Euforia Bola 2026
Famili

“Dia Tunggu Dulu, Tak Manis Potong Queue”– Wanita Ini Selamba Tunggu Black Thorn Gugur, Siap Ditemani Pocong!

kebun durian

Bermalam di kebun durian semata-mata mahu menunggu buah Black Thorn gugur mungkin dianggap satu pengalaman yang berbaloi. Namun, bagi seorang wanita ini, penantian tersebut hadir bersama ‘teman’ misteri yang membuatkan ceritanya menjadi perhatian ramai.

Menerusi Threads, pengguna @schasallehys berkongsi pengalaman bermalam bersama adik-beradiknya di sebuah kebun untuk menunggu buah durian Black Thorn gugur.

Baca juga: Bapa Tak Sangka Viral Cari Buku Hilang Hasil Karya Anak Selama 3 Tahun, Akhirnya Naskhah Penuh Lukisan Ditemui!

WANITA BUAT RILEKS DITEMANI POCONG BERMALAM DI KEBUN DURIAN

kebun durian

Gambar Threads @schasallehys

Tunggu Black Thorn gugur, sekali ada ‘teman’ misteri

Menurut perkongsian Scha Salleh, mereka sanggup bermalam di kebun bagi menunggu buah Black Thorn gugur. Dalam suasana malam yang sunyi, dia turut sempat membakar ayam dan menikmati durian yang sudah gugur sambil meneruskan penantian.

Namun, gambar yang dikongsikan mencuri perhatian warga maya apabila kelihatan satu figura misteri yang didakwa menyerupai pocong.

Dia pula memilih untuk berseloroh mengenai situasi tersebut.

“Perjuangan tidur dekat kebun durian sambil menunggu Black Thorn jatuh ditemani dengan seketul pocong. Thank you temankan,” katanya.

Perkongsian berkenaan membuatkan ramai tertanya-tanya bagaimana dia boleh kekal tenang ketika berada di kebun pada waktu malam.

Lebih menarik, ketika ditanya SirapLimau, wanita tersebut mendedahkan apa yang bermain dalam fikirannya ketika menyedari kewujudan kelibat itu.

“Masa itu dalam kepala cuma satu, ‘abang’ ni pun peminat durian jugak ke?” katanya.

Dia mengakui perasaannya ketika itu bercampur-baur.

“Perasaan masa tu susah nak digambarkan, seram ada, terkejut ada. Tapi saya diam je… sebab kalau dia dah tunggu dulu, saya rasa tak manis nak potong queue,” jawabnya sambil berseloroh ketika ditanya SirapLimau mengenai perasaannya ketika mengetahui ada kelibat tersebut.

Jawapan berkenaan ternyata cukup mencuit hati kerana dalam keadaan yang mungkin membuatkan orang lain terus meninggalkan kebun, dia pula memilih untuk tidak ‘memotong giliran’ kelibat misteri berkenaan.

Baca juga: Anjing Gergasi 60kg Serang Dua Anjing Peliharaan Hingga Mati, Pemilik Cemas Cuba Selamatkan Haiwan

kebun durian

Gambar Threads @schasallehys

Warga maya beri pelbagai reaksi

Perkongsian tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya. Ada yang mengakui berasa seram dan meremang apabila melihat gambar yang dikongsikan, lebih-lebih lagi kerana ia diambil dalam suasana kebun pada waktu malam.

Tidak kurang juga yang menganggap durian Black Thorn lebih mencuri perhatian sehingga kewujudan ‘pocong’ itu tidak begitu menakutkan.

Ada juga yang berseloroh bahawa kelibat berkenaan mungkin sebenarnya turut menunggu buah durian gugur.

Walaupun identiti sebenar figura dalam gambar itu tidak dapat dipastikan, kisah tersebut tetap mencetuskan perbualan warga maya kerana gabungan suasana kebun yang sunyi, misi menunggu Black Thorn dan kelibat yang didakwa menyerupai pocong.

Apa yang pasti, pengalaman bermalam untuk mendapatkan durian kali ini meninggalkan satu cerita yang mungkin sukar dilupakan oleh Scha Salleh, apatah lagi apabila ‘teman’ yang datang bukanlah tetamu yang dijangka.

Baca juga: [VIDEO] Kasut Hilang Dalam Timbunan, Lelaki Ini Kongsi Cara Guna ChatGPT Sebagai ‘Penyelamat’!

Sumber: Threads @schasallehys

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×