Dapur

Top 11 Biskut Raya Legend, Sekali Makan ‘Auto’ Teringat Zaman Kanak-Kanak!

20
SHARES
biskut raya legend

Makanan paling dinantikan ketika musim Hari Raya Aidilfitri adalah tak lain tak bukan biskut raya. Inilah apa yang ramai paling nantikan menjelang musim perayaan ini. Pelbagai jenis resipi biskut raya telah dicipta, sesuai dengan tekak masing-masing tapi sebenarnya biskut raya legend juga yang paling ‘special’ dalam hati semua.

Kalau dulu kecil-kecil datang rumah orang, pasti jumpa biskut raya legend yang sama di setiap kediaman yang dikunjungi. Bagaikan sudah berbincang untuk menyediakan biskut yang sama tetapi realitinya memang biskut raya legend ini ‘famous’ suatu ketika dulu. Untuk kali ini, penulis akan kongsikan top 11 biskut raya legend beserta resipinya, boleh anda cuba raya tahun ni!

Baca juga: Mudahnya Resipi Samperit Susu 3 Bahan Ini, Memang Kena Cuba!

TOP 11 BISKUT RAYA LEGEND

11. BISKUT MAKMUR

biskut raya legend

Ya Tuhan, ini kalau dapat yang betul-betul sedap memang masuk je mulut terus cair biskutnya! Sebab itu penting sukatan yang tepat untuk tepung tu, silap sikit memang tak menjadi biskut makmur anda.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan marjerin (jika ada minyak sapi, gunakannya)
  • 1 cawan gula (ikut tahap kemanisan masing-masing)
  • 1/2 cawan tepung susu Dutch lady

Cara penyediaan:

  1. Goreng tepung tanpa minyak dengan api yang sederhana. Campurkan gula dalam tepung tadi. Jika nak lebih manis, boleh tambah lebih gula. Goreng sampai kekuningan dan letak dalam bekas yang sesuai.
  2. Cairkan marjerin. Selepas cair, ketepikan dahulu sehingga sejuk.
  3. Masukkan marjerin yang telah cair tadi ke dalam adunan tepung. Gaul adunan sehingga tepung boleh dikepal bulat-bulat.
  4. Tepung yang telah dikepal bulat boleh disalut terus dengan susu tepung. Siap! Tak perlu pun bakar. 

10. Biskut kacang hijau

biskut raya legend

Okay, biskut ni memang ngam sangat dengan penggemar kacang hijau. Mudah nak buat dan paling penting rasa pun sedap! Jaranglah dulu kalau pergi rumah orang, tak jumpa biskut ni.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan kacang hijau kisar/tepung kacang hijau
  • 3 cawan tepung gandum
  • 1 cawan gula icing
  • 3 sudu besar marjerin/butter
  • 1 sudu teh baking powder
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 1/4 cawan minyak jagung atau secukupnya
  • Kuning telur (untuk hiasan)

Cara penyediaan:

  1. Campur kesemua bahan hingga menjadi doh yang lembut dan boleh dibentuk.
  2. Setelah siap menekap mengikut acuan, sapu kuning telur di atas biskut.
  3. Bakar selama 15 minit menggunakan suhu 150 darjah. 

9. Biskut buah pinggang

biskut raya legend

Ni lagi satu biskut wajib ada dekat setiap rumah. Memang kena guna buttercup, baru rasa dia ngam di tekak! Kadang-kadang orang suka makan sebab tengok bentuknya yang comel ala ala buah pinggang itu! Nak makan pun berhati-hati sebab taknak rosakkan bentuknya.

Bahan-bahan:

  • 250 g buttercup
  • 1 cawan gula icing (saya letak 3/4 je)
  • 1 biji kuning telur
  • 1 sudu teh esen vanila
  • 1 cawan tepung naik sendiri
  • 1 cawan tepung jagung
  • 1 cawan biskut marie (dikisar halus)
  • 1 cawan cornflakes (dikisar halus)
  • 1/2 cawan tepung gandum

Cara penyediaan:

  1. Pukul buttercup dengan gula. Bila kembang, masukkan kuning telur dan esen vanila. Kemudian pukul lagi.
  2. Masukkan tepung naik sendiri dan tepung jagung. Kacau menggunakan senduk atau spatula.
  3. Masukkan biskut marie dan cornflakes yang telah dikisar ke dalam adunan.
  4. Akhir sekali, masukkan tepung gandum sikit-sikit. Sampaikan jadi doh yang boleh dicanai.
  5. Dah siap uli, canaikan doh dan terap menggunakan acuan.
  6. Sapu kuning telur sikit di atas biskut dan taburkan dengan cornflakes yang dah diramas. Bakar ikut kepanasan oven masing-masing.

