleh Puan Yatie Eimra.

Menurut beliau, resepi ini sesuai untuk anak kecil berusia 1 tahun ke atas, dan kek ini jugalah yang menjadi hidangan istimewa sempena hari jadi anaknya yang ke-2 tempoh hari. Menariknya, tak perlu ada mixer atau oven. Hanya perlu kacau, gaul, dan kukus. Bila dimakan dengan krim keju, memang ‘layan’!

Resepi Kek Carrot Kukus Dengan Krim Keju

Cara Membuat Kek Carrot

Bahan-bahan:

  • 100 gm kurma – dibuang biji
  • 60 ml air
  • 250 gm unsalted butter
  • 200 gm carrot — diparut
  • 270 gm tepung gandum – diayak
  • 1 sudu kecil soda bikarbonat – diayak
  • ½ sudu kecil cream of tartar – diayak
  • ½ sudu kecil serbuk kayu manis – diayak
  • 1 sudu teh esen vanila
  • 3 biji telur A
  • Madu secukupnya

Cara-cara:

1. Sediakan Air Kukusan

Mula-mula, sediakan alatan mengukus dan panaskan air kukusan.

2. Rebus Kurma

Kurma direbus dengan air hingga mendidih. Kemudian, toskan kurma & potong kecil. Air rebusan tadi diketepikan.

3. Masak Separuh Carrot

Cairkan butter. Masukkan separuh carrot yang telah diparut. Biarkan merenih seketika. Tutup api.

Tujuan separuh parutan carrot ini dimasak adalah supaya airnya sedikit kering & carrot lebih ringan.

4. Campurkan Air Rebusan Kurma

Tambahkan air rebusan kurma tadi ke dalam butter & carrot yang telah dimasak. Gaul sekata.

5. Masukkan Tepung

Masukkan tepung & bahan yang telah diayak sedikit demi sedikit.

6. Masukkan Telur & Esen Vanila

Seterusnya, masukkan pula telur dan esen vanila. Kacau hingga sebati.

7. Perasakan Dengan Madu

Tambahkan madu sehingga adunan sedikit manis. Fungsi madu selain memaniskan kek adalah untuk melembapkan kek.

8. Masukkan Lebihan Carrot & Kurma Yang Telah Direbus

Tambahkan carrot yang telah diparut & kurma yang telah dipotong. Gaul rata.

9. Kukus

Tuang adunan ke dalam loyang 8×8″ yang telah dilengser dengan butter/minyak & dilapik baking paper. Jika tiada baking paper, boleh juga gunakan kertas a4 atau taburkan tepung pada acuan yang telah dilengser dengan butter/minyak.

Kukus dengan api sederhana selama 1½ jam atau hingga masak. Boleh juga gunakan loyang bulat 9″.

Nota Penting: Pastikan kek ditutup dengan aluminium foil agar air tidak menitis.

 

Cara Membuat Krim Keju

Bahan-bahan:

  • 250gm cream cheese – dibiarkan suhu bilik
  • 120gm unsalted butter – dibiarkan suhu bilik
  • Madu secukupnya

Cara-cara:

1. Pukul Semua Bahan Hingga Gebu

Gaulkan semua bahan di atas dan putarkan hingga gebu.

Kalau tak ada mixer, boleh gaul guna spatula/senduk hingga sedikit kembang. Ada juga yang guna blender, terpulang pada mana yang selesa ya.

2. Gubah Topping Ikut Citarasa

Akhir sekali, boleh sapukan cream cheese ini di atas kek dan gubah ikut citarasa masing-masing. Siap untuk dihidang.

 

resepi kek carrot

Selamat Mencuba!

Mudah bukan? Walaupun kek ini versi sihat, rasanya tetap marvellous! Rugi kalau tak mencubanya.

 

*Resepi asal kek carrot dan kurma oleh Puan Yatie Eimra ini pertama kalinya dikongsikan melalui Group My Baby Homemade Solid Food. Ia diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×