Sihat

Usia Muda Tetapi Tekanan Darah Tinggi ? Awas, Buah Pinggang Anda Mungkin Bermasalah!

195
SHARES
tekanan darah tinggi

TEKANAN DARAH TINGGI

Buah pinggang adalah salah satu organ dalaman yang sangat penting untuk badan kita. Dengan adanya buah pinggang, ia membantu untuk mengimbangkan kandungan air dan mineral seperti sodium, potassium dan phosphorus dalam darah dan juga memproses Vitamin D untuk menguatkan tulang kita.

Lazimnya, apabila berlakunya kegagalan berfungsi pada buah pinggang selalu dikaitkan dengan masalah kurang kencing atau kencing manis. Tetapi, apabila disebut mengenai radang buah pinggang, ramai masih tidak tahu bahawa komplikasi ini berlaku apabila selalu mengalami tekanan darah tinggi pada usia muda lagi.

USIA MUDA TAPI TEKANAN DARAH TINGGI?

Radang buah pinggang, atau glomerulonephritis (GN) seringkali berlaku pada golongan muda. Ia berlaku secara serta-merta iaitu mengambil masa hanya beberapa hari berbanding kerosakan buah pinggang yang biasanya memakan masa selama 10 hingga 15 tahun. Namun, masih ramai dalam kalangan orang muda yang ambil mudah perkara ini walaupun sudah ada tanda-tanda dengan tidak berjumpa pakar untuk pemeriksaan yang teliti.

Oleh itu, diharapkan dengan perkongsian dari Dr Rafidah Abdullah di laman Facebooknya, mengenai kedegilan orang muda yang tidak mahu membuat pemeriksaan kesihatan ini dapat dijadikan informasi tambahan buat kita semua. Jangan lambat bertindak, kelak parah akibatnya!

tekanan darah tinggi

http://www.sihatselalu.com.my/

Usia muda bukan alasan tidak endahkan kesihatan!

Baru 29 tahun, tahun 2015 katanya dah ada darah tinggi. Seorang lelaki, kahwin pun belum sempat lagi. Beliau diberi ubat, diberi temujanji tetapi temujanji ke mana, ubat lagi lah tidak tahu ke mana. Masa itu fungsi buah pinggang masih normal. Katanya sihat lepas itu. Oleh itu, beliau tidak makan ubat. Elok lah.

Beberapa hari lepas, beliau perlu masuk ke hospital secara kecemasan. Beliau sudah tidak tahan. Muntah-muntah, sesak nafas. Bacaan Tekanan Darah 230/120 mmHg. Bacaan urea 31 mmol/L (normal bawah 6) & creatinine 1009 mmol/L (normal bawah 100). Bacaan urea & creatinine (bahan toksik) tinggi disebabkan buah pinggang rosak & bahan toksik tidak dapat dikumuhkan.

Terpaksa ditebuk leher beliau untuk tujuan dialisis. Lantas, saya melakukan prosedur biopsi buah pinggang (gambar hiasan). Keputusan kembali mengesahkan beliau ada radang buah pinggang (glomerulonephritis) yang sekarang sudah terlambat untuk dilakukan apa-apa. Beliau perlu rawatan Dialisis seumur hidup.

Nasi sudah menjadi bubur.

Anda tiada simptom TIDAK BERMAKSUD anda tidak ada masalah dalaman! Jangan buat acuh tak acuh bila ada penyakit Darah Tinggi terutama yang masih muda, kerana mungkin ada penyebab Darah Tinggi itu.

Antara sebab utama adalah Radang Buah Pinggang. Banyak ubat yang boleh diberi & dirawati untuk baik sepenuhnya. Akan tetapi, ianya perlu cepat, diakukan di peringkat awal sebelum teruk. Kalau kencing berbuih, itu mungkin petanda awal iaitu buah pinggang bocor protein (proteinuria). Lekas periksa fungsi buah pinggang. Senang sahaja: dengan ujian darah and urin (air kencing).

Yang ada Darah Tinggi pastikan:

1. Tekanan Darah dalam kawalan supaya organ tidak rosak. Bincang “target” untuk bacaan Tekanan Darah (lain orang lain, bergantung kepada risiko, CPG 2013). Makan ubat ikut aturan.

2. Senaman

3. Makanan kurang masin! Tinggalkan kicap, sambal belacan, tempoyak, budu yang sedap itu. Mi segera, makanan “fast-food” lagi tidak boleh.

4. Jangan merokok

Antara nombor 1-4 itu, tidak boleh pilih-pilih ya, semua MESTI buat. Baru lah dipanggil usaha. Bukan dengan cara beli-beli ubat suplemen, herba entah apa lagi yang membuang duit. Ianya mungkin lagi memudharatkan.

Khidmat kesihatan yang kami sediakan sangat mudah diperolehi, tetapi kenapa masih ramai tidak ambil kisah?

Nampak berat kerja kami pengamal perubatan untuk mengubah sikap TIDAK KISAH ini.

Sumber Facebook : Rafidah Abdullah

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×