8. Biskut kelapa nestum

biskut raya legend

Kerap juga ya jumpa biskut legend ni dekat rumah orang. Satu fakta best pasal biskut ini adalah walaupun orang yang kurang gemar kelapa, boleh telan makanan ini. Nak cakap rasa kelapa yang kuat pun tak, tapi ‘just nice’ dengan kombinasinya lagi bersama nestum!

Bahan-bahan:

  • 1 cawan marjerin
  • 1 cawan gula icing
  • 1 penutup esen vanila
  • 1 biji telur
  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 cawan tepung jagung
  • 2 sudu besar tepung kastard
  • 1 cawan kelapa kering (disangai)
  • 1 cawan nestum

Cara penyediaan:

  1. Sediakan 1 bekas besar kemudian masukkan semua bahan bersama.
  2. Uli semua bahan sehingga menjadi doh yang lembut. Pastikan tepung dan adunan tidak melekat di tangan.
  3. Kemudian, lapikkan plastik atas adunanan. Canai sehingga dapat ketebalan yang anda mahu.
  4. Tekan dengan menggunakan acuan yang anda ada.
  5. Sapu marjerin atau boleh lapik baking paper dalam tray.
  6. Susun biskut dan letakkan sedikit kelapa sangai tadi atas biskut.
  7. Bakar pada suhu 170 darjah selama 25 minit

7. Biskut suji

biskut raya legend

Wow.. ini salah satu kegemaran ramai ni. Memang legend lah. Bentuk pun comel, jadi sayang nak makan sebab bentuknya yang terlalu ‘cute’.  Nak jadi buat biskut suji ini, kena ikut sukatan bahan dengan betul dan tepat.

Bahan-bahan:

  • 3/4 cawan gula icing
  • 3/4 cawan minyak sapi (mokwo guna jenama cow n calf)
  • 1 sudu makan susu tepung
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1/4 sudu kecil baking powder
  • 1/2 sudu kecil garam halus
  • Ceri merah (dipotong halus – untuk hiasan)

Cara penyediaan:

  1. Satukan minyak sapi dan gula icing dalam mangkuk adunan. Kacau sebati guna senduk kayu.
  2. Masukkan baking powder, susu tepung dan garam halus. Kacau sebati.
  3. Masukkan pula tepung gandum, sedikit demi sedikit sambil digaul dengan tangan sehingga membentuk doh.
  4.  Rehatkan doh dalam peti sejuk selama 20 minit. Boleh start panaskan oven pada 175 darjah.
  5. Keluarkan doh dan ambil satu sudu kecil doh dan bentukannya bulat-bulat. Buat sehingga habis dan kemudian hiaskan dengan hiridan ciri merah di tengahnya.
  6. Bakar selama 20 minit atau sehingga masak.

6. Tart nenas

biskut raya legend

Kali ini, masuk 10 buah rumah, kesupuluh-sepuluh kediaman pasti anda akan jumpa biskut raya ini. Malah, bukan dulu je orang makan tapi sampai sekarang masih hangat ye biskut raya ini dijadikan juadah raya di setiap rumah. Paling ngam kalau jem nenas di dalam tak manis sangat, auto sedap!

