Terapi

“Burnout!”: 6 Sebab Mama Penat Sangat Walaupun ‘Tak Buat Apa-apa’

93
SHARES
tanda burnout

“Nasib baik budak-budak tu nak juga tidur awal hari ni. Aku pun ingat nak masuk tidurlah. Kenapalah aku rasa letih sangat ni. Padahal macam tak ada buat apa-apa pun..”

Tak ramai yang faham bahawa sejak kita bergelar seorang ibu, kita bagaikan tiada lagi hari cuti. Lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik dan WFH ini, jadual semakin padat dan penuh dengan kerja-kerja yang perlu disiapkan.

Tak kiralah sama ada kita seorang wanita bekerja ataupun surirumah, kedua-duanya mengalami perubahan yang besar dalam rutin harian.

Ada masa tertentu, kita berasa amat letih. Tapi kalau diperiksa, macam ‘tak ada buat apa-apa pun’. Kenapa boleh jadi begini?

“Burnout!” : Ini 6 Sebab Mama Penat Sangat Walaupun ‘Tak Buat Apa-apa’

1. Tidur Malam Yang Terganggu

Dengan perubahan jadual kita akibat PKP dan WFH, anda mungkin sukar mendapat tidur malam yang cukup.

Sebahagian besar daripada kita hanya mempunyai me time setelah anak-anak semua tidur. Ketika ini, mata kita jadi cerah. Nak tengok FB, nak baca / balas mesej di telefon. Nak tengok drama kegemaran, dan ada juga yang berjaga malam untuk menyiapkan tugasan hingga menyebabkan waktu tidur yang lewat.

Bagi ibu yang menyusu dan berjaga untuk menyusukan bayi, mententeramkan mereka, menukar lampin, dan sebagainya, perubahan pada rutin tidur ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan kita untuk bekerja dengan efisyen di siang hari.

Menurut sumber dari HealthLine, seseorang perlu tidur 7-8 jam setiap hari supaya otak dapat memberi isyarat kepada tubuh untuk merembeskan hormon dan kompaun yang membantu:

  • mengurangkan risiko terhadap masalah kesihatan
  • mengawal rasa lapar
  • mengekalkan sistem pertahanan badan
  • menyimpan memori

Bayangkan, jika tidur tidak cukup, semua fungsi yang disebutkan di atas akan mengalami gangguan. Maka, tak perlu rasa bersalah jika anda masuk tidur awal atau mengambil beberapa minit untuk tidur sebentar di waktu siang.

2. Ya, Jaga Anak Adalah ‘Bekerja’

Sebuah kajian mendapati, secara puratanya seorang ibu akan bangun sekitar jam 6.23 pagi dan semua pekerjaan hanya akan berhenti sekitar jam 8.31 malam (kalau bernasib baik).

Bila ‘celik mata’ saja, mulalah kita menguruskan anak, menyiapkan sarapan, dan seterusnya diikuti pula dengan pelbagai tugasan. Sedar atau tidak, kebanyakan masa di rumah diluangkan oleh ibu melayan anak-anak sambil memenuhi keperluan mereka.

Bagi seorang ibu, kita mungkin rasa perbuatan menjaga anak bukanlah dikira ‘pekerjaan’, tapi sebenarnya ia adalah sebaliknya. Tak ada orang akan mengasuh anak kita secara percuma melainkan terpaksa bukan?

Jadi, ya, menjaga anak bukan saja memerlukan kekuatan fizikal, tetapi juga kekuatan mental. Tak hairanlah bila anak demam atau ‘memerap’, anda akan berasa begitu letih walaupun tak ada apa-apa kerja rumah lain yang dapat dibuat.

Tanpa disedari, ini menjadikan jumlah jam seorang ibu bekerja secara purata adalah 98 jam setiap minggu. Tahukah anda, ia bersamaan dengan jam bekerja seseorang mempunyai lebih 2 pekerjaan tetap!

3. Mama Selalu Risau

Tak apalah kalau kita terpaksa bungkus makanan FoodPanda / GrabFood / delivery untuk anak-anak.

Tak apalah kalau rumah kita tak kemas dan cantik macam dalam majalah.

Tak apalah kalau sekali-sekala kita bagi anak tengok kartun dan main game.

Tak apalah kalau anak kita masih tak bercerai lampin dan botol susu walaupun umurnya dah masuk 3 tahun.

Tak apalah kalau kita tak dapat menyusukan bayi dengan susu ibu sehingga 2 tahun.

