Euforia Bola 2026
Percutian

Jebat Ada Adik Baharu! Zoo Melaka Kongsi Wajah ‘Baby Boy’ Anak Pasangan Harimau Kumbang, Minah Beting & Tommy

harimau kumbang

Berita gembira buat pencinta haiwan! Seekor anak harimau kumbang jantan selamat dilahirkan di Zoo Melaka pada 22 Julai lalu dan kini semakin aktif membesar di bawah jagaan rapi ibunya.

Si comel yang merupakan hasil pasangan Minah Beting dan Tommy itu mencuri perhatian selepas pihak zoo berkongsi perkembangan terkininya menerusi media sosial, termasuk mengajak orang ramai mencadangkan nama untuk bayi berkenaan.

Baca juga: ‘Malaysia, Truly Asia’ Jadi Pilihan No. 1! Diiktiraf Asia Guide, Ungguli 30 Slogan Pelancongan Dunia

ZOO MELAKA SAMBUT KELAHIRAN ANAK HARIMAU KUMBANG BAHARU!

harimau kumbang

Gambar Zoo Melaka: Anak harimau kumbang yang dilahirkan di Zoo Melaka.

Menerusi hantaran Facebook pada 30 September, Zoo Melaka memaklumkan anak harimau kumbang itu kini berusia dua bulan tujuh hari dan menunjukkan perkembangan fizikal yang sihat.

Malah, kelahiran ini turut menjadi satu lagi perkembangan positif dalam usaha pembiakan serta pemuliharaan hidupan liar di zoo berkenaan.

Anak kedua Minah Beting, lahir secara semula jadi

Menurut laporan Melaka Hari Ini, anak harimau kumbang daripada spesies Panthera pardus itu dilahirkan secara semula jadi oleh induk betina bernama Minah Beting yang dianggarkan berusia enam tahun. Bapanya pula ialah Tommy, seekor harimau kumbang jantan berusia 11 tahun.

Pegawai Sains Zoo Melaka, Muhammad Rafiq Jasmi berkata, anak berkenaan dilahirkan dalam keadaan sihat dan aktif menyusu selepas kelahiran.

Menariknya, ini merupakan kelahiran kedua buat Minah Beting selepas sebelum ini melahirkan seekor anak bernama Jebat yang kini berusia lebih setahun.

“Minah Beting telah menunjukkan pengalaman yang baik dalam menjaga anak dan bagi kelahiran kedua ini, ia dipasangkan dengan induk jantan bernama Tommy yang berusia 11 tahun.

“Kira-kira seminggu sebelum kelahiran, pihak Zoo Melaka membuat persiapan rapi termasuk memeriksa keselamatan pintu dan pagar, memasang kamera litar tertutup (CCTV), menyediakan kotak kelahiran serta mengasingkan induk jantan lima hari sebelum kelahiran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bagi memastikan Minah Beting berada dalam persekitaran yang selesa, kawasan kurungannya turut ditutup menggunakan blacknet bagi mengurangkan gangguan dari luar.

Baca juga: Pasport Malaysia Makin ‘Power’! Naik Ke Tangga Kedua Dunia, Ini Senarai Penuh Top 20

Dipantau 24 jam, orang ramai diajak cadangkan nama

harimau kumbang

Gambar Zoo Melaka.

Selepas kelahiran, kakitangan Seksyen Harimau bersama Unit Veterinar Zoo Melaka menjalankan pemantauan selama 24 jam sepanjang minggu pertama bagi memastikan keadaan ibu dan anak berada dalam keadaan baik.

Pemeriksaan kesihatan turut dilakukan secara berkala bagi menilai perkembangan si kecil, termasuk sistem tubuh dan skor keadaan badan (BCS).

Hasil pemeriksaan pada minggu pertama menunjukkan anak harimau kumbang itu berada dalam keadaan normal dengan skor keadaan badan yang baik. Menurut Muhammad Rafiq, keadaan kedua-duanya juga kekal sihat dan stabil, manakala Minah Beting menunjukkan selera makan yang baik.

Perkembangan positif ini pastinya menggembirakan pihak zoo memandangkan harimau kumbang merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Dalam masa sama, Zoo Melaka turut membuka peluang kepada orang ramai untuk mencadangkan nama yang sesuai buat anak harimau kumbang jantan berkenaan.

Menerusi hantaran Facebook mereka yang kini menerima 11.8 ribu tanda suka, 1.7 ribu komen dan lebih 600 perkongsian, pihak zoo menulis, “Cuba teka nama apa yang sesuai untuk baby boy baru kita ini?”

Jadi, kalau anda ada idea nama yang comel atau unik untuk si kecil ini, bolehlah kongsikan di ruangan komen hantaran Zoo Melaka!

Sumber: Facebook Zoo Melaka / Melaka Hari Ini

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×