Bahan-bahan:

  • 2 sudu besar tepung jagung
  • 2 sudu besar tepung kastard
  • Tepung gandum
  • 250 g butter/marjerin
  • Sedikit esen vanila
  • Sedikit gula (ikut suka nak manis macam mana, kalau saya kurangkan manis sebab jem dah masam-masam manis)

*tips jalur-jalur nampak licin, blend gula sampai betul-betul halus dan doh jangan terlalu keras

Cara penyediaan:

  1. Satukan butter/majerin & gula & esen vanila (kacau sebati guna senduk/mixer sekejap ja).
  2. Masukkan tepung kastard, tepung jagung, tepung gandum sedikit demi sedikit, agak-agak doh tak terlalu lembik dan keras.
  3. Ambik sedikit doh dan terap dalam acuan tart.
  4. Letakkan jem nenas dan gulung
  5. Panaskan oven 5-10 minit.  Bakar pada suhu 160c – 180c selama 20 minit. Atau ikut oven masing-masing.

5. Biskut kacang mazola

biskut raya legend

Ya tuhan, biskut ini memang untuk penggemar kacang. Tengok gambar pun dah boleh bayang rasa kacangnya di tekak. Juga merupakan biskut legend yang selalu kita jumpa di kebanyakan rumah. Mazola ini dianggap biskut raya ‘wajib’ jugala suatu ketika dulu.

Bahan-bahan:

  • 3 cawan tepung gandum
  • 2 cawan kacang tanah (ditumbuk halus)
  • 1 cawan gula halus
  • 1 cawan minyak mazola (guna cawan yang sama untuk setiap sukatan)
  • Secubit garam halus

Cara penyediaan:

  1. Bancuh kesemuanya dan uli hingga sebati.
  2. Kemudian, boleh tekapkan mengikut acuan dan kreativiti masing-masing. 
  3. Akhir sekali, bakar pada suhu 160 darjah api atas bawah. 

4. Sarang semut

biskut raya legend

Sebenarnya biskut ini simple je, tapi tak tahu la kenapa suka sangat makan tiap kali jumpa di rumah orang. Nak buat sendiri senang je, dengan bahannya yang ringkas, tapi mesti suka orang lain punya air tangan juga!

Bahan-bahan:

  • 250 g butter
  • 90 g gula icing
  • 350 g tepung gandum
  • 100 g tepung jagung
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • 1 biji kuning telur
  • Sedikit pewarna kuning
  • Chocolate rice secukupnya (hiasan)
  • Kertas cawan

Cara penyediaan:

  1. Gaul butter dan gula hingga sebati.
  2. Kemudian masukkan kuning telur, esen vanilla dan tambah sedikit pewarna kuning. Gaul lagi hingga sebati. 
  3. Seterusnya masukkan kesemua tepung dan gaul sebati. Gaul hingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di tangan.
  4. Parutkan doh ke dalam mangkuk dan sudukan ke dalam kertas cawan. Pastikan secara membukit ye.
  5. Taburkan chocolate rice dalam sarang semut itu. 
  6. Bakar suhu 140 selama 30 minit atau mengikut oven masing-masing. 

3. Nestum almond

biskut raya legend

Akhirnya, kita dah masuk top 3 biskut raya legend. Biskut ini pula memang kena dengan tekak penulis. Sedap sangat bila kunyah je terus boleh rasa nestum dan almond tu bersatu. Memang best! Tapi ingat, nak buat biskut ini pun kenalah ikut sukatan yang betul. Risau keras nanti biskut raya anda.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan butter
  • 1 1/2 cawan gula
  • 2 biji kuning telur
  • 3 cawan tepung gandum
  • 2 cawan tepung jagung
  • 1 cawan tepung kastard
  • 3 sudu badam hancur
  • 2 cawan nestum (1 cawan di blendkan hancur)
  • Sedikit badam cincang (untuk hiasan) dan kuning telur ditambah pewarna kuning

Cara penyediaan:

  1. Pukul butter dan gula hingga kembang, kemudian masukkan telur. Pukul sekejap dan masukkan pula bahan-bahan kering tadi. Dah sebati, bolehlah ditekap mengikut pilihan dan hiasan sendiri.
  2. Letak badam cincang atas tu, kemudian sapu kuning telur. Kalau tepung lembik, tambahkan tepung gandum sikit-sikit. Jika adunan lama-lama menjadi keras, tambahkan butter sikit je bagi lembut.
  3. Bakar pada suhu 170 darjah atau mengikut oven masing-masing.