Dalam tempoh PKP ni, banyak sangat benda yang kita kena catch up – dari pelajaran anak-anak di rumah (PdPR), nak uruskan makan minum mereka, kerja pejabat, kerja-kerja rumah, dan lazimnya keperluan ibu diletakkan akhir sekali dalam senarai tersebut.

Wahai Mama, kita perlu menerima hakikat bahawa kita tak mungkin dapat menjadi seorang ibu yang sempurna. Setiap ibu pasti mahu menjadi contoh yang terbaik buat anak-anaknya. Tapi apakan daya, setiap manusia melalui cabaran yang berbeza.

Hanya kita yang tahu dan merasai kesusahannya. Jadi, jangan rasa diri gagal apabila tidak mampu menjadi seperti apa yang diharapkan. Don’t be so hard on yourself.

Kerisauan dan expectation inilah yang menjadikan anda begitu letih dan penat setiap hari.

4. Tiada Masa Untuk Diri Sendiri

Mengikut survey, seorang ibu dah cukup bertuah kalau dapat 7 minit hingga 1 jam waktu untuk diri sendiri. Bila dah jadi mak-mak ni biasalah, kadang-kadang tu nak makan pun tak sempat.

Nak ke tandas untuk mandi dan buang air pun boleh ‘berperang’ dengan anak-anak. Apatah lagi nak dapat 1 jam untuk berehat, berbual di telefon, baca buku cerita, atau buat apa-apa yang kita suka.

Kita dah kemas depan, mereka ‘kemas’ bilik. Kita baru nak duduk, baby pula dah menangis. Mana nak sempat buat apa-apa untuk diri sendiri, betul tak?

Bagi yang mengalami masalah ini, jangan malu minta bantuan suami atau ahli keluarga.

Terangkan pada mereka bahawa anda perlukan sokongan buat sementara. Setidak-tidaknya, beban ini dapat dikongsi bersama.

http://www.scarymommy.com/

5. Rutin Yang Sama Setiap Hari

Mahu atau tidak, kita perlu melakukan rutin yang sama setiap hari. Dengan ruang lingkup yang terhad, kita hanya mampu berada di rumah dan berhadapan dengan persekitaran serta mood yang sama.

Bagi anak kecil juga, ia juga bukan mudah untuk mereka. Anak-anak ini memerlukan persekitaran yang baik untuk berkembang.

Jika dulu, sekali-sekala dapat juga bawa anak berjalan-jalan, makan di luar, dan pergi bercuti.

Tapi kini, mereka perlu berada di rumah sepanjang hari. Kalau di luar pun, hanya di persekitaran rumah atau di balkoni.

Bagi yang tidak memiliki ruang sebegini di rumah, ibu-ibu kenalah kreatif untuk mempelbagaikan rutin harian. Dengan merangkakan aktiviti yang seronok seperti DIY kraf, buat permainan anak, cuba resepi baru, dan sebagainya, setidaknya ia akan membantu kita lebih ceria.

Foto Kredit: festivals-collection.com

6. ‘Kerja’ Kita Selalu Dipandang Remeh

Bila tiada langsung sesiapa yang mengucapkan ‘terima kasih’ atau memberi pertolongan, dah tentulah kita tak gembira.

Dalam keadaan begini, lebih mudah kita untuk berasa stres, letih, dan tidak bermaya.

Tiada yang lebih seronok daripada menerima pelukan, kucupan, dan senyuman daripada seorang suami yang memahami dan menghargai setiap kesusahan yang kita lalui sepanjang menjadi seorang ibu.

Barulah rasa semua penat lelah itu amat berbaloi!

Foto Kredit: edition.cnn.com

Carilah Masa Untuk Berehat Kerana Anda Memang Memerlukannya

Tidak dinafikan semua cabaran dalam tempoh pandemik ini banyak mengajar kita mematangkan diri.

Tapi sehebat mana pun seorang wanita, mereka tetap perlu berehat.

Ramai wanita mengakui bahawa ‘berehat’ daripada menjadi seorang ibu dapat membantu mereka menjadi seorang ibu yang lebih baik. Tak kiralah walaupun hanya 15-30 minit sehari atau sekali setiap hujung minggu.

Sekalipun tiada sesiapa yang memberi penghargaan kepada anda, ingatlah bahawa anda perlu tahu bahawa anda berhak menghargai diri sendiri.

You deserve a break, moms!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×