40 Minggu

Sebanyak 70 Kes Kematian Ibu Hamil Dari Mac 2020-Ogos 2021

45
SHARES

Sejak kebelakangan ini, kita digemparkan dengan kes kematian yang begitu banyak dan ini juga melibatkan golongan ibu hamil. Mungkin anda tidak sedar, tetapi golongan ibu hamil adalah termasuk dalam golongan berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas. Jadi salah satu cara untuk melindungi diri ibu hamil dari terkena jangkitan Covid-19 yang serius adalah melalui suntikan vaksin.

Baca juga: Jangan Takut, Pakar Kongsi ‘Timing’ Betul Untuk Ibu Hamil Cucuk Vaksin

70 KES KEMATIAN IBU HAMIL DARI MAC 2020

Dari Mac 2020 sehingga 8 Ogos lalu, sebanyak 70 kes kematian membabitkan ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19 yang dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejumlah 3,396 kes Covid-19 dalam kalangan ibu hamil di negara ini dilaporkan dalam tempoh berkenaan iaitu hampir satu peratus ibu hamil di Malaysia dijangkiti Covid- 19.

Jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat bermula Oktober 2020 dengan purata 200 kes jangkitan sebulan yang mana lonjakan kes dapat dilihat pada Mei lalu (sebanyak 850 kes) dan Jun lalu (sebanyak 899 kes). Trend peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan ibu hamil adalah sejajar dengan peningkatan jumlah kes Covid-19 di Malaysia.

“Peratusan ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 yang menerima penjagaan rawatan rapi meningkat dari tiga peratus pada 10 Julai lalu kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos lalu,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Dr Noor Hisham berkata, analisa terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti Covid-19 yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit Covid-19 kritikal ialah satu dalam 20.

Nisbah ini jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu satu dalam 220. Bagi kes kematian sebanyak 70 kes dilaporkan yang mana purata kes Covid-19 bagi Januari sehingga Mei adalah sebanyak dua kes pada setiap bulan.

“Bagaimanapun, berlaku peningkatan kes kematian mendadak sejak Jun iaitu sebanyak 17 kes kematian. Data menunjukkan dua kes daripada jumlah itu sudah menerima dos pertama vaksin, manakala sebanyak 15 kes yang lain tidak menerima vaksin Covid-19. Berdasarkan maklumat sedia ada, sebanyak 47 peratus dari kes kematian yang dilaporkan mempunyai komorbid,” katanya.

VAKSIN SEBAGAI LANGKAH PENCEGAHAN

Mengulas berhubung pendaftaran vaksin bagi ibu hamil, Dr Noor Hisham berkata, seramai 146,759 ibu hamil sudah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin Covid-19, sejak kempen imunisasi dimulakan pada akhir Jun lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 83,251 (57 peratus) ibu hamil sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Sebanyak 20 peratus ibu hamil sudah lengkap menerima 2 dos vaksin. Berdasarkan anggaran ibu hamil setahun, peratus ibu hamil yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera masih rendah iaitu sebanyak 40 peratus,” katanya.

Beliau berkata, langkah pencegahan perlu diambil antaranya kekal berada di rumah kecuali untuk tujuan penting dan perlu sahaja; amalkan norma baharu serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah jangkitan Covid- 19; ahli keluarga perlu diingatkan untuk tidak menjadi punca jangkitan kepada ibu hamil dengan mematuhi SOP ketika berada di luar rumah dan jika terdapat ahli keluarga yang menjalani kuarantin di rumah, pastikan mereka patuh sepenuhnya kepada prosedur kuarantin.

Selain itu, sekiranya disahkan positif Covid-19, semua ibu hamil, termasuk yang tidak bergejala mesti hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk menjalani penilaian oleh doktor dan sekiranya ibu hamil berada di rumah dan gejala bertambah teruk, ibu perlu segera ke klinik atau CAC berdekatan.

Jika berlaku kecemasan, boleh hubungi talian 999 atau segera ke hospital berdekatan. Ibu hamil atau ahli keluarga boleh juga menekan butang SOS di aplikasi MySejahtera jika bantuan segera diperlukan.

Sumber: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×