2. Biskut Mama Carrie

biskut raya legend

Biskut raya legend jatuh di tangga kedua ini tak lain tak bukan, Mama Carrie. Memang pergi je mana-mana akan jumpa biskut legend ni. Selalu ambil makan sebab suka design atas biskut ini selain rasanya yang juga sedap! Makan satu pasti tak cukup, asyik nak lagi dan lagi.

Bahan-bahan:

  • 250 g pure butter
  • 115 g gula icing
  • 150 g tepung jagung
  • 300 g tepung gandum (kaknis guna cap Baker choice)
  • 25 g susu tepung (tak letak pun tak apa)
  • 1 biji kuning telur

Bahan-bahan royal icing:

  • 2 biji putih telur
  • 175 g gula icing
  • 2 sudu makan tepung jagung

Cara penyediaan:

  1. Pukul sebati pure butter, gula icing dan kuning telur menggunakan spatula. Lepas sebati, masukkan tepung jagung dan susu tepung.
  2. Sebatikan mereka kemudian masukkan tepung gandum. Uli sebati sampai jadi doh dan tidak melekat pada tangan anda. 
  3. Selepas itu dah boleh terap mengikut acuan yang anda ada di rumah.

Cara penyediaan royal icing:

  1. Pukul telur putih sampai bertanduk. Kemudian, masukkan gula icing dan putar sampai sebati dan berkilat.
  2. Kemudian, masukkan tepung jagung. Campur sampai bahan-bahan ini berkilat dan tiada ketul-ketul. Selepas siap, masukkan dalam piping bag untuk senang pipe atas biskut yang telah diterap tadi.
  3. Bakar biskut dalam 20 minit menggunakan suhu bawah 150 darjah.

1. Almond london

Ya Tuhan, biskut raya ini bukan je famous dalam kalangan kanak tapi orang tua pun suka makan! Seronoknya masuk mulut terus cair, dengan badam di dalam menambah kerangupannya. Paling best bila jumpa di setiap rumah berbeza! Bukan apa, saja nak try almond london berlainan tuan sebab lain orang, lain coklat yang digunakan. Itu yang membezakan almond london anda sedap atau tak sebenarnya!

biskut raya legend

Bahan-bahan:

  • 3 cawan tepung gandum
  • 1 cawan tepung jagung
  • 2 sudu besar tepung beras
  • 250 g butter 
  • 1 cawan gula kastor
  • 1 sudu besar baking powder
  • 1 cawan cornflakes (dikisar halus)
  • 1/2 cawan serbuk badam
  • 5 sudu besar susu tepung
  • 1 penutup esen vanila
  • 4 sudu besar minyak masak
  • 1 telur kuning
  • 250 g almond – 1 bungkus (bakar dahulu)
  • 2 sudu besar shortening
  • Hiasan almond nibs (bakar dahulu)
  • 600 g milk chocolate coins Beryls
  • Paper cup

Cara penyediaan:

  1. Campurkan butter, telur kuning, esen, gula castor dan kacau sebati. Masukkan cornflakes yang dikisar halus, serbuk badam dan susu tepung. Kemudian, kacau sebati.
  2. Masukkan tepung jagung dan baking powder. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit sambil gaul.
  3. Masukkan minyak dan gaul sebati.
  4. Bentukkan bujur (masukkan almond di dalam) dan bakar pada suhu 150 darjah selama 20 minit.

Cara penyediaan salutan coklat:

  1. Double boil coklat bersama shortening.
  2. Celup biskut tadi ketika coklat masih panas. Masukkan ke dalam paper cup.
  3. Taburkan almond nips. Kemudian masukkan dalam chiller 15 minit sebelum disimpan ke dalam bekas biskut raya.

Macam mana? Dah kembali ke zaman nyata? Cubalah resipi biskut raya legend ini, auto ibu mertua pun ‘approve’. Resipi yang ringkas, mudah untuk anda ikut. Takkanlah setiap tahun nak harapkan biskut raya legend dari rumah orang je kan. Cubalah buat sendiri. Selamat Mencuba!

Sumber: Resepi Biskut Dan Kek Pilihan, Resepi Dapur Opah, Page Rasmi Chef Fazalina, Iesya Sofea, Ibu Resepi & Resepi Kuih Muih Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×